Surat: PPSMI masih belum nampak kejayaan untuk dibanggakan

Posted on Jun 18, 2009

0


sumber: Berita Harian, 18 Jun 2009

PELBAGAI pendapat yang menyokong dan tidak kurang menentang apabila Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Menteri Pelajaran baru-baru ini mengemukakan cadangan supaya subjek bahasa Inggeris wajib lulus untuk Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Bagi yang menyokong, alasannya ialah bahasa itu bahasa penting dunia. Bagi yang membantah pula melihat langkah itu dikhuatiri akan merendahkan taraf bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan di samping meminggirkan golongan pelajar di kawasan luar bandar.

Lantaran itu, isu berkenaan hendaklah ditangani dengan hati terbuka dengan timbang tara secara adil, rasional serta berpaksikan kebenaran ilmu. Sudahkah kita mengenal pasti masalah sebenar di sebalik timbulnya cadangan itu?

Punca kepada timbulnya cadangan itu tidak lain dan tidak bukan kerana mahu melihat generasi muda fasih berbahasa Inggeris.

Dasar Pengajaran dan Pembelajaran Bahasa Inggeris dalam Sains dan Matematik (PPSMI) sejak 2003 boleh dijadikan ukuran sebagai langkah kerajaan mengatasi masalah itu. Berdasarkan kenyataan pemimpin, cadangan itu tercetus bermula pertengahan 2002 untuk mewajarkan dasar berkenaan.

Persoalannya, adakah kajian khusus menilai keberkesanan PPSMI dalam meningkatkan kemahiran bahasa Inggeris di kalangan murid sudah dilakukan? Sesudah enam tahun PPSMI dilaksanakan dengan bantahan demi bantahan, generasi pertama menempuh dasar itu sudah menduduki Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) pada 2008.

Seharusnya mereka adalah angkatan pelajar yang melangkah ke Tingkatan Satu tanpa masalah penguasaan bahasa Inggeris. Namun, apakah rumusan yang dapat dibuat daripada statistik UPSR tahun lalu bagi subjek bahasa Inggeris?

Seramai 146,861 murid dari sekolah kebangsaan dan sekolah jenis kebangsaan mendapat gred D dan E dalam subjek bahasa Inggeris. Ini belum ditambah jumlah 144,028 murid yang memperoleh gred C.

Oleh sebab itu, keputusan mahu menetapkan bahasa Inggeris sebagai syarat lulus SPM mesti dimulakan dari PPSMI lagi. Bayangkan hampir 300,000 murid daripada kelompok pertama dasar PPSMI lemah penguasaan bahasa Inggeris pada peringkat sekolah rendah.

Berdasarkan hakikat itulah, jika benar mahu melihat pelajar kita menguasai bahasa Inggeris maka kaedah pengajaran dan pembelajaran (P&P) subjek itu mestilah dirombak besar-besaran demi kebaikan jangka panjang anak bangsa Malaysia.

MOHD ARIF ATAN,
Tanah Merah,
Kelantan.

Advertisements
Posted in: Akhbar, Bahasa