Tenggelam di Lautan Bahasa Inggeris

Posted on Jun 14, 2009

0


oleh: Zin Mahmud
sumber: Mingguan Malaysia, 14 Jun 2009

Siapakah yang menggubal undang-undang dan dasar-dasar di dunia ini? Tentunya orang yang bijak pandai, berkuasa dan berharta.

Di negara ini, mereka yang pandai dalam pelajaran mempunyai banyak peluang. Dengan kelulusan yang baik, seseorang akan mampu mendapat biasiswa atau pinjaman pelajaran. Lebih-lebih lagi jika seseorang itu pandai dalam bahasa Inggeris. Bukan saja mereka berpeluang untuk menyambung pelajaran yang lebih tinggi, tetapi pintu pekerjaan yang berpendapatan baik adalah amat luas.

Setelah belajar di luar negara dengan bantuan penuh daripada kerajaan, ataupun agensi-agensi serta syarikat-syarikat korporat, mereka tidak sukar untuk memajukan diri. Apa yang penting mereka menumpukan perhatian terhadap pelajaran, di samping berusaha meningkatkan sahsiah diri bagi penampilan yang baik apabila menyertai dunia pekerjaan kelak.

Apabila berjaya memperoleh ijazah sarjana muda, pencapaian yang cemerlang membuka peluang yang lebih luas. Maka pintu mereka terbuka untuk melanjutkan pelajaran di peringkat sarjana dan seterusnya ijazah kedoktoran falsafah. Oleh kerana otak mereka bijak, tentu menjadi cemerlang dalam akademik tidaklah sukar.

Tetapi orang seperti ini selalunya bukan saja pandai dalam pelajaran, tetapi juga cekap dalam mengurus diri dan keadaan sekelilingnya. Ia mempunyai bakat untuk menjadi pemimpin dalam apa jua organisasi. Baik dalam dunia akademik, perniagaan mahupun agensi kerajaan. Otak yang baik datang dari tubuh yang sihat. Mereka juga aktif bersukan selain dari penampilan menarik, kacak bagi lelaki, jelita bagi wanita. Secara semula jadi mereka akan muncul sebagai pemimpin. Memang dari sekolah dahulu hinggalah ke universiti dan dalam alam pekerjaan.

Sememangnya beruntung orang seperti ini. Mereka tidak berasa susah dari segi kebendaan, lebih-lebih lagi jika mereka datang daripada keluarga yang berharta. Maka hidup mereka akan terus ditatang dengan kesenangan. Ini kerana dengan sokongan keluarga berharta, adalah lebih mudah bagi seseorang untuk mendapat pelajaran yang baik. Seterusnya melalui rangkaian keluarga, maka lebih mudah juga seseorang itu memperoleh kerjaya yang menjamin masa depan hidupnya.

Berpengaruh

Maka tentunya orang yang pandai-pandai ini akan berada di tempat-tempat yang berpengaruh dalam masyarakatnya. Bagi yang menceburi bidang politik, maka kepandaiannya memudahkan seseorang itu berjaya dalam mendapatkan kedudukan dalam parti politik yang dipilihnya. Tidak kiralah sama ada parti yang menjadi kerajaan, atau pembangkang.

Jika seseorang itu memilih dunia korporat. Maka mereka juga mudah berjaya. Dengan latar pendidikan dan pendedahan yang diperoleh, maka mudahlah ia menjadi eksekutif yang sentiasa meningkat naik. Hingga ke peringkat pengurusan dan seterusnya mampu mencapai ke tahap ahli lembaga pengarah dalam apa jua syarikat. Kepandaiannya menjual beli saham atau dengan mudah ia menjadi orang yang berpengaruh.

Begitu juga sekiranya seseorang yang pandai ini memilih untuk menjadi ahli akademik. Maka dengan cepat, dia mampu mencapai tahap menjadi profesor dan seterusnya ahli akademik terulung dalam negara. Orang seperti ini akan menjadi penggerak minda negara dengan mengeluarkan pandangan serta hasil kajian yang dinanti-nantikan oleh masyarakat.

Malah dalam sektor awam, iaitu kerajaan, orang yang bijak pandai ini jugalah yang akan menjadi pegawai tadbir dan diplomatik. Mereka mengurus dan mentadbir jentera kerajaan. Merekalah yang menggubal polisi-polisi kerajaan melalui saranan-saranan yang dikemukakan kepada ahli-ahli politik. Mereka semua berpengaruh. Hasil pandangan mereka mencorak masyarakat dan negara.

Orang pandai-pandai ini jugalah yang menguasai media massa. Mereka turut muncul untuk menjadi pengarang, penulis, penerbit rancangan, atau apa saja kedudukan yang mencorak pemikiran pembaca, pendengar dan penonton. Mereka membentuk fikiran ramai.

Di Malaysia, bahasa orang pandai-pandai ini bukannya bahasa Melayu walaupun ia adalah bahasa kebangsaan yang dinobatkan sebagai Bahasa Malaysia. Bahasa golongan berpengaruh ini ialah bahasa Inggeris. Baik sebelum merdeka, selepas merdeka atau masa kini. Bahasa Inggeris merupakan bahasa perantara dunia akademik, korporat, kerajaan, teknologi dan media sendiri. Walaupun dalam akhbar berbahasa Melayu seperti Utusan Malaysia. Untuk maju sebagai wartawan Utusan, mereka mesti menguasai bahasa Inggeris.

Maka tidak hairanlah dalam menggubal undang-undang, dasar-dasar atau program, adalah menjadi kecenderungan kepada golongan bijak pandai negara ini untuk mengutamakan bahasa Inggeris. Ini berlaku walaupun dalam syarikat perniagaan Melayu, jabatan kerajaan yang dipimpin oleh parti Melayu dan media massa yang menerbitkan akhbar Melayu.

Bagi mereka, adalah suatu yang aneh jika seseorang itu tidak mampu menguasai bahasa Inggeris. Semua orang, sama ada pandai atau kurang cerdik, berharta atau kurang mampu, kesemuanya mesti mampu berbahasa Inggeris.

Majoriti

Oleh kerana golongan yang berpengaruh ini dalam hidupnya secara umumnya senang, mereka tidak dapat merasakan betapa majoriti penduduk negara ini tidak mampu berbahasa Inggeris atau mencapai keupayaan akademik seperti mereka.

Ada sebahagian hanya pandai sesuatu mata pelajaran. Tidaklah semua. Atau pencapaian hanya sederhana. Tidak kurang pula yang boleh menguasai semua mata pelajarannya kecuali yang berkaitan dengan bahasa Inggeris.

Manusia berbeza-beza. Hanya kerana kelemahan berbahasa Inggeris, maka orang seperti ini tidak dapat menguasai sains dan matematik yang kini diajar dalam bahasa Inggeris.

Bagi mereka yang cerdik, belajar sains dan matematik dalam bahasa Inggeris, tidak menjadi masalah besar. Mereka mampu mengatasinya. Tetapi bagaimana kebanyakan pelajar yang mendapati ia merupakan masalah.

Bagi golongan yang mempunyai kuasa dan tentunya menguasai bahasa Inggeris, mereka mahu memaksa orang menguasai bahasa Inggeris. “Mengapa tidak? Kalau kita dulu boleh belajar bahasa Inggeris, mengapa budak-budak ini tidak boleh?’’.

Maka digubal peraturan bahawa untuk mendapatkan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), mereka diwajibkan lulus bahasa Inggeris. Sedangkan guru-guru mereka di sekolah rendah dan menengah sendiri tidaklah begitu cemerlang untuk mengajar bahasa Inggeris.

Kalau mereka cemerlang, sudah lama mereka menjadi orang berpengaruh dalam bidang lebih glamour, sebagai Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD), korporat atau agensi kerajaan.

Maka anak-anak yang kurang pandai, mungkin hanya mampu menguasai beberapa mata pelajaran dinafikan memiliki sijil SPM kerana tidak lulus bahasa Inggeris. Maka walaupun mereka berjaya dalam mata pelajaran lain dalam SPM, tetapi sijil yang diperoleh hanyalah Penilaian Menengah Rendah (PMR).

Golongan kurang pandai dalam masyarakat tidak dapat berbuat apa-apa. Dengan PMR, pekerjaan apa yang boleh mereka lakukan? Pendapatan yang mereka peroleh akan terus rendah. Dan dunia akan terus dikuasai oleh orang pandai-pandai yang menentukan hanya golongan seperti mereka akan terus mendapat tempat.

Apa yang hanya ada pada kebanyakan orang adalah dua undi bagi mereka yang tinggal di luar Wilayah Persekutuan. Satu undi untuk ahli Parlimen dan satu lagi untuk ahli Dewan Undangan Negeri. Tetapi wakil-wakil rakyat yang mereka undi itupun datangnya daripada golongan pandai-pandai, yang tahu bahasa Inggeris.

Posted in: Bahasa