Makanan ringan masih dijual di kantin

Posted on Ogos 18, 2010

0


Makanan ringan masih dijual di kantin

Persatuan Pengguna Pulau Pinang telah menimbulkan kerisauan mereka berhubung kedegilan pengusaha kantin sekolah yang masih menjual makanan tidak sihat seperti gula-gula, jeruk, snek, nugget, sosej, kentang goreng dan minuman ringan. Walaupun perkara ini sudah termaktub di dalam Panduan Pengurusan Kantin Sekolah. Namun begitu, garis panduan yang telah ditetapkan tidak diendahkan oleh pengusaha kantin sekolah.

Berdasarkan pemerhatian saya di sekolah, jualan makanan tidak sihat sememangnya menjadi pilihan murid berbanding sepinggan nasi lemak atau semangkuk mee kari. Lantaran itu, pengusaha kantin sekolah telah mengambil kesempatan untuk mengaut keuntungan tanpa memikirkan implikasi terhadap pertumbuhan dan perkembangan murid dalam jangka masa yang panjang. Sikap tidak bertanggungjawab pengusaha ini hanya akan mendorong budaya pemakanan yang tidak sihat kepada kanak-kanak.

Selain itu, pengambilan makanan tidak sihat secara kerap sewaktu rehat tidak akan membantu murid memberikan tumpuan di dalam kelas. Cuba bayangkan seorang murid hanya menjamah sebungkus kentang goreng di kantin. Apakah nilai zat dan vitamin yang diperoleh supaya terus bertenaga menempuh sesi pembelajaran yang seterusnya?

Dari perspektif agama, Islam sangat mementingkan kualiti dan kebersihan pemakanan individu sama ada halal atau haram. Hal ini kerana pemakanan yang diambil akan menjadi darah daging dan membentuk peribadi kita. Rasulullah juga menganjurkan kita supaya mengambil makanan yang berkualiti dan bersih agar tubuh badan tidak mudah dijangkiti penyakit. Antara pilihan pemakanan yang terbaik ialah madu, kismis, kurma, susu dan buah-buahan segar.

Hari ini sudah kedengaran beberapa kes murid sekolah yang mengidap kencing manis akibat acapkali mengambil minuman bikarbonat sebagai menu hariannya. Umum mengetahui bahawa setin minuman bikarbonat mengandungi 10 sudu gula dan perkara ini sudah pasti tidak baik untuk gizi seimbang.

Cuba perhatikan bangsa Israel yang terkenal dengan keganasan. Mereka cukup menitik beratkan setiap pengambilan pemakanan sebagaimana yang dituntut oleh Islam dan sunnah Rasulullah. Walhasil mereka menjadi bangsa yang terbijak di dunia.

Akhirnya, saya menyeru kepada ibu-ibu dan bapa-bapa supaya memantu pemakanan anak-anak mereka  setiap masa. Jika mampu, sediakan bekalan makanan kepada mereka supaya lebih terjamin selain satu bentuk penjimatan.

Bilik 1001, Kolej Kediaman Dato’ Razali Ismail, IPG Kampus Bahasa Melayu, Kuala Lumpur.