Transformasi cara fikir lahirkan siswa berwawasan

Posted on Julai 10, 2010

0


oleh Abu Qassim Nor Azmi

PENDAFTARAN kira-kira 105,377 pelajar ke institut pengajian tinggi awam (IPTA) di seluruh negara bagi sesi 2010/2011 sebagai tanda keprihatinan kerajaan terhadap usaha memastikan peluang pendidikan lebih baik kepada seluruh rakyat Malaysia dapat direalisasikan.

Meskipun dilingkari pelbagai isu terkini antaranya kebimbangan terhadap komposisi pelajar lelaki yang semakin mengecil, dasar baru pengagihan biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan cadangan pinjaman boleh ubah Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) kepada graduan cemerlang antara yang menghangatkan sesi pendaftaran pada kali ini.

Bagaimanapun, hasrat dan Bidang Keberhasilan Utama (KRA) Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) yang menyasarkan sekurang-kurangnya dua universiti tempatan tersenarai dalam kalangan 50 universiti terbaik dunia sebelum 2020, selain peningkatan jumlah universiti berstatus universiti penyelidikan tidak harus dikesampingkan dan tanggungjawab ini patut digalas bukan saja tenaga pengajar, staf pengurusan malah pelajar, mahasiswa dan mahasiswi.

Justeru, timbul persoalan, sejauh manakah kemampuan pihak universiti khususnya bidang akademik mampu merealisasikan hasrat murni ini? Sudah tersemaikah budaya intelektual di kalangan mahasiswa?

Kehidupan bagaimanakah yang harus dilalui pelajar bagi memastikan impian ini tidak sekadar angan-angan kosong?

Maka transformasi terhadap cara berfikir, gaya hidup dan latar budaya universiti harus digerakkan. Dalam keterbatasan waktu, pihak pentadbiran, tenaga pengajar malah pelajar harus sedia berkorban dan iltizam dalam membuat perubahan tersebut.

Ledakan informasi seperti diungkapkan Alan Bloom dan cabaran gelombang baru yang disifatkan Alvin Toffler dalam bukunya Third Wave sebagai cabaran gelombang maklumat terus menghimpit ruang selesa mahasiswa. Gelombang baru ini mengehendakkan bukan saja ketepatan dan kejituan malah kepantasan. Segalanya menjadi begitu pantas. Hal ini memerlukan daya tahan tinggi dan fokus berterusan di kalangan mahasiswa. Sedetik kelekaan bakal membawa kepada kekecewaan.

Survival di kampus juga tidak terhad kepada indeks prestasi kecemerlangan akademik semata-mata. Tatacara kehidupan, nilai moral dan adab sopan turut memainkan peranan yang tidak kurang pentingnya.

Statistik menunjukkan faktor utama menyumbang kepada kegagalan pelajar di universiti disebabkan pembabitan dengan aktiviti super sosial yang menjangkaui batas moral, agama dan budaya ketimuran.

Titah Raja Muda Perak satu ketika dulu harus diambil iktibar agar penumpuan melampau terhadap kecemerlangan akademik diperbetulkan kepada penilaian yang lebih berobjektif dan menyeluruh.

Oleh itu, cabaran pendidikan tidak harus terlalu disulitkan kepada indeks skor A tetapi yang perlu dipertimbangkan secara serius adalah sejauh mana input yang diperoleh di dalam mahupun di luar dewan kuliah dapat difahami, dijiwai dan seterusnya diamalkan dalam kehidupan seharian. Menerusi amalan budaya ilmu yang sebenar mampu melahirkan insan seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani.

Inilah cita-cita dan harapan sebenar kerajaan terhadap seluruh warga pelajar seperti termaktub dalam Falsafah Pendidikan Negara, Pendidikan di Malaysia adalah suatu usaha berterusan ke arah memperkembangkan lagi potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan.

Matlamat akhirnya ialah melahirkan rakyat berilmu pengetahuan, berketrampilan, berakhlak mulia, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran masyarakat dan negara.

Prof Muhamad Abu Bakar dalam bukunya, Mahasiswa Menggugat menyatakan bahawa mahasiswa terikat dengan collective responsibility iaitu tanggungjawab terhadap kecemerlangan akademik dan kepakaran dalam sesuatu bidang yang akhirnya mampu menggerakkan usaha mensejahterakan kehidupan masyarakat umum.

Mahasiswa harus sedar bahawa tugas dan tanggungjawab mensejahterakan masyarakat dan memakmurkan negara ini bukan tugas mudah, tetapi tidak mustahil untuk dilaksanakan. Oleh itu, mahasiswa perlu bersatu hati, berpadu tenaga untuk merealisasikannya.

John C Maxwell menegaskan bahawa sesuatu tugasan yang dilaksanakan secara berkumpulan mampu melahirkan sumber kekuatan tambahan seterusnya menghasilkan impak yang maksimum.

Oleh hal, mahasiswa digalak menceburkan diri dalam persatuan yang berdaftar di universiti selain pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang menyokong aspirasi berbudi dan berbakti kepada masyarakat seperti disarankan Datuk Saifuddin Abdullah, Timbalan Menteri Pengajian Tinggi.

Kesatuan dan kesepaduan di kalangan mahasiswa perlu didokong oleh gagasan idea besar bagi memastikan tidak berlaku kelesuan di pertengahan jalan seperti yang sering dikaitkan dengan gerakan mahasiswa hari ini.

Kepentingan gagasan idea ini turut ditekankan Malek Ben Nabi sebagai the guiding idea atau idea penggerak.

Kelesuan mahasiswa menggagas idea besar terjadi jika mereka masih terkongkong dalam lingkaran kehidupan tiga K iaitu kuliah, kafe dan kolej kediaman semata-mata yang akhirnya menjerat mereka terhadap budaya mati rasa, jiwa santai.

Justeru, mahasiswa perlu keluar menjangkaui tembok universiti untuk menikmati dan merasai kehidupan sebenar masyarakat.

Ingatlah, pemimpin yang sejati tidak hanya lahir di dewan kuliah, tetapi juga daripada kancah permasalahan rakyat. Selepas memahami dengan jelas keadaan realiti masyarakat seharusnya mahasiswa terus cekal serta lebih bersungguh dalam menempa kejayaan demi kejayaan.

Pesanan Ungku Aziz, belajar sambil mencabar harus tertanam dalam jiwa mahasiswa. Jiwa adventures yang menggilai cabaran adalah realiti kehidupan anak muda.

Berbekalkan sebab kukuh yang lahir daripada pemahaman terhadap kehidupan masyarakat dan ilmu yang mampu menundukkan hati agar kusyuk serta kemampuan akal agar lebih rasional dan berhikmah, maka lahirlah pemimpin unggul yang berwawasan serta berdaya saing selaras dengan hasrat dan impian negara.

Penulis ialah Naib Presiden Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia

Posted in: Mahasiswa, PKPIM