Respons Pemansuhan UPSR dan PMR

Posted on Jun 21, 2010

1


Baru-baru ini Tan Sri Muhyiddin Yassin, Menteri Pelajaran Malaysia
telah mencadangkan supaya UPSR dan PMR dimansuhkan kerana terlalu
berorientasikan peperiksaan.

PKPIM berpandangan bahawa UPSR dan PMR perlu dikekalkan sebagai satu
daripada instrumen penilaian pencapaian murid di sekolah di peringkat
kebangsaan. Sebagaimana yang sedia maklum, objektif UPSR ialah menilai
pencapaian kognitif murid Tahun Enam sebelum ke sekolah menengah
manakala PMR bagi menentukan pilihan aliran untuk menengah atas.

Dalam pada masa yang sama, PKPIM mencadangkan Kementerian Pelajaran
Malaysia supaya merombak sistem pentaksiran yang dijalankan hari ini
untuk menentukan kemasukan murid ke sekolah menengah dan universiti.
Fokus yang tertumpu kepada penilaian kognitif semata-mata hanya
membantutkan perkembangan holistik murid.

Negara-negara maju dalam bidang pendidikan seperti British dan Amerika
Syarikat cukup menekankan perekayasaan perkembangan holistik murid.
Mata pelajaran-mata pelajaran seperti Sejarah, Geografi, Pendidikan
Seni, Muzik, Moral, Kemahiran Hidup, Pendidikan Jasmani dan Kesihatan
serta Sastera turut disenaraikan sebagai sokongan kepada perkembangan
holistik murid selain mata pelajaran asas.

Malangnya, amalan pentaksiran di Malaysia telah menyebabkan murid
berlumba-lumba mengutip gred A sebanyak yang mungkin tanpa
mempedulikan kelompongan aspek jasmani, emosi, rohani dan sosial.
Selain itu, ibu bapa cenderung menghantar anak-anak ke pusat tuisyen
dan guru pula terkejar-kejar menghabiskan sukatan mata pelajaran saban
tahun. Hal ini menyebabkan kesenggangan masa kanak-kanak untuk bermain
dan menempuh zaman keriangan dipenuhi dengan tekanan dan lambakan
kerja. Hasilnya, lahirlah warganegara yang bijak pandai tetapi
mempunyai krisis akhlak yang tinggi dan tidak mampu menterjemah
kebijaksanaan dalam bentuk komunikasi.

Selain itu, penglibatan murid dalam kokurikulum seringkali dilihat
sebagai penghalang dan mengganggu proses pengajaran dan pembelajaran
selama ini. Walhal, setiap murid dikurniakan bakat, minat dan potensi
masing-masing yang tersendiri. KPM sewajarnya  mengiktiraf penglibatan
aktif murid dalam kokurikulum dan mengharumkan nama negara sebahagian
daripada pentaksiran pendidikan di Malaysia.

PKPIM yakin dan percaya bahawa pemansuhan UPSR dan PMR bukanlah
langkah bijak sebaliknya KPM perlu memperkasakan pentaksiran di
Malaysia supaya sistem pendidikan negara bertaraf dunia.

Muhammad Safwan bin Mohd. Noor Azmi (880501-08-6139)
Exco Pendidikan dan penyelidikan PKPIM

Posted in: Uncategorized