Haram tetap haram

Posted on Jun 14, 2010

1


protes judi

Bantahan lesen judi bola lebih bersifat politik: Tun M

KUALA TERENGGANU: Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata bantahan banyak pihak terhadap langkah kerajaan mengeluarkan lesen judi sukan lebih bersifat politik semata-mata.

Katanya langkah kerajaan mengeluarkan lesen judi sempena pertandingan bola sepak Piala Dunia hendaklah diterima secara terbuka untuk membendung kegiatan itu daripada berleluasa.

“Mungkin pendapat saya berbeza sedikit dengan orang lain. Sama ada lesen judi dikeluar atau tidak, judi tetap berlaku di negara kita kerana orang-orang Cina memang suka berjudi.  

“Jadi kalau dia berjudi tanpa lesen, tidak ada satu cara untuk kita menentukan perjudian itu tidak berleluasa. Ini kerana judi tidak haram bagi orang Cina, tetapi haram bagi orang Islam dan orang Islam jangan berjudilah. Kalau mereka didapati berjudi tangkaplah mereka,” katanya ketika ditanya mengenai lesen untuk menjalankan operasi pertaruhan bookie di Malaysia selepas berucap pada program Melayu Bangkit anjuran Gerakan Kebangkitan Rakyat (Gertak) di sini hari ini.

Dr Mahathir berkata, bantahan yang dilakukan oleh parti pembangkang terutama PAS berikutan pengeluaran lesen judi berkenaan, adalah lebih bermotif politik dan bukan kerana Islam.

“DAP pun bantah, takkan DAP pun nak sokong ajaran Islam. Ini politik parti pembangkang yang nak cari isu.

“Sedangkan dalam muktamar PAS, ada cadangan semua jenis judi diharamkan tetapi Pas tak nak. Sekarang ini terdapat judi di Genting Highlands, Sport Toto dan bermacam lagi. Tetapi dia (PAS) kata yang ini saja tak boleh,” katanya.

Kerajaan sebelum ini menimbang untuk mengeluarkan atau memberi lesen kepada Syarikat Ascot Sports Sdn Bhd untuk menjalankan operasi pertaruhan bookie di Malaysia.

Bagaimanapun kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang juga Menteri Kewangan, kerajaan masih belum memuktamadkan perbincangan mengenai syarat-syarat dan terma-terma pelesenan dengan syarikat berkenaan bagi menjalankan operasi pertaruhan bookie di Malaysia.

Najib dilaporkan berkata pihak kerajaan masih mendapatkan maklum balas atau pandangan pelbagai pihak terhadap cadangan pelesenan pertaruhan bookie di Malaysia dengan hasrat untuk mengurang dan seterusnya menghapuskan perjudian tanpa lesen di Malaysia. – BERNAMA

Sumber: Berita Harian, 14 Jun 2010

Walaupun jasa, bakti dan sumbangan beliau kepada negara tidak boleh dinafikan, namun begitu kekhilafan yang dibuat juga seiring hasil dasar-dasar kontroversi yang pernah dicipta seperti Dasar Penswastaan, Dasar Pensyarikatan, dan yang paling terdekat ialah Dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris.

Sudah terang lagi bersuluh bahawa judi adalah haram di sisi Islam, beliau masih juga mahu menegakkan benang yang basah. Sikap beliau ini bukanlah sesuatu yang asing lagi. Cuma sekarang beliau tidak ‘berkuasa’ seperti dahulu lagi.

Sekiranya kita menyorot hasil kutipan cukai daripada syarikat perjudian tahun 2008, lebih kurang RM 2,370,000,000,000.00 (2.37 bilion) telah berjaya dikutip. Hasil kutipan inilah digunakan oleh kerajaan untuk tujuan pembangunan, pendidikan dan pembayaran emolumen kepada pejawat awam. Situasi ini memberi gambaran yang buruk kepada rakyat bahawa kita seolah-olah perlu bergantung kepada hasil judi selain kutipan cukai, import dan eksport sebagai pendapatan negara.

Asian Godfathers: Money and Power in Hong Kong & South-East Asia

Tulisan Joe Studwell dalam Asian Godfathers: Money and Power in Hong Kong & South-East Asia membuat kaitan dominasi dunia korporat di Malaysia oleh Lim Kok Thay (anak Lim Goh Tong), Ananda Krishnan dan Vincent Tan dengan sektor judi. Tokoh-tokoh ini muncul dan cukup dikenali semasa pemerintahan Tun Dr. Mahathir. Dikatakan hubungan akrab antara golongan ahli perniagaan dan elit politik ketika itu menjadi penyelamat kepada negara ketika menghadapi Krisis Kewangan 1998.

Berbeza pula situasinya tokoh korporat Bumiputera seperti Halim Saad dan Tajudin Ramli. Faktor ketiadaan sektor judi untuk menjadi jaminan kecairan syarikat-syarikat mereka telah menyebabkan nama mereka hilang dari arena perniagaan. Timbul pula persoalan, di manakah perginya tokoh-tokoh korporat Bumiputera yang dilahirkan Daim Zainuddin?

Hal inilah yang memberikan kepada kita situasi yang jelas bahawa politik dan ekonomi di Malaysia saling berkait rapat. Kuasa yang ada ditentukankan oleh pihak berkepentingan sehingga menyebabkan kemaslahatan umum dicabuli. Pendek kata, “I help you, you help me”.