Hari Jumaat, hari tidak perlu memakai helmet

Posted on Jun 11, 2010

0


Sebagaimana yang kita ketahui, hari Jumaat merupakan penghulu segala hari dalam seminggu. Hari Jumaat merupakan hari yang berkat dan diberi rahmat oleh Allah. Maka beruntunglah mereka yang banyak beramal ibadat pada hari tersebut.

 

Hari Jumaat lebih istimewa berbanding hari-hari yang lain kerana solat Zohor dipendekkan 4 rakaat menjadi 2 rakaat, yang juga dikenali sebagai solat Jumaat.

Selain itu, Nabi Adam telah diciptakan dan dikeluarkan dari Syurga pada hari Jumaat. Banyak lagi peristiwa yang berlaku pada hari ini yang seharusnya kita ketahui selain Piala Dunia.

 

………………………………………………………………..

 

Setelah usai makan tengah hari, biasanya penulis akan bersiap-siap untuk ke masjid untuk mendengar khutbah dan menunaikan solat Jumaat. Penulis sering kali melihat senario yang sama setiap kali menunggang motorsikal menuju ke masjid, iaitu tidak memakai helmet.

 

Walaupun umum mengetahui bahawa perkara tersebut merupakan satu kesalahan undang-undang jalan raya namun masih ramai yang tidak peduli dan tetap tegar melakukannya tanpa rasa bersalah.

 

Cubalah perhatikan sendiri pergerakan anak-anak muda, bapa-bapa atau kita sendiri yang bergerak ke masjid. Hampir seluruhnya menunggang dan membonceng motorsikal tanpa memakai topi keledar. Lainlah jikalau yang menunggang itu Pak Haji yang mengenakan serban, lain pula ceritanya.

 

Apabila pihak berkuasa membuat sekatan, barulah terkocoh-kocoh berpatah balik ke rumah untuk memakai helmet. Ada juga kanak-kanak bawah umur yang mengambil kesempatan ini untuk membawa motorsikal.

 

Persoalannya, adakah hari Jumaat merupakan hari kebal daripada segala undang-undang?

 

Atau kita memerlukan situasi kemalangan yang ngeri dengan kepala hancur digilis di hadapan mata barulah ketika itu hendak insaf dan memakai helmet?

 

Bagaimana pula sekiranya kemalangan yang membabitkan kanak-kanak bawah umur membawa kenderaan?

 

Persoalan demi persoalan timbul. Lazimnya budaya tuding-menuding jari setiap kesalahan yang dilakukan tanpa rasa bersalah apatah lagi mengakui kesilapan diri. Apalah salahnya memakai topi keledar walaupun ke masjid yang berdekatan. Manalah tahu bak kata pepatah Melayu, “Malang tidak berbau”.

 

………………………………………………………………..

 

Situasi kedua, berkenaan masalah kehadiran ke masjid semasa solat Jumaat. Antara syarat sah solat Jumaat ialah mendengar kedua-dua Khutbat Jumaat. Malangnya, terdapat dalam kalangan kita yang cuai dan kurang peka tentang masalah ini. Walaupun imam sudah mahu memulakan solat, masih kedengaran bunyi kenderaan yang baru sahaja tiba. Apalah maknanya solat Jumaat pada hari itu?

 

Rasulullah bersabda: “Sesiapa hadir solat Jumaat pada saat pertama, dia umpama berkorban seekor unta.

“Sesiapa hadir solat Jumaat pada saat kedua, dia seperti berkorban seekor lembu.

 

“Barang siapa yang menghadiri solat Jumaat pada saat yang ketiga, dia seperti berkorban seekor kibas.

 

“Sesiapa hadir solat Jumaat pada saat keempat, dia seperti memberi hadiah seekor ibu ayam dan sesiapa hadir solat pada saat kelima, dia seolah-olah memberi hadiah sebiji telur.”

 

Apabila imam naik ke mimbar, malaikat menutup buku catatannya dan ikut mendengar khutbah. Justeru, sesiapa yang datang untuk solat selepas itu seolah-olah dia hanya datang untuk solat semata-mata, tidak direkodkan dalam buku kehadiran malaikat.

 

Agak-agaknya yang manakah kumpulan yang kita tergolong?

 

Sebenarnya, Islam banyak menerapkan adab dalam budaya hidup penganutnya supaya mencintai ilmu, berdisiplin dan lain-lain lagi yang seumpama dengannya. Malangnya, kedangkalan ilmu yang dimiliki membuatkan kita hanya mewarisi agama yang anuti daripada mempelajari dan memahaminya.