Memahami Akta 174 dan implikasinya (siri kedua)

Posted on Jun 5, 2010

0


IMPLIKASI

 

(a) Merujuk kepada Bahagian IV, Kesalahan-kesalahan, Seksyen 10 (1):

 

Tiada sesiapa jua, semasa menjadi seorang pelajar sesuatu institusi, boleh menjadi ahli atau boleh dengan apa-apa cara bersekutu dengan, mana-mana persatuan, parti politik, kesatuan sekerja, atau mana-mana jua pertubuhan, badan atau kumpulan orang yang lain, sama ada atau tidak ianya ditubuhkan di bawah mana-mana undang-undang, sama ada ianya adalah di dalam Malaysia, atau di luar Malaysia, kecuali sebagaimana diperuntukan oleh atau  di bawah  Akta ini atau kecuali sebagaimana  diluluskan terlebih dahulu secara bertulis oleh Menteri.

 

Maknanya: Pelajar tidak boleh menjadi ahli mana-mana persatuan, parti politik, kesatuan sekerja, badan atau kumpulan sekalipun didaftarkan secara sah baik di dalam mahupun di luar negara. Contohnya, Persatuan Linguistik Malaysia, Persatuan Pecinta Alam, Pekembar, MCA, Pakatan Rakyat, Kesatuan Sekerja Akhbar Utusan, Belia 4B, Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung dan Akademi Sains Islam Malaysia.

 

Pelajar cuma dibenarkan untuk menyertai Jawatankuasa Perwakilan Pelajar, Persatuan Bahasa Melayu, Kelab Fotografi di institusi masing-masing sahaja kecuali mendapat kebenaran secara bertulis daripada Menteri.

 

(b) Merujuk kepada Bahagian IV, Kesalahan-kesalahan, Seksyen 10 (3):

Tiada sesiapa jua, semasa menjadi seorang pelajar sesuatu institusi, boleh menyatakan atau berbuat sesuatu yang boleh ditafsirkan sebagai menyatakan sokongan, simpati, atau bangkangan terhadap mana-mana parti politik atau kesatuan sekerja atau sebagai menyatakan sokongan atau simpati dengan mana-mana pertubuhan, badan, atau kumpulan orang yang haram.

 

Maknanya: Pelajar tidak boleh memberi sokongan atau bantahan terhadap parti politik dan kesatuan sekerja. Pelajar juga tidak boleh memberi sokongan atau simpati terhadap organisasi yang tidak sah. Sokongan atau simpati hanya boleh dibuat sekiranya pertubuhan, badan atau kumpulan tersebut didaftar dan sah. Contohnya, menyokong tulisan ilmiah Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia atau membantah serangan Israel terhadap Palestin.

 

Pandangan: Penglibatan pelajar dalam mana-mana persatuan atau pertubuhan seharusnya tidak disekat kerana potensi, bakat dan kepemimpinan pelajar dapat digilap sebagai pelapis pemimpin pada masa akan datang. Walau bagaimanapun, kebenaran untuk pelajar menjadi ahli dalam parti politik perlu disekat supaya kebebasan dalam akademik dapat diwujudkan.

 

Persoalan yang lain pula, peraturan ini turut dikenakan kepada golongan dewasa baik profesional atau tidak yang mengikuti pengajian di institusi-institusi yang terlibat. Ironinya, terdapat percanggahan antara Akta 174 dengan Perkara 10 – Kebebasan Bercakap, berhimpun dan Berpersatuan dan Perkara 119 – Kelayakan Pemilih dalam Perlembagaan Persekutuan.

 

HUKUMAN JIKA DISABIT KESALAHAN

1. Denda tidak lebih RM1000.00

2. Penjara tidak lebih 6 bulan

3. Kedua-duanya di atas