Birokrasi melesukan sudut pidato

Posted on Mei 25, 2010

0


Birokrasi melesukan sudut pidato Birokrasi melesukan sudut pidato Birokrasi melesukan sudut pidato Birokrasi melesukan sudut pidato

 

Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia(PKPIM) menyokong penuh kenyataan Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah, yang meminta institut pengajian tinggi tidak mengambil tindakan tatatertib terhadap pelajar yang meluahkan pandangan berbeza dengan arus perdana dan dasar kerajaan ketika berdebat di Sudut Pidato.

 

Antara punca sudut pidato tidak mendapat sambutan di universiti ialah kerana terlalu banyak peraturan dan arahan yang seolah-olah menghalang mahasiswa untuk bebas mengutarakan pandangan mereka dalam apa jua isu secara bertanggungjawab.

 

Mereka yang agak kritis dengan dasar kerajaan atau pihak pentadbiran universiti seringkali dicop sebagai pembangkang yang hanya tahu membangkang semata-mata.

 

Mahasiswa seakan-akan dinafikan hak untuk berbeza pandangan dengan pihak pentadbiran universiti dan segala lontaran idea dan pemikiran yang dilihat mencabar ‘status-quo’ seringkali dilihat mengancam kepada pihak pentadbiran. Padahal mahasiswa perlulah diberi kebebasan untuk meluahkan isi hati mereka dan mereka sebenarnya bersuara atas nama mahasiswa dan bukannya menjadi kuda tunggangan pihak-pihak tertentu.

 

Sudut pidato tidak perlu diletakkan di bawah hal ehwal pelajar(HEP) sesebuah universiti dengan pelbagai prosedur yang seakan-akan memperlekehkan tahap pemikiran dan intelektual mahasiswa bahkan mahasiswa sendiri perlu bebas mengendalikan sendiri sudut pidato tersebut.

 

PKPIM yakin dengan kebebasan mengendalikan sudut pidato secara bertanggungjawab ini mampu meningkatkan kualiti mahasiswa terutamanya dari aspek berfikiran kritis, berdebat, berhujah dan berani mempertahankan kebenaran.

 

Kita perlu yakin bahawa sudut pidato ini diperkenalkan bukan semata-mata sekadar hiasan atau lambang keterbukaan pihak universiti dan juga bukan sekadar medan mahasiswa melontarkan kata-kata tetapi juga sebagai medan mahasiswa melontarkan kebijaksanaan berasaskan ilmu.

Posted in: IPGM, IPT, Mahasiswa, Pidato, PKPIM