Tetap ia walau salah

Posted on Mei 23, 2010

0


Tetap ia walau salah

Kakitangan kerajaan dilarang buat pernyataan awam

Penjawat awam dilarang membuat sebarang bentuk pernyataan awam – lisan atau bertulis – kerana dibimbangi boleh menjejaskan imej perkhidmatan, organisasi dan kerajaan.

Peringatan ini dinyatakan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Ismail Adam, dalam surat edaran bertarikh 14 Mei kepada semua Ketua Setiausaha Kementerian dan Ketua Jabatan Persekutuan.

“Dimaklumkan bahawa, Kerajaan memandang serius terhadap sebarang bentuk pernyataan awam yang dibuat pegawai awam sehingga boleh menimbulkan persepsi negatif kepada kerajaan.

“Keadaan ini boleh menjejaskan imej kerajaan serta hasrat untuk menjayakan Gagasan 1Malaysia ‘Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan’,” katanya.

Di bawah Peraturan 19 (1), Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993, pegawai awam tidak boleh, secara lisan atau bertulis atau dengan apa-apa cara lain membuat apa-apa pernyataan awam yang boleh memberi pelbagai implikasi;

a. memudaratkan apa-apa dasar, rancangan atau keputusan kerajaan tentang apa-apa isu;
b. memalukan atau memburukkan nama kerajaan; atau
c. menunjukkan kelemahan apa-apa dasar, rancangan atau keputusan kerajaan.

Di bawah Peraturan 19 (2), Peraturan yang sama pula, seseorang pegawai awam tidak boleh membuat pernyataan awam mengenai sesuatu perkara melainkan mendapat kebenaran bertulis terlebih dahulu daripada menteri sama ada secara am atau khusus.

a. apa-apa ulasan tentang kelebihan dasar, rancangan atau keputusan kerajaan
b. memberi apa-apa maklumat berdasarkan fakta berhubung dengan perjalanan fungsi kerajaan atau
c. memberikan apa-apa penjelasan berkenaan dengan apa-apa peristiwa atau laporan yang melibatkan kerajaan.

Ismail berkata, semua Ketua Setiausaha Kementerian dan Ketua Jabatan Persekutuan hendaklah memantau perkara itu dan mengingatkan semua pegawai supaya mematuhi peraturan yang ditetapkan serta lebih berhati-hati dalam membuat sebarang pernyataan awam agar tidak menjejaskan imej perkhidmatan, organisasi dan kerajaan.

“Sekiranya terdapat mana-mana pegawai yang mengingkari arahan ini, tindakan tatatertib hendaklah dikenakan ke atas mereka berdasarkan Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993,” katanya.

Sumber: Malaysiakini, 14 Mei 2010

 

Tetap ia walau salah

 

Peraturan sebegini cuma mendidik pejawat awam supaya melaksanakan tugas tanpa memikirkan baik buruk sesuatu arahan yang dibuat. Saya masih teringat lagi kata-kata Tan Sri Muhammad Ali Hashim, Ketua Pegawai Eksekutif JCorp, sewaktu menghadiri Perhimpunan Permuafakatan Melayu di Persada Johor Bharu 2 tahun yang lalu, yang cukup menekankan bahawa penggunaan frasa ‘kakitangan’ kepada pekerja-pekerjanya bakal melahirkan pekerja yang tidak mampu berfikir, sebaliknya cuma tahu membuat kerja sahaja. Hal ini kerana kaki dan tangan sahaja yang melaksanakan kerja, akal tidak digunakan selorohnya sambil disambut gelak tawa audiens yang mendengarnya.

 

Apa guna guru mengajar sambil menyelitkan Kemahiran Berfikir secara Kritis dan Kreatif dalam sesi pengajaran dan pembelajaran tetapi tidak dapat digunakan dalam kehidupan? Berdasarkan teori Taksonomi Bloom, kita perlu memikirkan pada aras yang tinggi, iaitu sintesis dan penilaian supaya dapat melahirkan masyarakat maju. Tindakan sebegini cuma merugikan negara dengan menutup daya upaya berfikir secara analitikal.

 

Walaupun peraturan ini dikenakan kepada pejawat awam seperti guru, polis, pegawai kerajaan, pembantu tadbir dan sebagainya, mereka masih boleh menyuarakan bantahan menerusi penglibatan dalam badan bukan kerajaan (babuka). Contohnya, isu PPSMI dan pemberian lesen judi secara terkawal. Masakan isu yang salah dan bertentangan dengan norma pun masih mahu dikatakan sebagai betul juga?