Nota Diskusi Gaji Minimum

Posted on Mei 23, 2010

3


* Pertemuan di Restoran Anjung (bertentangan Stesen Komuter Serdang) Jumaat lalu membincangkan isu gaji minima. Di sini, saya muatkan tulisan yang dihasilkan oleh pembentang berkenaan isu gaji minimum. Kesalahan tatabahasa akan dikemas kini pada masa akan datang.

 

oleh Afif Abdullah

 

PENGENALAN

 

Dari segi undang undang, akta gaji minima mewajibkan majikan menggaji pekerjanya pada kadar yang tidak kurang yang ditetapkan. Manakala dari sudut ekonomi ia adalah kadar gaji ditetapkan lebih tinggi berbanding kadar gaji semasa.

 

Pelaksanaan gaji minima bertujuan mengurangkan kemiskinan dengan meningkatkan kuasa beli mereka yang miskin melalui peningkatan kadar gaji.

 

Apabila kita menyebut gaji minima, kita merujuk kepada undang undang yang menetapkan kadar terendah yang majikan boleh bayar kepada pekerja. Kadang kala berlaku kekeliruan dengan mengatakan gaji yang rendah itu gaji minima. Sebenarnya gaji minima berkadar lebih tinggi dari gaji yang rendah dan ia dikuatkuasakan oleh kerajaan.

 

Gaji minima merupakan salah satu alat anti-kemiskinan yang digunakan di lebih 100 buah negara dan sudah pun dilaksanakan lebih satu abad di sesetengah negara seperti Australia dan Kanada. Pada awalnya dulu ia digunakan untuk memastikan golongan wanita,  kanak kanak, dll mendapat gaji yang lebih tinggi dari apa yang mereka terima. Hari ini, ia digunakan dengan tujuan untuk membantu semua ahli masyarakat yang dianggap miskin.

 

Gaji minima adalah alat anti-kemiskinan yang sama sifatnya dengan kawalan harga: ia tidak membezakan yang miskin, sederhana atau kaya. Harga barang-barang keperluan yang dikawal oleh kerajaan boleh dinikmati oleh semua orang tanpa mengira status pendapatan dan harta. Begitu juga dengan gaji minima. Bukan sahaja orang miskin boleh bekerja pada gaji minima. Orang kaya dan kelas pertengahan juga boleh mendapat pekerjaan pada gaji minima sekiranya mereka mahu. Contoh yang paling berleluasa di seluruh dunia, ramai remaja dari keluarga sederhana dan kaya bekerja ketika cuti sekolah dan menerima gaji minima. Apabila sesuatu polisi bersifat tidak mendiskriminasi, ia dikatakan sebagai polisi yang tumpul. Faedahnya bukan sahaja dinikmati orang miskin, tetapi juga melimpah kepada golongan yang tidak miskin. Di Barat, gaji minima disebut sebagai polisi one-size-fits-all.

 

Malaysia merupakan salah satu dari segelintir negara yang belum melaksanakan akta gaji minima secara meluas. Ada yang mengatakan kita melaksanakan gaji minima antara RM350 hingga RM700 di sektor perladangan. Tetapi ia sebenarnya adalah kadar gaji yang dipersetujui bersama oleh kesatuan- kesatuan sekerja dan para majikan, bukanya gaji minima dalam kata sebenar. Kadar gaji minima di sektor perladangan tidak pun pernah diluluskan parlimen. Apa yang wujud di sektor perladangan adalah apa yang kita panggil collective bargaining. Kesatuan sekerja dan majikan akan berunding dan membuat perjanjian tentang gaji yang majikan patut bayar kepada pekerja. Kaedah collective bargaining atau perundingan kolektif bukanlah sesuatu yang asing. Ia juga diamalkan di beberapa buah negara maju yang tidak melaksanakan akta gaji minima seperti Denmark, Jerman, dan Sweden.

 

Ingin ditekankan disini – walaupun ia terang dan nyata, tapi masih ada yang kabur – gaji minima hanya memberi kesan langsung kepada mereka yang menerima gaji pada kadar gaji minima atau kurang dari kadar gaji minima. Ia tidak memberi kesan secara langsung kepada sesiapa yang sedia ada menerima gaji di atas paras kadar gaji minima. Sebagai contoh jika gaji minima ditetapkan pada RM1,500 sebulan, ia tidak akan memberi kesan kepada pekerjaan yang sekarang menerima gaji RM1,501 dan keatas. Ia hanya memberi kesan kepada pekerjaan yang menerima gaji kurang dari itu.

 

Isu gaji minima mula mendapat perhatian apabila Datuk Dr. S. Subramaniam, Menteri Sumber Manusia mencadangkan gaji minima pengawal keselamatan pada RM1,450 sebulan. Rata rata kini pengawal keselamatan menerima RM450. Kemudianya gaji minima untuk pengawal keselamatan digazetkan pada RM500 ke RM700 bergantung kepada kawasan bekerja. Beliau juga mengumumkan kementerian beliau sedang mengkaji kemungkinan untuk melaksanakan gaji minima di beberapa sektor ekonomi yang lain. Pada masa yang sama, Pakatan Rakyat juga sudah lama menekankan keperluan untuk adanya gaji minima sebagai jaring sosial melindungi rakyat dari kemiskinan.

 

KUMPULAN SASARAN

 

Pelaksanaan gaji minima adalah untuk membantu golongan yang berpendapatan rendah. Ciri-ciri mereka kebiasaanya ialah berpendidikan rendah, berkemahiran rendah, majoritinya wanita, keturunan etnik tertentu, dan mungkin pekerja pendatang. Dahulu di negara luar ia juga pernah disasarkan kepada kanak kanak sebelum amalan menggunakan buruh kanak kanak diharamkan.

 

PREMIS DAN KESAN PELAKSANAAN GAJI MINIMA

 

Nota ini banyak menggunakan contoh dari luar negara kerana Malaysia hampir tidak mempunyai langsung sejarah dan pengalaman dalam penetapan gaji pekerja swasta oleh kerajaan. Malahan penetapan gaji minima pengawal keselamatan baru sahaja dilaksanakan tahun ini dan belum ada kajian mendalam akan impaknya terhadap pekerjaan tersebut.

 

Pengalaman berpuluh tahun pelaksanaan gaji minima di luar negara telah menghasilkan beberapa premis bagaimana gaji minima memberi kesan kepada pekerja dan perniagaan yang menggaji pekerja. Antara premis-premis yang utama adalah majikan mengurangkan keuntungan perniagaan untuk membiayai kenaikan kos buruh, perniagaan menaikkan harga untuk membiayai kenaikan kos buruh, pengangguran meningkat kerana pekerja dibuang kerja setelah kos menggaji mereka meningkat, dan akhir sekali pengangguran menurun kerana semakin ramai orang mula berminat bekerja setelah gaji dinaikkan. Pihak yang menyokong gaji minima sudah pasti menggunakan premis pengurangan untung dan peningkatan penyertaan pekerja. Manakala mereka yang menentang akan menggunakan premis peningkatan harga dan peningkatan pengangguran.

 

(a) Mengurangkan keuntungan

Persoalan yang paling asas adalah bagaimana sesebuah perusahaan membiayai kenaikan kos buruh setelah akta gaji minima mewajibkan ia membayar gaji yang lebih tinggi dari sebelum ini? Aktivis-aktivis dan badan badan yang menyokong gaji minima mahukan perniagaan mengurangkan keuntungan mereka dan disalurkan kepada pekerja yang berpendapatan rendah. Adakah situasi ini benar benar berlaku? Satu kajian mengenai pasaran buruh di UK pada tahun 1999 menunjukkan keuntungan firma merudum manakala paras gaji meningkat setelah gaji minimum diperkenalkan.

 

(b) Menaikkan harga

Premis yang kedua pula menyatakan firma akan menaikkan harga barang dan perkhidmatan mereka kerana kos gaji pekerja sudah meningkat akibat gaji minima. Bancian oleh Sara Lemos dari Universiti Leicester ke atas hampir 30 kertas kajian mengenai hubungan gaji minima dan inflasi di Amerika Syarikat menyimpulkan kenaikan 10% kadar gaji minima akan meningkatkan harga makanan sebanyak 4% manakala kadar inflasi keseluruhanya tidak lebih dari 0.4%. Penemuan ini menunjukkan sekurang kurangnya di Amerika Syarikat, kenaikan gaji minima hanya akan mengakibatkan sedikit inflasi.

 

(c) Meningkatkan penyertaan ke dalam pasaran kerja

Ada yang mengatakan dengan menaikkan kadar gaji, ia akan menarik minat lebih ramai individu yang sebelum ini tidak bekerja untuk mula bekerja. Maka kadar pengangguran akan menurun kerana lebih ramai mula bekerja kerana insentif gaji yang lebih tinggi. David Card and Alan B. Krueger merupakan nama terkenal dikalangan penyokong gaji minima. Pada tahun 1994, mereka menghasilkan kajian impak gaji minima ke atas pekerja industri makanan segera. Mereka menemui bahawa kenaikan gaji minima telah meningkatkan jumlah pekerja di restoran-restoran makanan segera. Penemuan ini sangat popular, malahan Presiden Clinton menggunakanya untuk mencadangkan kenaikan gaji minima di kongres.

 

(d) Membuang pekerja

Premis pengangguran di kalangan pekerja berkemahiran rendah merupakan senjata utama bagi pihak yang menentang gaji minima sebagai alat pembasmi kemiskinan. Disebabkan gaji minima, majikan bertindak dengan mengurangkan jumlah pekerja bagi mengurangkan kembali kos buruh. Menurut model penawaran-permintaan dalam mana mana buku teks ekonomi hatta di peringkat sekolah menengah, pelaksanaan gaji minima akan menyebabkan sejumlah pekerja berpendapatan rendah akan menganggur. Sudah banyak kertas kajian sudah dijalankan akan impak pengangguran akibat pelaksanaan gaji minima. Realitinya ia memang benar.

 

Namun persoalanya disini ialah sebanyak mana pengangguran akan berlaku disebabkan gaji minima. Sesetengah kajian menunjukkan jika gaji minima ditetapkan sedikit tinggi dari kadar gaji sedia ada, kesan pengangguran adalah kecil. Jika gaji minima ditetapkan terlalu tinggi pula, kesan pengangguran adalah besar. Disini dilemmanya. Ingat matlamat asal penggunaan gaji minima adalah untuk mengurangkan kemiskinan. Jika gaji minima ditetapkan rendah, maka ia tidak berkesan untuk mengurangkan kemiskinan. Jika ditetapkan tinggi pula, akan ramai pekerja berkemahiran rendah yang akan menganggur dan menyimpang dari matlamat asal gaji minima untuk membantu mereka yang miskin. Perdebatan gaji minima di negara negara luar biasanya berkisar berapa peratus gaji minima harus dinaikkan, dan berapa ramai pula pekerja miskin akan dibuang kerja. Pada tahun 1989, pentadbiran George Bush (senior) mencadangkan kenaikan gaji minima dari $3.35 kepada $3.85. Kongres pula mahukan kenaikan lebih tinggi ke tahap $4.25. Bush cuba memenangi hati orang awam dengan menunjukkan kajian bahawa kenaikan $4.25 akan mengakibatkan 600,000 orang menganggur. Sedangkan kenaikan sekadar pada $3.85 hanya mengakibatkan 300,00 orang menganggur. Lihat disini bagaimana kongres dan majoriti rakyat Amerika yang tidak miskin cuba menentukan berapa ratus ribu orang patut menganggur demi gaji minima. Ia membuktikan bahawa penyokong gaji minima sendiri pun mengakui premis pembuangan pekerja ini. Pendirian mereka bersifat utilitarian, iaitu menaikkan pendapatan majoriti orang miskin dengan mengorbankan sedikit orang miskin.

 

Di dalam realiti, kesemua premis dan kesan ini berlaku secara serentak. Persoalanya, yang mana satu kah lebih kuat impaknya dari yang lain?

 

KESAN-KESAN GAJI MINIMA YANG TERSEMBUNYI

 

Di atas dibincangkan premis dan kesan-kesan jelas gaji minima. Namun undang undang pengagihan pendapatan ini memberi kesan-kesan sampingan juga.

 

(a) Gaji Minima dan Diskriminasi Kaum

Gaji minima juga boleh menjadi senjata oleh sesiapa yang mahu amalkan diskriminasi di pasaran kerja. Pengalaman di Amerika dan Afrika Selatan menunjukkan pekerja dari etnik tertentu sanggup bekerja untuk gaji yang lebih rendah berbanding pekerja berketuruan Kaukasus atau kulit putih. Ini adalah kerana majoriti majikan adalah berketurunan kulit putih. Maka untuk mengelak dari di-diskriminasi, pekerja kulit hitam sanggup menerima gaji lebih rendah. Ini membuatkan orang kulit hitam mudah mendapat kerja dan orang kulit putih sukar mendapat kerja terutamanya di sektor bergaji rendah. Lebih murah untuk menggajikan pekerja bukan kulit putih berbanding pekerja kulit putih.

 

Tetapi dengan adanya gaji minima, kini paras gaji semua kaum akan diratakan. Maka pekerja berketurunan bukan kulit putih sudah hilang kelebihan gaji rendah dalam pasaran kerja. Memandangkan sudah tiada perbezaan antara menggajikan pekerja kulit putih dan bukan kulit putih, sudah pasti majikan yang majoritinya kulit putih akan mementingkan pekerja dari kaumnya.

 

Menurut ahli ekonomi Amerika yang berketurunan Afrika, Walter Williams, kesatuan sekerja di Afrika Selatan dimonopoli orang kulit putih. Kesatuan sekerja di Afrika Selatan menyokong akta gaji minima atas alasan kononya untuk membantu kaum kulit hitam yang rata-rata miskin. Tetapi matlamat mereka yang sebenar untuk merampas pekerjaan orang kulit hitam di sektor gaji rendah.

 

Situasi gaji minima menjadi alat perkauman boleh berlaku apabila golongan majikan ramainya terdiri dari satu kaum, manakala golongan pekerja ramainya terdiri dari kaum lain. Ketidakseimbangan perwakilan kaum dalam pasaran modal dan buruh akan mengakibatkan rasisme di pasaran kerja. Ketidakseimbangan ini wujud di Malaysia.

 

Pada 1 Mei lepas, pertubuhan rasis Hindraf mencadangkan gaji minima dalam ucapan selamat Hari Pekerja. Jelas mereka tidak mengetahui sejarah gelap gaji minima di Afrika Selatan.

 

(b) Komposisi Pekerja Gaji Minima

Diskriminasi tidak terhenti pada garisan kaum. Ingat semula ciri-ciri mereka yang ingin dibantu: berkemahiran rendah, berpendidikan rendah. Ciri ciri ini merupakan punca kemiskinan mereka. Ingat juga gaji minima juga merupakan polisi yang tumpul kerana yang bukan miskin juga boleh mendapat faedahnya.

 

Di Amerika Syarikat pada tahun 1986, Pejabat Belanjawan Kongres mengeluarkan laporan bahawa 4 dari 5 pekerja yang menerima gaji minima bukan dari golongan yang miskin. Golongan yang sederhana dan kaya seperti remaja berpendidikan tetapi belum bergraduat juga bekerja dan menerima gaji minima.

 

Disini berlaku persaingan antara orang miskin yang tidak berpendidikan atau berpendidikan rendah dengan orang bukan miskin yang berpendidikan. Gaji minima mengakibatkan pekerja menjadi lebih mahal untuk digaji. Maka apabila majikan mahu mengecilkan saiz jumlah pekerjanya, sudah pasti ia akan membuang pekerja yang lemah. Yang lemah adalah mereka yang berpendidikan rendah yang sudah tentu juga miskin. Akhirnya, orang miskin sendiri menghadapi diskriminasi di tempat kerja. Sedangkan matlamat asal gaji minima adalah untuk membantu orang miskin.

 

Kita selalu lihat apabila berlaku kemelesetan ekonomi, mangsa yang paling ramai akibat kenaikan kadar pengangguran adalah mereka yang miskin. Ini kerana untuk menyelamatkan perniagaan dari rugi, majikan akan membuang pekerja yang lemah dan mengekalkan pekerja yang baik. Gaji minima hanya akan memburukkan lagi keadaan ini. Ronald Krumm dari American Enterprise Institute menghasilkan penemuan pada tahun 1981 mendapati gaji minima mengakibatkan pekerja berkemarhiran lebih rendah lebih mudah dibuang kerja.

 

(c) Kesan Negatif Jangka Panjang

Seseorang pekerja dibayar mengikut produktivitinya. Semakin tinggi produktiviti maka semakin tinggi bayaran yang diterima. Tahap produktiviti berbeza mengikut tahap kerajinan, kemahiran, dan pendidikan. Cara seseorang untuk meningkatkan pendapatan dalam jangka panjang ialah mendapatkan kemahiran baru dan pendidikan lebih tinggi.

 

Kemahiran baru boleh diperolehi samada melalui pengalaman atau latihan di tempat kerja, atau pun di institusi pendidikan. Manakala pendidikan pula sudah tentu diperolehi di institusi pendidikan.

 

Gaji minima boleh merencatkan pertumbuhan pendapatan individu dalam jangka panjang. Ia menjadi penghalang kepada individu untuk mendapat kemahiran dan pendidikan lebih tinggi.

 

Sebelum ini dibincangkan beberapa premis bagaimana majikan mengatasi kenaikan kos gaji pekerja iaitu menaikkan harga barang, mengurangkan keuntungan, dan membuang pekerja. Tetapi terdapat satu lagi cara yang majikan guna iaitu mengurangkan kos latihan di tempat kerja. Disebabkan kekurangan latihan di tempat kerja, pekerja kurang berpeluang untuk memiliki kemahiran baru, meningkatkan produktiviti, dan meningkatkan pendapatan dalam jangka panjang.

 

Berlawanan dengan apa orang ramai percaya, hakikatnya bukan semua pekerja akan selama-lamanya tersekat di takuk gaji rendah. Sekalipun seseorang memulakan pekerjaanya pada kadar gaji rendah, melalui pengalaman dan latihan di tempat kerja, dia dapat meningkatkan produktivitinya dan mendapat prospek kenaikan gaji dan pangkat. Perlahan lahan, dia dapat meningkatkan pendapatan dan keluar dari lembah kemiskinan. Trend ini banyak berlaku di sektor sektor berkaitan perkilangan.

 

Namun apabila firma mengurangkan kos dengan mengurangkan latihan di tempat kerja, ia menghalang pekerja dari mempelajari kemahiran baru dan meningkatkan produktiviti. Dan gaji minima merupakan salah satu punca majikan menghapuskan latihan di tempat kerja.

 

Di Amerika Syarikat, gaji minima ditetapkan mengikut jam. Majikan bertindak balas kepada kenaikan gaji minima dengan mengurangkan jam bekerja untuk mengurangkan kos bayaran kepada pekerja. Ini juga mengurangkan pengalaman yang boleh diperolehi di tempat kerja.

 

Gaji minima juga merupakan satu tarikan kepada anak muda untuk berhenti sekolah dan bekerja. Ini merupakan kesan negatif timbul dari premis gaji minima akan menggalakan lebih ramai individu untuk bekerja. Bukan sahaja yang miskin akan bekerja, tetapi juga anak muda yang masih belajar. Sekiranya anak muda meneruskan pelajaran, mereka berpeluang menikmati tingkat gaji lebih tinggi dengan kelayakan pendidikan lebih tinggi.

 

Kajian oleh David Neumark dan Olena Nizalova pada 2004 mendapati gaji minima memberi kesan negatif jangka panjang kepada pertumbuhan pendapatan dan produktiviti dikalangan anak muda akibat kekurangan latihan dan pengalaman di tempat kerja.

 

(d) Keselamatan dan kesihatan di tempat kerja

Selain kos gaji, sesebuah perniagaan juga perlu menanggung kos menjaga keselamatan dan kesihatan di tempat kerja. Sekiranya majikan tidak sanggup membuang pekerja dan tidak mahu menaikkan harga atau mengurangkan untung, ada kemungkinan majikan akan memotong perbelanjaan keselamatan dan kesihatan di tempat kerja. Ini akan membahayakan pekerja di tempat kerja, terutamanya di sektor pembinaan, perkilangan, dan pertanian.

 

(e) Letupan di bawah Permukaan

Permukaan yang dimaksudkan itu ialah paras gaji minima yang ditetapkan. Ramai yang menganggap gaji minima merupakan kadar gaji terendah dalam negara. Sebenarnya masih wujud pekerjaan yang membayar gaji lebih rendah paras tersebut.

 

Situasi ini berlaku apabila akta gaji minima hanya dilaksanakan ke atas sektor sektor tertentu. Sebagai contoh di Amerika Syarikat, majikan yang memperolehi pendapatan tahunan kurang dari $500,000 akan dikecualikan dari membayar gaji minima pada pekerja. Apabila pekerja berkemahiran rendah dibuang kerja dari sektor yang dikenakan gaji minima, mereka akan terpaksa mencari kerja baru di sektor yang tidak dikenakan gaji minima dan membayar kadar gaji lebih rendah dari kadar gaji minima. Mereka tidak dapat pergi ke sektor yang membayar lebih tinggi dari sektor gaji minima kerana tidak memiliki kelayakan kemahiran dan pendidikan yang diperlukan.

 

Ingat bahawa apabila majikan membuang pekerja kerana kos gaji minima, mereka akan buang pekerja yang paling lemah. Yang paling lemah adalah mereka yang berkemahiran dan berpendidikan rendah dan sudah tentu miskin. Apabila pekerja yang lemah dibuang kerja, mereka terpaksa mencari pekerjaan baru. Seringkali peluang pekerjaan baru terdapat di dalam sektor yang dikecualikan dari gaji minima.

 

Disini berlaku limpahan pekerja yang dipecat dari sektor gaji minima ke sektor yang membayar gaji lebih rendah dari minima. Gaji minima menyebabkan pekerja berkemahiran rendah dibuang kerja dari sektor gaji minima dan memaksa mereka mencari pekerjaan dengan gaji lebih rendah dari minima. Dalam kata lain, gaji minima meningkatkan jumlah pekerja menerima gaji lebih rendah. Pekerja berkemahiran rendah yang asalnya bekerja di sektor gaji minima, setelah gaji minima diperkenalkan, akan dibuang kerja dan bekerja di sektor lain dengan gaji lebih rendah .

 

Gaji minima bukan sahaja mengakibatkan peningkatan pembuangan pekerja di sektor gaji minima, tetapi menghasilkan lebih banyak pekerjaan di sektor bukan gaji minima. Majikan di sektor bukan gaji minima menerima banyak permohonan bekerja setiap kali gaji minima dinaikkan.

 

Pengalaman di Amerika Syarikat menunjukkan gaji minima bukan sahaja mengurangkan jumlah pekerja gaji minima, tetapi meningkatkan jumlah pekerja yang menerima gaji lebih rendah dari gaji minima. Menurut Alan Reynolds – zamil dari Cato Institute dan juga merupakan ahli ekonomi – pada tahun 1996 gaji minima nasional dinaikkan ke $4.75 dan dinaikkan sekali lagi $5.15 pada 1997. Akibatnya berlaku letupan di sektor yang tidak dikenakan gaji minima. Semakin ramai bekerja di sektor dibayar gaji lebih rendah dari minima. Pada tahun 1995, hanya terdapat 1.7 juta pekerja yang dibayar gaji lebih rendah dari minima. Dua tahun kemudian akibat kenaikan gaji minima nasional, jumlahnya meningkat kepada 3 juta. Ini adalah kes gaji minima menyebabkan mereka yang miskin menjadi semakin miskin.

 

Ironinya pada masa yang sama pada 1996-1997, kadar pengangguran nasional dilaporkan menurun. Sedangkan gaji minima sepatutnya menaikkan penangguran. Penyokong gaji minima menggunakan statistik ini membuktikan gaji minima tidak mengakibatkan pengangguran. Apa yang berlaku sebenarnya? Penurunan pengangguran nasional tersebut adalah disebabkan pertumbuhan ekonomi dan pertambahan pekerjaan di sektor berpendapatan tinggi, tiada kena mengena dengan sektor gaji minima pun. Malahan pekerjaan gaji minima hanya mewakili 0.4% dari seluruh pekerjaan di Amerika Syarikat. Adalah dangkal untuk menggunakan kadar pengangguran nasional untuk mengukur keberkesanan gaji minima.

 

STRUKTUR EKONOMI MALAYSIA

 

Kini selalu kedengaran negara kita terperangkap dalam middle income trap. Ini disebabkan polisi ekonomi lama kita yang mahu bersaing sebagai hub eksport dengan menggunakan kos buruh murah sebagai kelebihan. Kini kita cuba keluar dari perangkap ini dan naik menjadi ekonomi berpendapatan tinggi. Masalahnya untuk menjadi ekonomi berpendapatan tinggi kita memerlukan pekerja berkemahiran tinggi. Negara kita memiliki terlalu banyak pekerja berkemahiran rendah (yang terdiri dari pekerja tempatan dan asing) tetapi terlalu sedikit pekerja berkemahiran tinggi. Salah satu puncanya ialah brain-drain. Terlalu ramai rakyat kita yang berbakat dan berpendidikan tinggi berhijrah ke negara luar.

 

Kini ada suara yang mahu menaiktarafkan ekonomi kita dengan memperkenalkan gaji minima. Memandangkan gaji minima menjadikan satu mandat untuk membayar pekerja dengan gaji lebih tinggi, maka tercapailah ekonomi berpendapatan tinggi! Ini pendapat yang dangkal. Lebih menyedihkan ia keluar dari mulut seorang menteri kita. Menurut Profesor Madya Shandre M. Thangavelu dari Universiti Kebangsaan Singapura, ekonomi berpendapatan tinggi dipacu oleh teknologi, kompetensi sektor terpilih, dan dikekalkan oleh modal insan yang stabil. Semakin membangun modal insan, semakin tinggi pendapatan. Beliau juga berpendapat daripada melaksanakan gaji minima, adalah lebih baik mengamalkan polisi kebajikan yang membantu pekerja meningkatkan produktiviti mereka.

Manipulasi undang undang untuk pengagihan semula pendapatan tidak akan menghasilkan sebarang pendapatan tambahan kepada ekonomi negara, jauh sekali dari membantu mencapai status ekonomi berpendapatan tinggi.

 

Tambahan pula, ekonomi kita hari ini masih berintensifkan buruh murah. Kita masih berdaya saing kerana buruh kita murah, itupun sudah mula ketinggalan berbanding negara-negara jiran. Kita belum lagi meningkat menjadi ekonomi berasaskan modal, teknologi, modal insan berkemahiran tinggi. Jika kita naikkan kos buruh kita sekarang, kita akan hilang daya saing. Sudahlah belum ada teknologi dan modal insan yang diperlukan, kelebihan apa yang kita ada sekarang ini pun kita nak musnahkan. Yang dikejar tak dapat, yang dikendong keciciran. Alternatif yang kita ada ialah membiarkan sektor swasta perlahan lahan mengubah struktur produksi mereka dari berasaskan buruh kepada modal. Apabila nisbah modal-buruh meningkat, produktiviti dan pendapatan buruh juga meningkat. Nisbah modal-buruh merupakan ciri ciri ekonomi berpendapatan tinggi.

 

Persoalanya, mengapa sektor swasta masih mengekalkan struktur produksi berasaskan buruh? Pertama ia memang legasi polisi ekonomi kita yang lama, iaitu menjadi ekonomi pengilang dan pengeksport dengan menggunakan buruh murah. Kesatuan sekerja ditekan dan diharamkan di sesetangah sektor ekonomi, bagi melemahkan kuasa pekerja untuk merunding gaji lebih tinggi. Akta kawalan harga dan subsidi petroleum pula digunakan untuk mengawal kos kehidupan di Malaysia – menjadikan pekerja Malaysia murah untuk digaji kerana kos hidup yang rendah. Polisi immigran yang terbuka juga merupakan salah satu punca tingkat gaji ditekan dari meningkat. Kebanjiran pekerja asing menyebabkan gaji di pekerjaan berkemahiran rendah bertumbuh dengan perlahan, kerana pekerja asing sanggup bekerja pada gaji lebih rendah.

 

Membandingkan kadar pengangguran di negara maju yang memiliki gaji minima adalah satu kesilapan. Seperti contoh sebelum ini di Amerika Syarikat, pekerjaan gaji minima hanya mewakili 0.4% dari seluruh pekerjaan di Amerika Syarikat. Ekonomi negara maju banyak bergantung kepada modal, teknologi, dan modal insan berkemahiran tinggi. Gaji minima adalah bantuan untuk modan insan berkemahiran rendah dan ekonomi negara maju kurang bergantung kepada modal insan berkemahiran rendah. Maka gaji minima hanya memberi kesan kecil kepada pertumbuhan ekonomi berteknologi tinggi. Sedangkan Malaysia masih bergantung kepada modal insan berkemahiran rendah. Maka gaji minima boleh memberi kesan besar kepada ekonomi kita. Gaji minima hanya akan meningkatkan kederasan aliran keluar pelaburan dari negara ini ke negara yang buruhnya lebih murah.

 

GAJI MINIMA MEMBERI KELEBIHAN KEPADA FIRMA-FIRMA BESAR DAN ANTARABANGSA, TETAPI MENYAKITI FIRMA KECIL DAN TEMPATAN

 

Pada 2005 H. Lee Scott, Jr., CEO syarikat peruncit gergasi Wal-Mart, mengejutkan ramai orang dengan menyeru gaji minima dinaikkan. Bukankah gaji minima tidak digemari oleh para majikan kerana ia meningkatkan kos menggaji pekerja? Kenapa tiba tiba sebuah syarikat gergasi mahu menaikkan kos menggaji pekerja? Adakah CEO bergaji berjuta-berjuta ini tiba tiba sudah menjadi sosialis atau berjiwa pekerja?

Bukan. Beliau mempunyai niat jahat tersembunyi disebalik seruan ‘mulia’ menaikkan gaji minima. Wal-Mart ketika itu membayar gaji terendah kepada pekerja sebanyak $8 sejam. Walaupun rendah, ia masih tinggi berbanding gaji minima yang ditetapkan kerajaan pada $5 sejam. Yang membayar pekerja pada tahap gaji minima adalah pesaing pesaing Wal-Mart, seperti kedai runcit kecil kecilan. Menaikkan gaji minima akan meningkatkan kos pesaing Wal-Mart. Katakan jika gaji minima dinaikkan ke $6 atau $7 sekalipun, Wal-Mart tidak akan menerima kesan kenaikan kos kerana ia sudah sedia membayar pada $8, tetapi pesaing pesaing Wal-Mart akan menghadapi kenaikan kos akibat gaji minima. Wal-Mart cuba mengalahkan pesaing-pesaingnya dengan meningkatkan kos pesaingnya melalui peningkatan gaji minima. Ini adalah contoh bagaimana gaji minima akan memberi kelebihan kepada syarikat besar tetapi menyakiti perniagaan kecil-kecilan.

 

Senario ini tidak mustahil boleh berlaku di Malaysia. Kalau gaji minima diperkenalkan diseluruh negara, syarikat-syarikat antarabangsa yang ‘berpoket besar’ seperti Tesco dan Carrefour tidak akan menghadapi masalah besar membayar gaji minima. Tetapi bagaimana pula syarikat tempatan dan perniagaan kecil kecilan yang memiliki kapasiti kewangan yang lebih kecil? Econsave, restoran mamak, kedai runcit Pak Mat, dll semuanya akan menghadapi kenaikan kos dan mungkin akan bankrupt.

 

Gaji minima memberi kesan negatif terbesar kepada perniagaan kecil kecilan. Bukankah negara kita ingin maju dengan industri kecil dan sederhana tempatan? Gaji minima akan menaikkan kos industri kecil dan sederhana kita.

 

POLITIK GAJI MINIMA

 

Ambil kembali contoh Bush berhujah 300,000 vs 600,000 pekerja dibuang pada tahun 1989. Majoriti rakyat Amerika adalah kelas pertengahan. Melalui demokrasi, kita lihat bagaimana majoriti yang bukan miskin boleh menentukan berapa ramai minoriti yang miskin patut dibuang kerja. Semakin tinggi gaji minima, semakin ramai akan kehilangan kerja atau terpaksa mencari kerja dengan pendapatan lebih rendah. Mereka yang bukan miskin tidak akan menerima kesan secara langsung dari kenaikan gaji minima. Sebab itu mereka dengan tanpa rasa bersalah cuba menentukan berapa ratus ribu orang patut dibuang kerja, supaya pendapatan beberapa juta yang lain dapat ditingkatkan. Tidak kisahlah berapa sedikit pun yang dibuang kerja supaya pendapatan yang ramai dapat dinaikkan, persoalanya adakah ia bermoral dan adil? Bagaimana pula keadilan untuk mereka yang tidak ramai tetapi dikorbankan untuk kenaikan pendapatan orang lain?

 

Di Amerika Syarikat dan di mana mana negara sekalipun, gaji minima telah dipolitikkan untuk mendapat undi. Ahli politik tahu bahawa akan ada yang dibuang kerja jika gaji minima dinaikkan. Tetapi yang dibuang kerja ini jumlahnya kecil dan tidak memberi impak besar kepada populariti ahli politik. Gaji minima menjadi alat politik populis – menggembirakan yang ramai dengan mengorbankan sebilangan kecil rakyat. Setiap kali pilihan raya, ahli politik akan menjanjikan kenaikan gaji minima untuk mendapatkan undi.

 

BAGAIMANA GAJI MINIMA DI NEGARA KURANG MEMBANGUN?

 

Setakat ini sudah banyak contoh-contoh di negara maju digunakan. Bagaimana pula ceritanya di negara dunia ketiga atau negara membangun?

 

Sebastian Edwards dan Nora Lustig dari Brookings Institution (sebuah kumpulan pemikir yang dikenali dengan pendirian kiri sederhana) menerbitkan sebuah buku berkenaan pekerja-pekerja di Amerika Latin. Mereka menyimpulkan, sekalipun terdapat hubungan negatif antara gaji minima dan kemiskinan – iaitu gaji minima mengurangkan kemiskinan – pendekatan gaji minima bukanlah cara yang terbaik untuk menghapuskan kemiskinan.

 

Laporan World Development Report dari World Bank pada tahun 1995 menyatakan “gaji minima mungkin membantu pekerja miskin di negara-negara industri, tetapi ia tidak begitu di negara membangun”. Pertama adalah kerana akta gaji minima meliputi hanya sektor formal yang kecil, sedangkan sektor bukan formal adalah sangat besar, maka pelaksanaan dan pemantauan gaji minima adalah sukar. Kedua, garis-garis kemiskinan adalah lebih rendah di negara membangun dan pekerja yang menerima gaji minima bukanlah yang termiskin dari yang miskin. Ketiga, sebahagian besar orang miskin bekerja didalam sektor yang tidak disentuh akta gaji minima atau bekerja sendiri. Sebagai tambahan, kadar inflasi tinggi juga menyukarkan untuk menetapkan tahap gaji minima yang tepat.

 

PENDAPAT MAJORITI

 

Ratusan kertas kajian sudah diterbitkan berkenaan gaji minima. Ada yang menunjukkan gaji minima mengakibatkan pengangguran, ada yang menunjukkan sebaliknya, ada yang menunjukkan pengurangan kemiskinan, ada juga yang menunjukkan sebaliknya. Apabila terdapat beberapa pendapat yang bercanggah antara satu sama lain, antara perkara yang boleh kita lakukan ialah dengan mengumpul dan membuat tinjauan ke atas hampir kesemua kajian dan melihat apakah pendapat yang paling dominan.

Kalau tidak silap saya, konsensus mengenai pemanasan global juga dihasilkan melalui cara ini.

 

Pada tahun 2008, David Neumark and William L. Wascher menerbitkan sebuah buku bertajuk Minimum Wages. Buku tersebut merupakan rumusan 20 tahun kajian mereka ke atas gaji minima, meliputi lebih 300 kertas kajian di beberapa buah negara dengan data sepanjang 50 tahun. Dalam buku tersebut, kesimpulan pertama ialah gaji minima sememangya mengakibatkan mengurangkan peluang pekerja berkemahiran rendah. Sekalipun terdapat kajian yang menunjukkan keputusan sebaliknya, jumlahnya kecil dan boleh dipersoalkan kaedah yang digunakan. Kedua, gaji minima yang lebih tinggi akan memudaratkan keluarga yang miskin sekiranya kesan pengangguran banyak tertumpu kepada mereka. Ketiga, gaji minima akan mengurangkan pemerolehan kemahiran baru untuk pekerja (kerana majikan menghapuskan kos latihan di tempat kerja dan waktu kerja). Kekurangan kemahiran baru akan membantutkan pertumbuhan gaji di masa akan datang. Neumark akhirnya mencadangkan sesiapa mahu menggunakan polisi ekonomi untuk mengagihkan semula pendapatan bagi merapatkan jurang pendapatan dan mengurangkan kemiskinan, haruslah menjauhi dari menggunakan gaji minima dan pilih alternatif yang lain. Ini rumusan kajian selama 20 tahun merangkumi lebih 300 kertas kajian di beberapa buah negara.

 

Kita khuatir sekiranya David Neumark and William L. Wascher berat sebelah dalam merumuskan kajian mereka. Bagaimana pula pendapat majoriti ahli ekonomi lain tentang gaji minima? Pada tahun 2007, Employment Policies Institute menjalankan survey ke atas ratusan ahli ekonomi yang mengkhususkan dalam bidang ekonomi buruh. Hanya 6% ahli ekonomi bersetuju penggunaan gaji minima sebagai alat yang cekap untuk membantu keluarga yang miskin, 39% melihat ia agak cekap, manakala 55% berpendapat ia tidak cekap langsung. Apabila ditanya apakah alat terbaik untuk membantu keluarga miskin, hanya 9% melihat gaji minima. Selebihnya 91% peratus memilih pendekatan-pendekatan lain untuk membasmi kemiskinan.

 

SERUPA MATLAMAT, BERBEZA PENDEKATAN

 

Hakikatnya, samada kita menyokong atau menentang gaji minima kita masih berkongsi matlamat yang serupa: membantu mereka yang miskin. Cuma cara yang dipilih berbeza. Maka apakah alternatif lain kepada gaji minima?

 

Salah satu pendekatan yang terkenal tapi kurang dilaksanakan ialah penggunaan sistem baucer dan pindahan bayaran langsung. Kedua duanya hampir serupa, iaitu membantu gologan miskin membeli barang barang keperluan dan mengurangkan beban perbelanjaan. Ini lebih baik dari gaji minima yang boleh menyebabkan sesetengah mereka kehilangan kerja. Polisi ini juga bersifat tajam: ia memastikan wang pembayar cukai dibelanja pergi terus ke orang miskin, bukanya ditumpang bersama oleh orang tidak miskin. Namun dikhuatiri pendekatan ini terdedah untuk dimanipulasi ahli politik.

 

Pendekatan yang konvensional juga lebih baik berbanding gaji minima. Kawalan harga dan subsidi walaupun belanjanya besar dan bersifat tumpul. Sekurang kurangnya tiada ancaman kehilangan pekerjaan di kalangan pekerja berkemahiran rendah.

 

Cukai pendapatan negatif. Namanya mungkin pelik sebab ia hanya dilakukan di Amerika Syarikat. Dicipta oleh ahli ekonomi libertarian Milton Friedman, sistem cukai ini meletakkan paras pendapatan asas bagi masyarakat. Sesiapa yang menerima pendapatan kurang dari paras yang ditetapkan akan menerima wang bantuan untuk mencukupkan pendapatan asas. Sekalipun pendekatan ini diilhamkan oleh seorang yang sangat ber-ideologi pasaran bebas, cukai pendapatan negatif menikmati sokongan dari kedua dua belah sayap politik baik kiri atau kanan kerana keberkesananya. Merujuk kembali tinjauan Employment Policies Institute, sehingga 70% ahli ekonomi berpendapat inilah pendekatan terbaik untuk membantu keluarga miskin! Inilah pendekatan yang diterima semua ideologi politik dan pada masa yang dilihat sangat berkesan oleh majoriti pakar ekonomi.

 

Akhir sekali, tiada cara yang lebih baik dari pekerja sendiri meningkatkan kemahiran dan tahap pendidikan bagi melayakkan diri mereka menerima tingkat gaji lebih tinggi. Semua ekonomi maju di dunia mencapai kemajuan kerana mereka memiliki lebih ramai pekerja berkemahiran tinggi berbanding berkemahiran rendah. Kemiskinan masih wujud, hatta di negara terkaya sekalipun. Walau banyak mana sekalipun bantuan dan campurtangan kerajaan dalam membantu mereka yang miskin, di hujung jalan ia berbalik pada kemahuan individu untuk memperbaiki kualiti hidup mereka.

 

RUJUKAN

 

Mirko Draca, Stephen Machin, John Van Reenen, Minimum Wages & Firm Profitibility

Sara Lemos, 2006. “A Survey of the Effects of the Minimum Wage on Prices,” Discussion Papers in Economics 06/9, Department of Economics, University of Leicester

Minimum Wages: David Neumark and William L. Wascher

David Card and Alan B. Krueger, “Minimum Wages and Employment: A Case Study of the Fast-Food Industry in New Jersey and Pennsylvania,” American Economic Review, Volume 84, no. 4 (September 1994), pp. 774-775.

Krumm, Ronald J. 1981. The Impact of the Minimum Wage on Regional Labor Markets. Washington: American Enterprise Institute.

Minimum Wage Effects in the Longer Run | David Neumark, Olena Nizalova

 

http://www.epionline.org/studies/epi_minimumwage_07-2007.pdf survey among labor economists

http://www.conciseguidetoeconomics.com/minimumwage/chapter14/

http://jewishworldreview.com/cols/williams041410.php3

http://www.capitalismmagazine.com/economics/price-controls/4472-What-Causes-Unemployment.html

http://www.cato.org/pub_display.php?pub_id=5409

http://www.cato.org/pub_display.php?pub_id=2754

http://thestar.com.my/news/story.asp?file=/2010/1/16/nation/5483536&sec=nation high income economy

http://books.google.com.my/books?hl=en&lr=&id=eIdPp-KeKGsC&oi=fnd&pg=PA62&dq=minimum+wage+and+poverty&ots=GR0rsAnm66&sig=Mz-ptsSCkj8XW_reuwDCtMB2EBc#v=onepage&q=minimum%20wage%20and%20poverty&f=false

http://econ.worldbank.org/external/default/main?pagePK=64165259&theSitePK=469372&piPK=64165421&menuPK=64166093&entityID=000009265_3961219103803

http://www.dlc.org/ndol_ci.cfm?kaid=139&subid=277&contentid=3607

 

Beliau merupakan Felo Institute for Democracy and Economic Affairs (IDEAS).