Sebalik isu gaji minimum

Posted on Mei 22, 2010

0


Sebalik isu gaji minimum

Baru-baru ini saya mendapat jemputan daripada saudara Afif di Facebook untuk mengikuti diskusi gaji minimum. Walaupun sekarang dalam suasana peperiksaan di hujung semester 5, saya cuba meluangkan waktu untuk mengikuti isu terkini. Rasa-rasanya lebih 2 bulan saya tidak mengikuti apa-apa program anjuran luar kerana kesibukan dengan praktikal di sekolah, menyiapkan tugasan dan menguruskan penganjuran quarter-marathon.

 

Program anjuran Institut Demokrasi dan Hubungan Ekonomi (Institute for Democratic and Economy Affairs – IDEAS) ini cuba menarik minat khalayak untuk mengikuti bersama-sama memahami isu gaji minima sebagai mekanisme pembasmi kemiskinan di Malaysia. Baru-baru ini, kerajaan telah mencadangkan supaya Akta Gaji Minimum diperkenalkan dan seterusnya dapat memberi keselesaan kepada individu yang bekerja sebagai penjaga keselamatan, pekerja kilang, penggalak di pasar raya, pembantu rumah, pekerja binaan dan lain-lain lagi yang seumpama dengannya.

 

Menariknya, isu ini mendapat persetujuan oleh kedua-dua belah pihak di Parlimen tanpa sebarang perdebatan atau bangkangan. Hal ini seolah-olah menunjukkan bahawa isu ini ‘mesti’ dilaksanakan dengan kadar segera demi membantu masyarakat marhaen yang miskin.

 

Namun begitu, adakah gaji minimum merupakan instrumen terbaik untuk membantu orang miskin dan meningkatkan ekonomi negara?

 

IMPLIKASI

 

Pertama, kemahiran pekerja. Sebelum ini, pihak swasta membayar emolumen berdasarkan kemahiran yang dimiliki oleh seseorang pekerja. Contohnya, dalam sebuah restoran ada pelayan yang mengambil pesanan dan tukang masak. Bayaran yang diterima antara pelayan dan tukang masak berbeza, iaitu RM400 dan RM800. Hal ini kerana tukang masak mempunyai kemahiran memasak pelbagai juadah, menyediakan hidangan dan menjaga kualiti masakan berbanding pelayan tadi. Walau bagaimanapun, apabila akta gaji minimum diperkenalkan, majikan terpaksa membayar setiap pekerjanya pada harga yang sama. Jika gaji minimum adalah RM800, pelayan juga akan menerima gaji yang sama seperti tukang masak. Situasi ini pastinya memberi kesukaran kepada majikan kerana terpaksa mengeluarkan kos berlebihan sedangkan kemahiran yang dimiliki pelayan adalah kurang.

 

Kedua, tahap pendidikan pekerja. Sama juga seperti situasi di atas. Lebih menarik lagi, adakah orang yang berpendapatan rendah memiliki tahap pendidikan yang tinggi? Fokus kewujudan akta ini matlamatnya untuk membantu golongan berpendapatan rendah. Akibat daripada tahap pendidikan yang rendah, majikan tidak akan mengambil pekerja yang kurang berpengetahuan jika banyak pilihan. Harus diingat bahawa dalam ekonomi matlamat perniagaan adalah keuntungan, maka mustahil majikan sanggup membayar gaji minimum kepada pekerja yang kurang berpengetahuan. Jikalau diberi pilihan antara pekerja dari kampung dengan lepasan universiti, pastinya majikan lebih cenderung untuk menggajikan yang berpengetahuan.

 

Ketiga, pengangguran. Kebimbangan yang perlu disedari adalah masalah ini. Ada pandangan menyatakan bahawa gaji minimum akan memberi lebih banyak peluang pekerjaan. Hal ini kerana orang akan terdorong untuk bekerja akibat tawaran gaji minimum. Sedar atau tidak, kos firma akan meningkat untuk membayar gaji minimum kepada pekerja. Sekiranya sebuah kilang kasut Crocs mempunyai 100 orang pekerja, majikan terpaksa membuang pekerja yang kurang bermanfaat demi mengurangkan kos. Contohnya, gaji pekerja kilang adalah RM450. RM450 x 100 orang = RM45000. Namun, apabila adanya gaji minimum RM800. RM800 x 100 orang = RM80000. Kos meningkat sehingga RM35000. Mahu atau tidak, pekerja akan dibuang untuk memastikan operasi kilang terus berjalan.

 

Keempat, profesionalisme dan kebajikan. Pembayaran gaji minimum juga menyebabkan pihak pengeluar akan memotong aktiviti-aktiviti yang berkaitan peningkatan profesionalisme pekerja seperti kursus, seminar dan sebagainya. Selain itu, kebajikan pekerja juga seperti petempatan dan kemudahan klinik.

 

ALTERNATIF

 

Saya tertarik dengan cadangan saudara Amin Ahmad supaya kerajaan memberi kebenaran kepada kewujudan kesatuan sekerja untuk memegang syer syarikat sebanyak 50% supaya tidak berlaku penindasan terhadap pekerja yang selama ini membantu syarikat mencapai keuntungan. Dalam konteks ini, situasi menang-menang boleh dicapai dengan cara syarikat sanggup memberi syer 50% kepada kesatuan sekerja dan kesatuan sekerja menyediakan bilangan pekerja yang diperlukan oleh syarikat. Secara tidak langsung, pekerja akan mendapat pengalaman tentang pengurusan dan perniagaan sekaligus. Selain itu, wakil daripada kesatuan sekerja dapat menyuarakan pandangan, bantahan atau ketidakpuasan hati dalam mesyuarat bersama-sama ahli lembaga pengarah. 

 

KRITIKAN

 

Isu ini dijangka akan menjadi modal politik dalam kalangan politikus meraih undi setiap kali pilihan raya dijalankan. Janji manis sebegini boleh menyebabkan situasi negara sama seperti di Thailand, dengan politikus menjanjikan menaikkan kadar gaji minimum. Sedangkan, banyak kesan negatif yang akan berlaku sebagaimana yang saya nyatakan di atas.

 

Ura-ura juga ada menyatakan bahawa akta ini diwujudkan untuk membantu orang India yang kebanyakannya miskin dan tinggal di ladang menerima gaji yang rendah. Tidak salah. Bagus untuk meningkatkan ekonomi negara. Walau bagaimanapun, situasi ini seolah-olah MIC cuba meraih undi dengan memperjuangkan isu ini setelah undi orang India banyak berpihak kepada Pakatan Rakyat. Pastinya situasi ini akan memberi natijah yang tidak baik kerana cubaan mencari publisiti dan populariti, bukan menangani masalah golongan yang berpendapatan rendah!