Jaga budaya pemakanan pelajar

Posted on Mei 14, 2010

0


PERSATUAN Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) mahu semua pihak mengambil serius pengabaian budaya pemakanan sihat terutamanya di kalangan pelajar sekolah di negara ini.

Melihat situasi sekarang, pelajar sekolah rendah bahkan di tadika sudah terdedah kepada makanan ringan. Lebih menyedihkan lagi melihat mereka terus menyerbu ke gerai jualan makanan ringan sebaik saja keluar dari pagar sekolah.

 

Pelajar terdedah kepada bahaya akibat budaya pemakanan tidak sihat dan pastinya mengancam kesihatan, bahkan memberi kesan kepada pemikiran pelajar.

 

Ia juga satu pembaziran apabila duit yang dibekalkan oleh ibu bapa kepada pelajar ‘hangus’ dibelanjakan semata-mata untuk membeli makanan ringan.
Pelajar sepatutnya dijaga pemakanan mereka dan dipastikan mereka hanya makan makanan yang terbaik untuk kesihatan seperti buah-buahan, sayuran, susu segar serta banyak minum air masak.

Kebanyakan makanan ringan ketika ini sedikit khasiatnya, tinggi kadar gula, pewarna dan perisa tiruan dan selalunya mengakibatkan ketagihan serta pelbagai penyakit seperti kerosakan gigi, obesiti serta menyebabkan kegagalan fungsi buah pinggang.

Kesan awal pengambilan makanan ringan ini dapat kita lihat di sekolah apabila pelajar kelihatan lesu tidak bermaya, mudah letih, tidur dalam kelas dan tidak berasa segar serta bersemangat untuk meneruskan sesi pembelajaran.

PKPIM berharap semua pihak dapat memainkan peranan masing-masing dalam menjaga kesihatan pelajar dengan ibu bapa perlu mendidik anak mereka untuk sentiasa mengamalkan pemakanan sihat dan mengelakkan diri dari mengambil makanan yang tidak berkhasiat.

Pihak sekolah juga perlu memantau penjualan makanan ringan sama ada di koperasi sekolah mahupun di luar pagar sekolah.

WAN MOHAMAD WASIF WAN MOHAMAD
Exco Pendidikan dan Penyelidikan PKPIM.

 

Sumber: Berita Harian, 14 Mei 2010