Tidak salah jika mencabul bahasa Melayu?

Posted on Mei 8, 2010

1


‘PPSMI tidak bercanggah dengan perlembagaan’

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak saman pemula oleh empat pelajar termasuk anak bekas menteri besar Perak untuk mengisytiharkan pengajaran dan pembelajaran sains dan matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) di sekolah sejak 2003 sebagai batal dan tidak sah.

Keputusan itu dibuat oleh Hakim Bahagian Rayuan dan Kuasa-kuasa Khas, Datuk Mohd Zawawi Salleh hari ini.

Mohd Zawawi menolak dengan kos permohonan itu selepas mendengar penjelasan daripada kedua-dua pihak di dalam kamar.

Dalam prosiding ini, peguam Mohamed Hanipa Maidin mewakili empat pelajar terbabit dan peguam kanan persekutuan Suzana Atan, mewakili pihak kerajaan.

Suzana yang ditemui pemberita berkata hakim memutuskan, dua surat pekeliling ikhtisas berhubung pelaksanaan PPSMI di sekolah kebangsaan dan jenis kebangsaan (Cina dan Tamil) adalah tidak bercanggah dengan Artikel 152 Perlembagaan Persekutuan.

Katanya peruntukan tersebut adalah berkenaan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan di sekolah, bahasa Melayu masih kekal sebagai bahasa perantara.

Mohd Zawawi membuat keputusan tersebut setelah mendapati surat pekeliling ikhtisas yang dikeluarkan berhubung PPSMI di Sekolah Kebangsaan dan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina dan Tamil, tidak bercanggah dengan Perlembagaan.

Keempat-empat pelajar terbabit telah mengemukakan permohonan menerusi saman pemula yang difailkan pada 21 Januari 2006.

Mohammad Syawwaal Mohammad Nizar yang ketika itu pelajar tahun empat, mengemukakan permohonan melalui bapanya, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin, seorang jurutera yang juga bekas menteri besar Perak.

Selain Mohammad Syawwaal, pemohon terdiri daripada dua pelajar tingkatan tiga, Mohammad Fadzil Nor Mohd. Rosni dan Nur Najihah Muhaimin serta Syazaira Arham Yahya Ariff, pelajar tingkatan empat, melalui bapa masing-masing. Mereka menamakan kerajaan Malaysia yang diwakili Peguam Kanan Persekutuan, Suzana Atan selaku responden.

Pemohon dalam saman pemula antaranya mendakwa, hak mereka sebagai pelajar untuk mempelajari dua mata pelajaran itu dalam bahasa kebangsaan telah dinafikan dengan adanya dasar tersebut.

Sehubungan itu, mereka memohon agar mahkamah memerintahkan pihak responden menukar semula dasar itu menurut kehendak dan peruntukan Perlembagaan dan Undang-Undang Bertulis.

Pemohon turut memohon perisytiharan bahawa responden tiada kuasa melaksanakan dasar pengajaran mata pelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris seperti yang terkandung dalam Surat Pekeliling Ikhtisas bertarikh 27 November 2002.

Sumber: Malaysiakini, 7 Mei 2010

Merujuk kepada kes saman 4 orang pelajar terhadap Kementerian Pelajaran Malaysia berhubung isu PPSMI pada tahun 2006, sudah terjawab akhirnya. PPSMI tidak bercanggah dengan Perlembagaan. Adakah benar? Sama-sama kita fahami isu ini dengan tuntas.

Dasar yang kononnya dapat membijaksanakan anak bangsa dengan menggunakan bahasa Inggeris dalam mata pelajaran Matematik dan Inggeris merupakan suatu jenaka. Masalah demi masalah timbul sehingga membangkitkan kemarahan rakyat hingga tercetusnya Perhimpunan Bantahan Terhadap PPSMI pada 7 Mac 2009.

Pertama, rakyat Malaysia mesti menerima pendidikan menerusi pengantar bahasa Melayu dalam apa-apa jua mata pelajaran kecuali mata pelajaran bahasa Inggeris, bahasa Tamil, bahasa Mandarin, bahasa Iban, bahasa Arab dan lain-lain lagi yang seumpama dengannya. Hal ini termaktub dalam Perlembagaan dengan jelas bahawa bahasa Melayu merupakan bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan di Malaysia. Maknanya, pengunaan bahasa Melayu bukan sahaja semasa proses pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas malah mesti digunakan dalam mesyuarat, surat kiriman rasmi, majlis pesaraan, perdebatan di Parlimen, mengeluarkan kenyataan semasa sidang media dan apa-apa jua acara, aktiviti, program serta majlis yang ditakrifkan sebagai rasmi.

Kedua, dasar PPSMI diwujudkan untuk membijaksanakan murid dalam bahasa Inggeris. Walau bagaimanapun, persoalan yang terbit dalam kalangan pejuang dan pencinta bahasa Melayu ialah mengapa Sains dan Matematik yang dijadikan sebagai alat untuk mengajar bahasa Inggeris? Jikalau murid lemah dalam bahasa Inggeris, sepatutnya kurikulum bahasa Inggerislah yang dirombak dan dikemaskini sukatan dan cara pengajarannya. Situasi yang berlaku sekarang ialah umpama kita memperbaiki kereta yang tiada kerosakan apa-apa supaya kereta yang rosak dapat berfungsi. Bukankah ini satu kerja yang gila? 

Ketiga, peruntukan yang disediakan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia mencecah jutaan ringgit untuk membayar elaun kepada guru PPSMI, memberi komputer riba secara percuma kepada guru Matematik dan Sains, menyediakan buku teks baharu dan sebagainya. Malangnya, guru yang mengajar bahasa Melayu, Sejarah, Pendidikan Jasmani, Pendidikan Islam tidak memperoleh apa-apa insentif tambahan. Dalam masa yang sama, situasi ini menggambarkan betapa kerajaan tidak serius untuk merekayasakan bahasa Melayu dalam pelbagai lapangan dengan memberi keistimewaan kepada bahasa Inggeris sahaja. Di mana dukungnya bahasa Melayu di sini?

Keempat, membina generasi yang ‘tidak dijajah semula‘ bukanlah dengan bahasa Inggeris, tetapi dengan bahasa Melayu. Ramai dalam kalangan rakyat Malaysia berpandangan bahawa penguasaan bahasa Inggeris dapat menjadikan Malaysia sebagai negara maju. Tidak dinafikan bahawa bahasa Inggeris perlu dipelajari dan dikuasai hari ini untuk menentang arus globalisasi. Malangnya banyak pihak menjadikan bahasa Inggeris sebagai bahasa yang wajib dipelajari sebagai alasan dengan meminggirkan bahasa Melayu dari sudut komersil dan pekerjaan. Perkara ini menyebabkan anak-anak di luar bandar, di dalam hutan dan di pinggiran pantai yang biasa dengan bahasa ibunda tidak dapat menyerap bahasa Inggeris dengan baik. Kesannya, mata pelajaran Sains, Matematik dan bahasa Inggeris akan menjadi taboo bagi mereka kerana kesukaran berbahasa. Selain itu, jutaan istilah bahasa Melayu dalam bidang Sains (Zoologi, Biologi, Fizik, Kimia, Aeroangkasa, Biokimia, Farmasi, Anatomi, Fisiologi) dan Matematik (Ukuran, Timbangan, Digit, Wang, Masa) terhapus begitu sahaja sedangkan terdapat istilah-istilah yang digunapakai di peringkat antarabangsa.

Kelima, dasarnya sama pelaksanaannya berbeza. Hal ini merujuk kepada arahan dalam surat pekeliling iktisas untuk Sekolah Kebangsaan dan Sekolah Jenis Kebangsaan berhubung PPSMI. Sekolah Kebangsaan diminta untuk mengajarnya dalam bahasa Inggeris manakala SJK boleh mengajar dalam bahasa ibunda dan bahasa Inggeris. Apa istimewanya di SJK berbanding SK? Satu cubaan untuk menjaga pihak tertentu dengan menafikan kedudukan orang Melayu dan Bumiputera di situ.

Keenam, PPSMI dan status peperiksaan. Menurut kenyataan media yang dibuat oleh KPM (sila rujuk di laman KPM) semasa melancarkan Memartabatkan Bahasa Melayu, Memperkasakan Bahasa Inggeris (MBMMBI), 76.4% murid bandar dan 69.4% murid luar bandar memperolehi A, B dan C dalam bahasa Inggeris UPSR 2008. Ajaibnya, 86% murid bandar dan 81% murid luar bandar mendapat A, B dan C dalam Sains manakala 85.4% murid bandar dan 79.1 peratus murid luar bandar mendapat A, B dan C dalam Matematik. Nampak gaya, murid lebih hebat Sains dan Matematik berbanding bahasa Inggeris. Mana mungkin lemah dalam bahasa Inggeris dapat menjawab soalan-soalan Sains dan Matematik? Melainkan murid cuma menjawab soalan berbentuk angka sebaliknya soalan eksperimen dan penyelesaian masalah ditinggalkan begitu sahaja. Inferens yang lain, markah diturunkan supaya ramai murid mendapat gred A, B dan C.

Kesimpulannya, KPM menang dalam kes ini kerana menggunakan fakta bahawa status bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dan kebangsaan di sekolah tidak dinafikan kerana mata-mata pelajaran seperti bahasa Melayu, Pendidikan Islam, Pendidikan Jasmani dan Sivik dan Kewarganegaraan masih diajar dalam bahasa Melayu. Walau bagaimanapun, mengajar Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris adalah satu kesalahan kerana menurut Perlembagaan kedua-dua mata pelajaran ini bukanlah mata pelajaran bahasa. Dalam hal ini, KPM cuma bernasib baik sahaja. Kalau tidak, terpaksa mengeluarkan belanja. Huh!

Advertisements