Biadap!

Posted on April 27, 2010

0


Sebagaimana lazimnya kehidupan di asrama, para penghuninya diwajibkan untuk menyertai aktiviti-aktiviti yang dianjurkan. Semalam, satu acara baharu diperkenalkan kepada penghuni asrama Kolej Kediaman Dato’ Razali Ismail dan Adibah Amin di Dewan Za’ba. “Semalam Bersama Pengarah” dengan membincangkan isu-isu berkaitan kebajikan pelajar yang perlu diberi perhatian oleh pihak pentadbiran IPG Kampus Bahasa Melayu (IPGKBM) untuk menanganinya.

Secara peribadi, acara sebegini merupakan satu langkah yang proaktif Jawatankuasa Perwakilan Pelajar dan pihak pentadbiran IPGKBM dalam menangani seputar isu-isu tempatan yang berlaku di IPGKBM.

Tepat 9.10 malam, Saudara Syazwan memulakan majlis dengan kata alu-aluan dan memperkenalkan ketua-ketua aras setiap tingkap kepada hadirin. Kemudian, Pengarah memberi ucap tama sebelum sesi dialog dimulakan.

Entah mana silapnya, acara pada malam tersebut yang sepatutnya dijadikan sebagai medan demokrasi, berbincang dan berdiskusi serta mencari solusi bertukar menjadi hangat umpama gelanggang gusti. Sorak menyorak membabi buta, terjerit-jerit dan terpekik-pekik serta mengeluarkan bahasa kesat dalam kalangan guru pelatih cukup mengecewakan.

Adakah situasi sebegini rupa yang diajar dalam pendidikan selama ini? Inikah citra insan guru yang ditakrifkan sebagai murobbi, mualim dan muamal dalam masyarakat?

Mana kesopanan dan kesusilaan seorang guru?
Dalam sesi dialog, menggunakan bahasa yang baik dan berhikmah sangat penting untuk mengelakkan daripada menjadi konflik, kontroversi dan mengaibkan seseorang individu. Ini bukanlah bermakna penulis cuba membela atau menyebelahi mana-mana pihak. Sebaliknya, budaya menelanjang individu tanpa memikirkan sensitiviti, bercakap secara emosi, menyatakan persepsi tanpa sebarang fakta dan data, bersikap biadap dan kurang ajar semasa menyatakan ketidakpuasan hati bukanlah budaya orang Melayu yang penuh dengan sopan-santun dan budi pekerti. Setiap permasalahan, ada saluran untuk menyatakan bantahan atau bangkangan. Bukan semborono sesuka hati menjadi hero sekelip mata konon-kononnya diterima oleh semua!

Apa guna ada borang aduan pelanggan?

Apa guna memo atau surat bantahan?

Tidak pula berani dibuat dan dihantar kepada pihak atasan sesuai dengan peranan kita sebagai kakitangan kerajaan. Pemikiran kebanyakkan guru pelatih beranggapan bahawa menzahirkan sesuatu secara terang-terangan tanpa sebarang tapisan adalah tidak salah. Bilamana saudara sudah berada dalam sistem barulah ketika itu saudara memahami apa itu prosedur dan polisi. Baru tahu tingginya antara langit dengan bumi.

Sekiranya mempunyai masalah dengan pihak atau individu tertentu, nyatakan secara profesional bukan emosional. Lebih-lebih lagi jika isu tersebut tentang kepentingan peribadi. Pasti yang ditegur dan dikritik mampu menerimanya. Jika masih sukar dan tidak dapat diatasi, bermuzakarahlah dengan pihak yang sepatutnya. Bukan menyimpan rasa tidak puas hati sehingga menjadi dendam dan dilampiaskan di khalayak sedemikian rupa.

Terpulanglah kepada saudara bagaimana mahu menilainya. Masing-masing sudah besar, matang dan sedang menuju ke fasa alam dewasa. Cara kita berinteraksi menunjukkan didikan ibu bapa kita yang membesarkan kita. Jika tidak cukup didikan dan ajaran, itulah wujudnya perkataan kurang ajar. Mengerti?

Akta 174
Semasa penulis membangkitkan isu ini, ramai yang terpinga-pinga dan tergaru kepala. Penulis yakin dan percaya bilangan yang benar-benar faham dan mengerti akta ini boleh dikira dengan jari sahaja. Untuk pengetahuan semua, Akta 174 mengandungi hal-hal yang berkaitan pentadbiran dan peraturan yang perlu diikuti oleh warga IPG. Sebagaimana Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) yang dikenakan kepada mahasiswa di institusi pengajian tinggi, guru pelatih di seluruh Institut Pendidikan Guru Malaysia juga tidak terkecuali dalam situasi yang berbeza.

Akta 174 seharusnya diberi pemahaman yang sebenar-benarnya kepada warganya. Akibat tiadanya sesi dialog atau ceramah berkaitan dengannya, banyak berlakunya masalah, pertindihan kuasa dan salah faham baik pelajar mahupun pensyarah. Sepanjang 4 tahun penulis di IPGKBM, belum penah akta ini diserahkan dalam bentuk dokumentasi dan diberikan kefahaman yang jelas. Yang ada cuma, peraturan asrama.

Walaupun ada pihak yang menyatakan itulah sebagai Akta 174 namun itu cuma sebahagian sahaja. Akta 174 mengandungi Perlembagaan Jawatankuasa Perwakilan Pelajar, bidang kuasa Pengarah, pensyarah, warden dan sebagainya, peraturan, penggantungan, penyertaan dalam NGO dan lain-lain lagi yang seumpama dengannya. Analoginya akta ini umpama Perlembagaan yang menjadi garis panduan dalam pelbagai perkara di Malaysia.

Masalah sekarang dokumentasi itu tidak diberi di sini tetapi IPG yang lain diberi. Sebab itu apabila berlakunya sesuatu permasalahan atau penguatkuasaan peraturan, ramai yang cuba mempertikainya. Walhal perkara tersebut dinyatakan secara jelas dalam akta tersebut.

Sebagai contoh, hukuman denda RM200 yang dikenakan kepada pelajar yang terlibat dengan kes tinggal barang di asrama adalah wajar dan termaktub dalam akta tersebut. Namun, yang terlibat tidak puas hati dan membebel entah apa-apa dengan penuh emosi tanpa mengerti akta ini. Kalau dibawa ke mahkamah pun saudara tidak akan menang dan silap-silap saudara akan disaman malu pula.

Seharusnya pemberian dokumentasi ini diberi kepada setiap pelajar supaya kita memahami sistem di IPG dengan baik. Secara tidak langsung, kita dapat mengkritik sesuatu berlandaskan fakta dan penguatkuasaan oleh pihak pentadbiran mengikut sebagaimana ketetapan bukan di luar jangkaan.

Harapan
Setelah acara ini diusulkan oleh kepemimpinan JPP 2007-2008 yang diketuai oleh Ruziatul Adibah Sailin 4 tahun lalu, tahun 2010 barulah dilaksanakan. Seharusnya sesi dialog ini dijadikan sebagai medan terbaik untuk mengangkat IPGKBM sehebat Language Institute pada tahun 60-an.

Penulis berharap sesi dialog pada masa akan datang perlu diterangkan fokus dan matlamatnya terlebih dahulu. Beritahu prosedur, larangan dan adab dalam sesi tersbut. Isu-isu berkaitan sensitiviti agama, perkauman dan individu perlu dilarang. Hal-hal peribadi dan masalah hati tidak perlu dibangkitkan dan boleh diselesaikan dengan cara yang lebih baik.

Beliau merupakan bekas Exco Penerbitan Jawatankuasa Perwakilan Pelajar IPBMM sesi 2007-2008 dan Pengerusi Kelab Seni Pengucapan Awam IPBMM 2008.