Jawapan untuk “Iktiraf Sijil Sekolah Swasta Cina”

Posted on April 26, 2010

0


KENYATAAN MEDIA
PERSATUAN KEBANGSAAN PELAJAR ISLAM MALAYSIA (PKPIM)
26 April 2010/ 11 Jamadil Awwal 1431 H

Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) merujuk kepada tulisan oleh Encik Goh Hoe Hoe dalam Malaysiakini yang bertajuk “Iktiraf Sijil Sekolah Swasta Cina”. Menurut beliau, masalah golongan profesional berhijrah ke luar negara disebabkan oleh kerajaan tidak mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersama (Unified Examination Certificate/UEC) iaitu salah satu peperiksaan yang dijalankan di Sekolah Tinggi Persendirian Cina sejak tahun 1975.

Namun, PKPIM difahamkan bahasa kebangsaan tidak digunakan dalam kurikulum UEC ini sebaliknya bahasa pengantar bagi kurikulum dan peperiksaan UEC yang sekian lama digunakan ialah bahasa Cina dan Inggeris. Sehubungan itu, PKPIM berpandangan perkara ini bukan sahaja tidak selaras dengan aspirasi kebangsaan malahan juga bercanggah dengan Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan serta Dasar Pendidikan Kebangsaan.

Dalam pada itu, menurut kajian yang dibuat oleh Prof. Dr. Nor Hashimah Jalaluddin dalam Seminar Sehari Persatuan Linguistik Malaysia baru-baru ini, 44.8% remaja Cina tidak suka belajar bahasa Melayu. Selain daripada itu, didapati 72.1% remaja Cina merasakan bahasa Melayu tidak penting, diikuti oleh Kadazan (40%) dan India (37%).

Maka, PKPIM khuatir sekiranya kerajaan mengiktirafkan UEC ini, mata pelajaran bahasa Melayu yang merupakan mata pelajaran wajib lulus dalam peperiksaan awam tidak memberikan apa-apa makna kepada pembinaan negara bangsa dan perpaduan negara. Sebagai warganegara Malaysia, tidak menjadi kesalahan untuk kita menerima dan mendukung bahasa dan budaya Melayu sebagai teras pembinaan Malaysia.

Dalam perkembangan berkaitan, pengiktirafan ini juga dilihat akan membuka pintu untuk lebih banyak lagi sistem kurikulum swasta diterima yang akhirnya akan menimbulkan kekeliruan akademik apabila terdapat terlalu banyak sistem kurikulum pendidikan lain yang bercanggah dengan dasar sedia ada iaitu Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil tinggi Pelajaran Malaysia (STPM).

MUHAMMAD FAISAL ABDUL AZIZ (860813-38-5543)
Presiden,
Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM)
013-5303221
ipohcitizen@yahoo.com

SEKRETARIAT PPKPIM PUSAT
LOT 2965, JLN. KG. TENGAH 7,
KG. TENGAH, BT 6 ½,
JLN. GOMBAK, 53100 KUALA LUMPUR .
TEL : 03-61842286
FAKS : 03-61842285
EMEL : pkpim_spp@yahoo.com