Isu Kalimah Allah: Apa Masalahnya?

Posted on Januari 19, 2010

0


Sebaik tahun 2010 menjelma, rakyat negara ini khususnya umat Islam dikejutkan dengan keputusan mahkamah tinggi berkenaan dengan penggunaan kalimah Allah dalam Herald. Kejadian yang berlaku selepas beberapa hari umat Islam menyambut Maal Hijrah menimbulkan perasaan resah gelisah, marah dan tidak puas hati dalam kalangan umat Islam di negara ini.

Beberapa forum dan perhimpunan telah diadakan bagi menjelaskan keadaan yang sebenar tentang perkara ini. Penulis berpandangan bahawa tuntutan Herald untuk menggunakan kalimah Allah dalam penerbitan mereka adalah amat bertentangan dengan keputusan yang telah dibuat oleh Mesyuarat Kabinet pada 16 Mei 1986. Keputusan tersebut melarang mana-mana agama selain daripada agama Islam untuk menggunakan empat perkataan, iaitu Allah, baitullah, solat dan Kaabah. Sepatutnya, pihak yang berkenaan perlu mengambil kira keputusan kabinet ini sebelum membuat tuntutan di mahkamah selain memikirkan implikasi akibat daripada tindakan tersebut.

Menelusuri hujah yang dikemukakan Herald di mahkamah, banyak persoalan dan pertikaian yang timbul dalam kalangan orang Islam.

Pertama, isu penterjemahan. Diksi ‘God’ atau ‘Lord’ dalam bahasa Inggeris mahu ditukarkan kepada bahasa Melayu dengan Allah. Menurut Dr. Mohd. Farid Mohd. Shahran, Pensyarah Jabatan Usuluddin dan Perbandingan Agama, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, penterjemahan yang dibuat adalah tidak tepat dari segi semantiknya kerana diksi ‘God’ atau ‘Lord’ dalam bahasa Inggeris merupakan kata nama am (common noun) dan yang diterjemah pula dalam bahasa Melayu merupakan Allah, iaitu kata nama khas (proper noun). Perkataan yang tepat bagi menterjemah ‘God’ atau ‘Lord’ kepada bahasa Melayu ialah ‘Tuhan’. Begitu juga sekiranya saudara merujuk kamus seperti Kamus Dewan, Oxford English Dictionary dan lain-lain lagi yang seumpama dengannya, hasilnya tetap sama.

Kedua, isu fundamental antara Islam dan Kristian. Allah dalam konteks pemahaman orang Islam merujuk kepada ‘Yang Esa’ atau tunggal, bukan satu atau bersifat angka yang boleh dibilang. Tafsiran Surah Al-Ikhlas dapat merungkai pemahaman yang ringkas dan mudah untuk difahami bersama. Sedangkan, Kristian menggunakan konsep triniti, tritunggal atau trimurti yang membawa maksud keesaan dari tiga wujud, iaitu Tuhan Bapa, Tuhan Anak dan Roh yang suci. Selain itu, keputusan Vatican juga tidak pernah mengakui Allah sebagai tuhan untuk agama Kristian. Hal ini sama sekali bertentangan baik ajaran Islam dan Kristian yang diamalkan oleh penganut-penganut agama masing-masing.

Saya yakin dan percaya bahawa situasi sebegini dikhuatiri bakal mengelirukan rakyat Malaysia secara keseluruhannya baik orang Islam, Kristian, Buddha, Hindu dan lain-lain lagi pada masa akan datang khususnya dalam kalangan generasi muda. Malaysia yang memiliki masyarakat yang mempunyai kepelbagaian agama, bangsa, ras, etnik, adat, budaya dan kepercayaan perlu peka dan prihatin terhadap sensitiviti orang lain.

Sejarah telah membuktikan bahawa peristiwa yang berlaku di Bosnia Herzegovina (1992) serta India dan Pakistan (1947) bilamana isu antara agama tidak ditangani dengan baik. Perbuatan keji-mengeji, caci-mencaci dan membakar rumah ibadat umpama mencurah minyak ke api sehingga boleh menyebabkan huru-hara dalam negara. Seelok-eloknya, sesi dialog dan forum antara agama merupakan solusi terbaik dalam memahami perbezaan antara satu sama lain.

Sekalipun negara-negara seperti Indonesia, Pakistan dan beberapa buah negara Asia Barat membenarkan penggunaan kalimah Allah dalam agama-agama yang lain namun negara kita masih berpegang teguh kepada prinsip ‘uruf ahl al-balad (konteks budaya warga setempat) demi menjamin perpaduan negara dalam membentuk negara bangsa Malaysia. Oleh yang demikian, semua pihak mesti akur dengan Perkara 3, 10, 11 dan 12 dalam Perlembagaan Persekutuan tanpa sebarang pertikaian.

Dari sudut yang lain, sikap sebilangan ahli politik dan tokoh agama yang semboro dalam menangani isu ini amatlah dikesali kerana mengupas dan menghujah dengan penuh emosi tanpa sebarang asas ilmu apatah lagi secara berhikmah sebagaimana yang dituntut dalam Islam. Walaupun masyarakat di Sabah dan Sarawak sudah ‘selesa’ dengan pemakaian Allah secara terbuka, saya tetap bertegas bahawa implikasinya di kemudian hari boleh menimbulkan bencana yang di luar jangka. Hal ini bukan bermakna saya tidak bersikap toleran, namun kemaslahatan umat perlu diutamakan. Tiada salahnya bukan Melayu menganut agama mereka secara aman dan harmoni di negara ini, namun isu penggunaan kalimah Allah oleh bukan Islam tidak boleh dikompromi sama sekali.

Beliau merupakan Exco Pendidikan dan Penyelidikan, Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia.