Menyokong Baca@LRT

Posted on Januari 16, 2010

0


Seperti kata guru saya, “Orang yang menguasai ilmu akan menguasai dunia!”.

Semalam saya mengikuti program “Segerabak Membaca” yang dianjurkan oleh Komuniti Facebook Baca@LRT. Program ini merupakan keprihatinan peminat-peminat buku, pembaca tegar dan penyokong kempen membaca dalam LRT menunaikan tanggungjawab sosial dalam mendidik masyarakat supaya menjadikan budaya membaca sebagai amalan walaupun di mana-mana sahaja.

Peserta Baca@LRT terdiri daripada kumpulan kanak-kanak sehinggalah warga emas. Penyertaan daripada Prof. Emeritus Abdullah Hassan dan Puan Ainon Mohd., kumpulan penulis dan individu berpengaruh memeriahkan lagi program tersebut sebagai tanda memberi sokongan dan dokongan terhadap budaya membaca.

Walaupun saya sedikit terlewat untuk bersama-sama peserta memulakan perjalanan dari Stesen LRT Terminal Gombak, namun saya tetap menunggu ketibaan kumpulan Baca@LRT di Stesen KL Sentral untuk menyertai usaha murni ini.

Apa-apa pun, saya mengucapkan tahniah kepada pihak penganjur kerana telah bertungkus lumus dalam menjayakan aktiviti sedemikian rupa. Sekalipun aktiviti ini statusnya ‘Pilot Project’, namun penyertaan daripada masyarakat seluruh negara cukup memberangsangkan.

Jemputan kepada masyarakat khususnya sekitar Lembah Kelang, saudara boleh turut serta Baca@LRT. Tiada bayaran yang dikenakan kecuali tiket perjalanan dan makanan ditanggung sendiri. Saudara bakal diberi penanda buku sebagai tanda menyertai program ini dengan jayanya.

Sekitar program Baca@LRT

Walaupun program berstatus ‘pilot project’ namun sambutannya cukup hangat!
Saya menguliti Tuhan Manusia buat kali kedua
 Tukar pandangan berhubung isu tulisan jawi hari ini

Menurut Prof. Abdullah Hassan, “Walaupun di Jepun memiliki 3 jenis tulisan, iaitu Katakana, Hiragana dan kanji, namun pelajar boleh menggunakan yang mana-mana dalam sesi pengajaran dan pembelajaran”
Ini barulah facebook yang sebenar, saudara bila lagi?
Tayangan buku yang dibaca sepanjang perjalanan