Bilamana bukan ahli bercakap isu pendidikan…

Posted on Disember 14, 2009

0


Kuasai Bahasa Inggeris Agar Tidak Dijajah Semula, Kata Dr Mahathir
SHAH ALAM, 14 Dis (Bernama) — Rakyat Malaysia amat perlu menguasai bahasa Inggeris bagi membolehkan mereka memperoleh ilmu dengan lebih cepat dan memastikan negara ini tidak kembali dijajah, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.

Bekas perdana menteri itu berkata rakyat negara ini tidak akan dapat menguasai sesuatu ilmu dengan cepat jika mereka tidak menguasai bahasa tersebut.

Kegagalan berbuat demikian akan membuka jalan kepada pihak yang lebih berilmu menguasai dan mempengaruhi mereka sama ada secara langsung atau sebaliknya.

“Bahasa Inggeris adalah bahasa bagi Zaman Pengetahuan ini. Negara yang tidak menguasai bahasa Inggeris bukan saja akan ketinggalan, malah menghadapi risiko dijajah, sama ada secara langsung atau tidak langsung.

“Tanpa ilmu, sesebuah negara akan ditekan dan diserang,” kata beliau kepada pemberita selepas menyampaikan ucaptama bertajuk ‘Komponen Kepimpinan dan Dasar bagi Masyarakat Berilmu: Amalan Terbaik Yang Dicadangkan bagi Negara Anggota Pertubuhan Persidangan Islam (OIC)’ pada Persidangan Akademi Sains Dunia Islam ke-17 (IAS).

Persidangan itu dirasmikan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah di sebuah hotel dekat sini.

Persidangan empat hari itu, yang bermula Isnin, adalah anjuran bersama IAS, Universiti Industri Selangor (Unisel) dan Akademi Sains Kehidupan dan Bioteknologi Islam Antarabangsa.

Dr Mahathir berkata hanya dengan mengusai bahasa Inggeris, rakyat negara ini mampu memperoleh ilmu dengan lebih cepat dan tidak tersisih daripada arus pembangunan.

Beliau berkata rakyat negara ini tidak akan hilang jati diri sekiranya mereka mengejar ilmu pengetahuan dengan menggunakan bahasa Inggeris.

“Bahasa Inggeris bukan untuk orang Inggeris saja, tapi adalah bahasa universal. Saya bukan orang Inggeris, tapi saya juga bertutur dalam bahasa itu,” katanya.

Dr Mahathir juga berkata kepimpinan sekarang “mengabaikan kejayaan” apabila memansuhkan dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris dan kembali menggunakan bahasa Malaysia bagi tujuan itu.

“Saya rasa kerajaan tak faham tentang pentingnya bahasa Ingeris sebagai bahasa ilmu pengetahuan apabila mereka membuat keputusan menukar daripada bahasa Inggeris ke bahasa Malaysia (dalam mengajar dan mempelajari sains dan matematik).

Baru-baru ini, Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Pelajaran Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata kerajaan telah membuat keputusan untuk beralih semula kepada penggunaan bahasa Malaysia bagi pengajaran dan pembelajaran sains dan matematik di sekolah kebangsaan serta sekolah Cina dan Tamil mulai 2012.

Dasar PPSMI dilaksanakan secara berperingkat, bermula dengan Tahun Satu, Tingkatan Satu dan Tingkatan Enam pada 2003 semasa Dr Mahathir menerajui negara.

Terdahulu, dalam ucapannya, Dr Mahathir berkata ilmu pengetahuan berkembang dengan pesat, terutama dalam bidang sains, sedangkan buku serta penulisan tentang mata pelajaran ini, menggunakan bahasa Inggeris.

Kata beliau ada kemungkinan kepercayaan tentang sesuatu perkara dalam bidang sains sebelum ini akan berubah, bukan seperti dalam bidang geografi dan sejarah.

“Ilmu sains tidak statik, berbeza dengan bidang geografi dan sejarah di mana faktanya sudah tersusun sedemikian rupa dan terhad.

“Dalam bidang sains, kita boleh persoal prinsip-prinsip saintifik dan membuat keputusan sama ada ia betul atau tidak,” kata beliau sambil menambah bahawa penemuan baru juga banyak disebarkan dalam bahasa Inggeris.

Sumber: BERNAMA, 14 Disember 2009 

p/s: Susah bercakap dengan orang tidak faham bahasa!

Posted in: Akhbar, Bahasa