Pembangunan Bukit Merah sandaran popularkan daerah Kerian

Posted on Disember 11, 2009

0


Oleh Azrul Affandi Sobry

TIDAK ramai mengenali Kerian, sebuah daerah di utara Perak yang mempunyai lapan mukim termasuk Parit Buntar, Bagan Serai, Kuala Kurau, Semanggol dan Beriah dengan jumlah penduduk seramai 182,000 orang.

Malah, tidak ramai juga orang utara yang sering menggunakan laluan Lebuh Raya Utara Selatan dari Kuala Lumpur ke Kedah tahu bahawa mereka sentiasa merentas daerah itu ketika memasuki kawasan Bukit Merah kerana lebuh raya itu hanya merentasi 33 kilometer (km) tanah dalam daerah berkenaan.

Bukan setakat itu, boleh dikatakan daerah ini dimonopoli jalan bendang dan kampung iaitu sejauh 481 km berbanding hanya 67 km Jalan Persekutuan dan 20 km jalan kereta api, sekali gus menunjukkan kawasan itu belum cukup membangun dan memberikan gambaran betapa sektor pekerjaan utama di situ lebih tertumpu kepada pertanian.

Bagi penduduk di situ, pekan terbesar yang popular untuk sebarang aktiviti lain adalah Parit Buntar yang turut menjadi lokasi pejabat pentadbiran daerah, selain mempunyai akses terhadap pelbagai keperluan penduduk seperti bank, restoran makanan segera dan perkhidmatan kerajaan.

Justeru, apalah sangat tarikan utama yang dapat menggamit sesiapa saja tak kira pelancong tempatan atau luar negara untuk singgah ke situ kerana hakikatnya seakan tiada apa yang menarik atau sekurang-kurangnya berbaloi untuk dilawati.

Jika mahu menarik orang luar bekerja di situ pula, bukanlah satu pilihan yang bijak kerana meskipun di Parit Buntar ada kilang dibina, ia masih tidak mampu menjanjikan apa-apa kerana lokasinya tidak begitu jauh dari Pulau Pinang yang menjadi lubuk rezeki dalam sektor perindustrian di Utara Semenanjung.

Melihat kepada statistik guna tanah di daerah itu juga membuktikan hanya 10,000 hektar kawasannya diwartakan sebagai tanah perindustrian berbanding hampir 60,000 hektar diperuntukkan untuk aktiviti pertanian, membabitkan lebih 50 peratus guna tenaga di situ.

Jika mahu bercakap mengenai sektor pendidikan pula, tidak ada apa juga yang menarik kerana tidak ada sebarang universiti dibina, malah kolej dengan kursus diploma pun belum terbina, selain hanya satu di Bukit Merah iaitu Kolej Kesihatan Bersekutu.

Namun, apabila melihat kembali kepada peta daerah itu, rupa-rupanya terdapat satu ikon yang menjadi nadi kepada tarikan utama untuk membawa masuk ramai pelancong ke situ iaitu Bukit Merah Laketown Resort.

Tanyalah sesiapa saja. Kebanyakannya lebih mengenali Bukit Merah dari Kerian, malah tidak keterlaluan jika dikatakan tidak ramai tahu bahawa Bukit Merah terletak dalam daerah itu meskipun selama ini destinasi pelancongan itu sudah dikenali ramai sejak 1995.

Dengan lokasi strategik iaitu di tepi Lebuh Raya Utara Selatan, Bukit Merah berjaya menjadi antara lokasi paling sesuai untuk seisi keluarga menikmati suasana percutian bertaraf lima bintang berlatarkan pemandangan tasik dilengkapi pelbagai keseronokan seperti taman tema air, Pulau Orang Utan dan Ecopark.

Malah, apa yang menjadikan lokasi itu sangat strategik ialah kemudahan penginapannya yang bukan setakat sesuai didiami golongan atasan, namun sesuai untuk sesiapa saja kerana mempunyai pakej harga tiga bintang hingga untuk orang kenamaan seperti di Kampung Air.

Menyedari peluang meningkatkan sektor pelancongan di situ, Pejabat Daerah dan Tanah Kerian sudah menyediakan pelbagai cadangan untuk pembangunan pelancongan di situ termasuk meningkatkan tahap kualiti dan kuantiti kemudahan infrastruktur serta prasarana sokongan industri pelancongan negeri dalam aspek penginapan, sistem pengangkutan awam, agensi pelancongan dan pusat informasi.

Fokus utama juga akan tertumpu kepada skim pembangunan bercampur berteraskan taman tema air yang melihat kepada peluang meningkatkan tarikan pelancong untuk terus mengunjungi lokasi berkenaan.

Tidak cukup dengan itu, Penolong Pegawai Daerah Kerian, Firoza Keliwon, berkata pusat pentadbiran daerah yang selama ini berpusat di Parit Buntar juga akan dipindahkan ke Lembah Beriah, iaitu satu kawasan tanah kosong bersebelahan Taman Tema Bukit Merah, sekali gus akan menjadikan kawasan itu lebih padat dengan pelbagai aktiviti pada masa akan datang.

“Setakat ini, cadangan untuk memindahkan pusat pentadbiran itu sudah dikemukakan kepada kerajaan negeri dan nampaknya ia positif untuk dilaksanakan. Kami yakin, jika ia dilaksanakan, kawasan itu akan menjadi lebih popular lantaran lokasinya di tepi lebuh raya.

“Kami akui, kepesatan sektor pelancongan di Bukit Merah menjadikan daerah ini semakin dikenali dan kami akan sedaya upaya menambahkan tarikan itu dengan pelbagai projek yang sedang dirangka dan mungkin dilaksanakan selewat-lewatnya dalam Rancangan Malaysia Kesepuluh,” katanya.

Beliau turut mengakui bahawa pembangunan yang pesat di Bukit Merah sudah berjaya sedikit sebanyak membantu mengeluarkan beberapa penduduk daripada belenggu kemiskinan kerana ketika ini sudah ramai penduduk tempatan mendapat pekerjaan di situ berbanding peluang kerja terhad selama ini.

Selain tarikan pelancong yang ada di Bukit Merah, Firoza juga mengakui kewujudan Kolej Kesihatan Bersekutu di situ turut melonjakkan nama kawasan terbabit dalam sektor pendidikan.

Justeru, katanya, cadangan sudah dibuat kepada Penguasa Pembangunan Koridor Utara (NCIA) untuk membina satu lagi kolej pertanian supaya ia mampu terus memangkin pembangunan dalam aspek fizikal di situ.

“Kami positif pembangunan di Bukit Merah perlu terus diperhebatkan dan berharap ia bakal menjadi ikon kepada sektor pelancongan di negeri ini. Setakat ini, perlu diakui bahawa Bukit Merah adalah pusat pelancongan terbaik di Perak yang mampu menarik ramai pelancong ke sini,” katanya.

Sumber: Berita Harian, 5 Disember 2009

Posted in: Parit Buntar