Di Sebalik Nama: Kisah Din Teksi

Posted on Disember 11, 2009

0


Oleh Diyanah Anuar

Suka duka Nan cipta kemasyhuran sebagai kartunis tersohor

“SAYA masih ingat, ketika menjadi kartunis dulu, setiap kali menjelang raya, pasti ada dua tiga beg besar berisi kad raya yang dikirim peminat. Sampai saya tidak sempat melihat satu persatu, lebih-lebih lagi membalasnya kerana terlalu banyak kad ucapan diterima.

“Selalunya, rakan sepejabat yang membaca semua kad itu. Tetapi selalu saya berpesan pada mereka, usah menyamar menjadi saya untuk berhubung dengan peminat.

“Masalahnya, entah bagaimana ada juga yang menyamar dan melayan surat atau kad ucapan yang dikirim peminat,” kata kartunis Zainal Osman atau lebih dikenali dengan nama penanya, Nan mengenang zaman kemasyhurannya dulu.

Terus bercerita, Nan teringat insiden berdepan seorang gadis yang datang ke pejabat dengan ditemani ibu, untuk bertemu lelaki yang dikenalinya sebagai ‘Nan’.

“Ketika saya turun, saya nampak gadis itu menangis hendak berjumpa Nan. Apa yang pelik, gadis itu mendakwa tidak mengenali saya biarpun saya betul-betul di depan beliau.

“Pengawal keselamatan beria-ia memberitahu sayalah kartunis Nan, tapi gadis itu tetap kata bukan… Rupa-rupanya ada yang menyamar jadi saya dan berkenalan dengan gadis itu hingga dia datang ke pejabat mencari ‘Nan’.

“Tak tahulah saya, berapa ramai lagi yang menjadi mangsa… Sampai sekarang, saya tak tahu siapa yang menyamar menjadi diri saya,” katanya.

Nan mencipta nama melalui karya yang disiarkan di majalah humor dan kolum kartun khusus di akhbar terbitan Utusan Melayu (Malaysia) Berhad. Siri kartunnya, Din Teksi dan Malaysia Kita yang disiarkan ketika itu, cukup popular lalu menghangatkan nama Nan dalam industri kreatif tempatan.

Nan juga melakar siri kartun popular Ayop Anak Tulakang dan Tuan Kecik dalam majalah humor popular, Gila-Gila dan Batu Api.

Mengenang detik awal menuntut di Institut Teknologi Mara (sekarang Universiti Teknologi Mara), Nan mengakui pada mulanya beliau ingin mengikuti jurusan grafik pengiklanan tetapi akhirnya ‘tercampak’ dalam jurusan seni halus.

“Namun, saya meneruskan pengajian dan selepas tamat, nekad menceburi bidang grafik pengiklanan,” katanya.

Pada masa sama, kata Nan, beliau menghantar karya kartunnya ke majalah Gila-Gila. Dari situ, bakat Nan dikesan Utusan Melayu yang mengundang Nan menghasilkan kartun untuk akhbar terbitannya secara tetap. Hampir enam bulan juga Nan berfikir untuk menerima tawaran itu.

Puas berfikir, Nan menerima tawaran itu dan masih menyumbang kepada majalah Gila-Gila secara sambilan menggunakan nama pena, Nonama.

Selepas 10 tahun bersama Utusan Melayu, Nan tergerak hati bekerja sendiri. Lalu, beliau dan beberapa rakan kartunis lain menerbitkan majalah humor Batu Api hingga beberapa tahun kemudian mengalih tumpuan kepada bidang pengiklanan.

Cerita Nan, sudah hampir 20 tahun beliau tidak melukis kartun kerana lebih tertumpu kepada tugasan grafik pengiklanan bagi syarikat swasta dan institusi perbankan tempatan. Cuma, kadang-kala, apabila ada permintaan, beliau kembali melakar kartun.

Ditanya apakah beliau tidak berminat menyambung semula legasi kartunnya, Nan berkata, beliau masih menimbangkannya.

Dekati personaliti ini dan kongsi suka duka hidup kartunis Nan bersama kolum Di Sebalik Nama…

Sudah hampir 20 tahun anda tidak menghasilkan kartun di akhbar atau majalah, apa perkembangan terkini anda?

Sekarang, saya lebih tertumpu kepada kerja membabitkan pengiklanan. Ini meliputi kerja rekaan grafik, ilustrasi dan penerbitan. Sudah lama saya membabitkan diri dalam kerja begini.

Sejak berhenti melukis kartun, saya tubuhkan sebuah syarikat grafik pengiklanan yang beroperasi kira-kira 10 tahun tetapi disebabkan masalah kekurangan tenaga kerja, syarikat terpaksa ditutup. Lalu saya terus membuat kerja dari rumah.

Mengapa anda beralih dari kartun ke bidang pengiklanan?

Inilah minat saya sebenarnya. Lagipun, saya fikir ketika itu, sudah tiba tahap atau high time untuk saya (terus berkecimpung) dalam melukis kartun. Sudah tiba masanya untuk generasi baru bergiat dalam bidang ini, lagipun bilangan kartunis semakin ramai.

Boleh anda ceritakan, bagaimana timbul idea mencipta watak untuk siri Ayop Anak Tulakang dalam majalah Gila-Gila?

Itu memang dihasilkan khusus untuk majalah Gila-Gila. Disebabkan mereka meminta saya menghasilkan kartun bersiri, saya perlu mereka cerita dan watak bersiri.

Saya memang sukakan watak budak-budak yang banyak kerenah, tidak berpenghujung dan pemikiran mereka juga bebas. Dari situlah datangnya watak Ayop, seorang budak yang berasal dari Kampung Tulang Belakang.

Ayop dikenali kerana kemahiran mengurut yang memberi sumber pendapatan untuknya.

Bagaimana anda mengembangkan cerita dalam siri kartun dan apakah kesudahan cerita Ayop Anak Tulakang?

Dalam menghasilkan kartun yang bersiri atau bersambung, tidak dapat tidak, kita perlu memperbesarkan-besar dan mereka-reka ceritanya. Berbagai cerita diselitkan walaupun kadangkala tidak logik, tetapi kita jadikan ia logik. Misalnya kisah Ayop berniaga katak di padang pasir untuk panggil hujan.

Namun, itulah sayangnya, apabila terbit Batu Api, ia menjadi saingan dengan Gila-Gila. Ketika itu, siri ini berhenti begitu saja.

Di Batu Api, saya cipta kartun baru iaitu Tuan Kecik di mana kisahnya mengenai budak-budak. Lalu kisah Ayop tergantung begitu saja. Saya pun tidak pasti apa kisah terakhirnya. Kalau tak silap, ceritanya sampai ke peringkat Ayop menjual senjata.

Mengapa anda berhenti melukis selepas Batu Api?

Mungkin disebabkan sudah letih hendak melukis kartun, letih mencari idea dan sebagainya. Kerja pengiklanan lebih bebas sedikit tetapi cabarannya lain pula.

Orang kata, jika melukis kartun, kita melayan otak sendiri. Tetapi dalam bidang pengiklanan, kita terpaksa melayan kehendak dan selera orang, jadi susah sikitlah. Lalu, saya kembali menawarkan perkhidmatan berkaitan bidang pengiklanan bersama rakan kongsi.

Dalam situasi kerjaya kartunis tempatan, ada yang masih kekal sebagai kartunis dan ada yang beralih bidang. Bagaimana anda boleh membuat keputusan untuk meninggalkan bidang ini?

Dulu, bidang kartun ibarat periuk nasi bagi saya. Tetapi sekarang, ia lebih kepada hobi… Bukanlah tidak melukis langsung. Apabila ada permintaan, saya akan hasilkan karya.

Cuma disebabkan kesibukan kerja pengiklanan, saya agak takut berjanji dengan mereka yang meminta karya saya. Ini kerana saya faham, mereka di akhbar atau majalah bekerja berdasarkan deadline. Saya bimbang tak dapat tepati waktu yang ditetapkan.

Mengenai segelintir kartunis yang masih setia dengan kerjaya, mungkin itu sudah menjadi kelebihan mereka dan sumber rezeki.

Antara semua bidang yang anda ceburi, mana satu paling serasi dengan jiwa?

Bagi saya, yang kena dengan jiwa saya adalah kerja pengiklanan dan penerbitan. Kurang sikit ‘pecah kepala’. Lagipun, apabila melihat hasil akhir buku yang diterbitkan, kita akan merasa puas.

Ini kerana semuanya kita lakukan sendiri… Baik artikel, susun letak halaman dan sebagainya. Banyak pengalaman ketika bekerja dengan syarikat penerbitan saya gunakan apabila bekerja sendiri.

Cara kerja kartunis dulu, kita melalui setiap peringkat proses penghasilan sesebuah kartun. Jadi, kita bangga kerana karya yang direka adalah 100 peratus hasil kerja kita.

Profil

* Nama penuh : Zainal Osman
* Tarikh lahir : 24 Mei 1952
* Asal : Parit Buntar, Perak
* Status : Berkahwin dan dikurniakan empat orang anak

Sumber: Berita Harian, 19 September 2009

Posted in: Parit Buntar, Tokoh