Air asam istimewa Parit Buntar

Posted on Disember 11, 2009

0


Oleh Zabidi Ishar

SEKIRANYA anda mendapat jemputan untuk menghadiri majlis perkahwinan atau sebarang majlis keramaian di mana-mana tempat di Parit Buntar, Perak, pastikan anda tidak menolak jemputan itu.

Ini kerana jika ditolak pelawaan itu, anda akan menyesal kerana terlepas menikmati makanan seperti kari daging, daging masak hitam, kurma ayam atau daging dan yang paling istimewa ialah air asam.

Entah apa istimewanya air asam Parit Buntar kerana anda akan sentiasa teringatkan rasa sedapnya bila pulang ke rumah dan bila mencuba sendiri membuat air asam seperti itu, ia tidak akan sama seperti di sana.

Peluang yang penulis peroleh untuk berkunjung kali kedua ke daerah itu tidak dilepaskan begitu sahaja walaupun penulis tinggal di Kelantan , satu jarak yang agak jauh.

Penulis baru-baru ini dijemput seorang pesara Jabatan Pertanian, Abdul Halim Sulaiman, 56, ke rumahnya di Parit Lebai Akhil di sini bagi menghadiri majlis cukur jambul dua cucu barunya memang diibarat seperti “orang mengantuk disorongkan bantal”.

Hajat hati untuk makan sepuas-puasnya air asam yang kali pertama dirasai penulis pada akhir tahun lepas di rumah Abdul Halim yang ketika itu melangsungkan perkahwinan anak perempuannya kini memang berbaloi.

“Sedap sungguh air asam Pak Halim ni. Apa ramuannya yang sedap macam ni,” kata abang penulis Zamri Ishar yang turut serta ke rumah Abdul Halim.

Sememangnya air asam merupakan menu makanan yang ‘wajib’ ada pada sebarang majlis perkahwinan atau keramaian di Parit Buntar.

Uniknya air asam di Parit Buntar bukan dimakan bersama ikan bakar pada lazimnya tetapi air asam itu sebenarnya adalah menu bagi menggantikan sambal belacan.

‘Memang di Parit Buntar tidak sah kenduri atau apa sahaja majlis kalau tidak ada air asam.

“Air asam di Parit Buntar ini istimewa kerana keenakannya tidak sama seperti di tempat lain,” kata Abdul Halim memulakan perbualan mengenai air asam itu.

Pada mulanya Abdul Halim agak keberatan untuk menceritakan ramuan istimewa air asam itu kerana masih merendah diri air asam yang dibuatnya tidaklah sesedap mana tetapi apabila terus diasak penulis barulah Abdul Halim menerangkan mengenai resipi air asam Parit Buntar.

Antara ramuan asas air asam di sini masih sama di tempat lain iaitu cili, tomato, bawang, kerisik, belacan dan air asam jawa, namun sebenarnya ada ramuan khusus bagi masyarakat Parit Buntar untuk menyediakan air asam.

“Kami memasukkan sejenis kicap cair dan sos tomato yang hanya terdapat di Parit Buntar sahaja.

“Kicap cair dan sos tomatonya sangat berlainan rasanya dan tidak terdapat di luar Parit Buntar,” kata Abdul Halim yang disifatkan penduduk sekitar antara pakar pembuat air asam.

Beliau berkata pernah rakannya yang tinggal di negeri lain cuba membuat air asam itu sendiri yang akhirnya mengakui ia tidak sesedap seperti di sini.

“Buat air asam ini tidak susah tetapi ramuannya kena betullah dan sebab itulah Parit Buntar terkenal dengan air asamnya,” kata Abdul Halim dengan tawa.

Bagi seorang pensyarah Zamri Mohd. Akhir, 40, dari Selangor berkata, beliau sebelum ini bukanlah penggemar air asam.

“Tapi sejak kali pertama saya makan air asam pada satu kenduri di sini, saya dah jatuh hati pada air asam Parit Buntar.

“Air asam di tempat lain memang tidak sesedap di sini dan sebab itu saya seboleh-bolehnya tidak akan menolak jemputan untuk ke sini,” kata Zamri.

Selain air asam, resipi lain yang turut terkenal di Parit Buntar ialah kari daging serta acar limau atau buah yang semestinya ada dalam menu makanan pada setiap majlis.

“Agaknya orang Parit Buntar ni memang pandai masak,” kata adik Zamri, Siti Norlida, 38 tahun.

Promosi daerah, melalui makanan

Siti Norlida berkata air asam, acar buah dan kari daging itu sebenarnya sudah cukup untuk menaikkan nama Parit Buntar dan agensi pelancongan boleh mempromosikan daerah ini melalui makanan.

Antara promosinya adalah melalui penginapan inap desa yang semakin popular dan penduduk di Parit Buntar boleh memanfaatkan program itu untuk menarik pelancong ke daerah ini.

“Jika tempat lain mungkin daya tarikannya lain tetapi di Parit Buntar daya tarikannya adalah melalui makanan dan kediaman kampung yang terletak di tengah sawah,” katanya.

Memang benar kata Siti Norlida itu kerana selain keistimewaan makanan, antara tarikan lainnya adalah merasai kedamaian berada di tengah sawah.

Selain itu anda akan kagum dengan sikap gotong-royong penduduk kampung untuk menyediakan makanan pada setiap majlis.

Jika di tempat lain kaedah bufet semakin mendapat tempat tetapi di Parit Buntar, penduduk kampung masih mengamalkan sikap bergotong-royong.

Mungkin inilah trademark Parit Buntar dan jika anda sememangnya penggemar air asam jangan segan untuk ke sana bagi menikmatinya.

Sumber: Utusan Malaysia, 9 Oktober 2009

Posted in: Parit Buntar