Antara Pustaka Rahman dan Agensi Ramalan Nombor

Posted on Disember 4, 2009

0


Usai solat Jumaat di Masjid Bandar Baharu, Kedah, singgah sebentar ke kedai buku Pustaka Rahman kalau-kalau ada Dewan Masyarakat, Majalah PC dan Kreko: Komik Remaja keluaran terbaharu.

Di Parit Buntar cuma ada 3 buah kedai buku sahaja. Pustaka Rahman (kedai alat tulis dan kedai buku milik Melayu), Pustaka Soon Ho (Cina) dan sebuah lagi milik India (kurang pasti namanya sebab jarang membeli di situ). Pilihan genre yang dijual kepada pembaca agak terhad jika dibandingkan dengan Taiping dan Kuala Lumpur. Hanya surat khabar, komik, majalah ilmiah, hiburan dan picisan, novel, buku latih tubi untuk peperiksaan dan kamus sahaja yang boleh diperoleh di sini. Kalau ada terjual buku Pendita Za’ba, Syed Hussien Alatas atau Faisal Tehrani, suatu keajaiban bagi saya. Buku PTS pun belum tentu ada dijual di sini. Hebat!

Kebiasaannya, saya akan ke Pustaka Soon Ho untuk membeli bahan bacaan terkini kerana berhampiran dari rumah. Perjalanan cuma mengambil masa 5 minit sahaja dengan menaiki motosikal. Jikalau sudah habis dijual, saya akan ke kedai kecil di Perhentian Bas Raya Parit Buntar dan kemudiannya barulah ke Pustaka Rahman.

Sebaik sahaja menongkatkan motosikal di depan Pustaka Rahman, saya terus masuk ke kedai. Saya mendapati suasananya baharu dengan ruang dinding bercat putih. Agaknya baru sahaja dimodifikasi. Walau bagaimanapun, saya pelik dan musykil kerana bilangan komik dan majalah yang dijual tidak banyak seperti selalu. Lalu saya terus keluar ke motosikal untuk bergerak ke Pustaka Soon Ho dengan mengharapkan sudah ada keluaran terbaharu untuk dibaca mengisi waktu lapang. Semasa memakai topi keledar, saya terperasan kedai alat tulis sebelah sudah bertukar menjadi kedai daftar belajar memandu. Nampak gaya, Pustaka Rahman sedang mengalami defisit telahan saya.

Sebaik tiba di Pustaka Soon Ho, saya tidak kecewa kali kedua. Saya dapat membeli Kreko sahaja. Dewan Masyarakat belum tiba lagi dan Majalah PC sudah habis dijual. Nasib saya agak baik kerana kedai kecil di perhentian bas masih ada beberapa naskah Majalah PC yang belum terjual.

Ketika dalam perjalanan pulang ke rumah, saya mendapati sebuah kedai agensi ramalan nombor baharu telah wujud. Kalau dahulu cuma ada kedai kuda, kini sudah ada kedai burung bayan. Fenomena mahu cepat kaya tanpa usaha nampaknya sudah mengakar dalam masyarakat. Kalau dirujuk kepada pecahan kaum di Parit Buntar, lebih kurang 70% adalah orang Melayu dan selebihnya Cina, India dan lain-lain. Bukan sengaja membuat tuduhan liar kerana kadang kala ternampak juga kelibat Melayu di kedai-kedai itu. Ada juga yang meminta pertolongan daripada kaum lain untuk membelinya hasil perbualan yang saya dengar ketika memotong rambut.

Sebenarnya, negara kita memperoleh pendapatan daripada cukai perjudian dengan cukup mewah. Laporan YB Dato’ Dr. Awang Adek Hussin di Dewan Rakyat pada 18 November 2009 menunjukkan RM2.37 billion merupakan jumlah kutipan pada tahun lepas. Antara syarikat perjudian yang menyumbang ialah Genting Malaysia Berhad (RM949,802,170), Sport Toto (RM509,739,584), Magnum Corporation (396,477,793), Pan Malaysia Pools (270,764,197), Pan Malaysia Racing (RM138,576,130), Daily One Corporation (18,082,749), Sandakan Turf Club (RM18,182,034) dan Sarawak Turf and Equestrian Club (29,776,000).

p/s: Tidak mustahil jika duit tersebut digunapakai untuk bayaran emolumen dan pembinaan masjid.

Rujukan:
Kedai kuda: Pan Malaysia Racing @ da ma cai
Kedai burung bayan: Sport Toto

Posted in: Kaca Mata Safwan