Godam: ‘Ke mana hilangnya jiwa besar Melayu!’

Posted on Disember 3, 2009

0


Bersama Salbiah Ani
JIKA Hang Tuah dalam teks karya agung Melayu, Hikayat Hang Tuah dan Sulalat al-Salatin, begitu yakin tak akan hilang Melayu di dunia, tetapi perkembangan semasa menunjukkan hal sebaliknya dan bangsa terbabit seolah-olah tidak bimbang dengan situasi yang melanda nasib bangsanya.

Penulis katakan demikian kerana sebahagian besar Melayu Islam Malaysia kini semakin hilang jati diri dalam hal kebahasaan, meskipun hakikatnya ia satu daripada dua ciri utama yang membezakan mereka dan mampu mengekalkan pengenalan bangsa terbabit dalam apa keadaan sekalipun.

Dalam memperkatakan hal melukakan bahasa Melayu, bidalan sudah terang lagi bersuluh paling tepat menghuraikan situasi ini kerana baik kelompok marhaen, profesional Melayu, pengurusan kanan syarikat berkaitan kerajaan dan kalangan pemimpin politik, seolah-olah berlumba-lumba.

Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) juga seolah-olah terus hilang punca dalam kemelut yang melanda bahasa Melayu, di sebalik ‘menaburkan’ jutaan ringgit bagi kempen Bulan Bahasa Kebangsaan sejak lebih sedekad lalu dan dilihat sesetengah pihak bergerak dalam kelambu sendiri!

Menteri demi menteri melaungkan retorik dan bersikap talam dua muka dalam menyedapkan hati sekelompok kecil bangsa Melayu yang dilabel taksub bahasa, agar senyap dan berpuas hati dengan kedudukan bahasa Melayu di negara ini.

Kelompok ini seolah-olah tidak berasa dan enggan melihat kemungkinan suatu hari nanti mereka akan turut ‘berkubur’ sama dengan bahasa bangsanya, meskipun hakikat suatu ketika pernah memegang kuasa yang sepatutnya dimanfaatkan bagi mengelakkan petaka itu!

Jika pelajar tingkatan empat boleh terusik dengan tindakan syarikat gergasi minyak milik negara, menguar-uarkan kehebatan RON95 melalui empat bahasa dengan bahasa Melayu berada pada kedudukan ketiga, sebagai pengkhianatan kepada bangsa Melayu, mengapa tidak menteri, kementerian dan DBP, bersuara dalam hal ini?

Tiada gunanya usaha meminda kuasa DBP bagi menghukum pesalah bahasa dalam sektor awam dan agensi di bawahnya, meskipun akan berkuat kuasa dalam masa terdekat, jika sektor swasta bebas serta lepas berbuat apa saja, hatta mencabar bahasa Melayu!

Pasti ada yang tidak kena kerana soal memartabat dan memperkasakan bahasa Melayu di negara yang sudah memperakukan haknya dalam Perlembagaan Persekutuan melalui usaha bersungguh pimpinan Pengarah DBP, Syed Nasir Ismail (1957 hingga 969) masih berlaku selepas 52 tahun merdeka.

Allahyarham Syed Nasir Ismail dan Allahyarham Pendita Za’ba pasti menangisi nasib bahasa Melayu jika berpeluang melihat perkembangannya hari ini kerana seolah-olah perjuangan mereka dalam hal kebahasaan tanpa sebarang kepentingan peribadi, tidak dinilai negara apalagi bangsanya!

Kedegilan dan keangkuhan sesetengah kelompok Melayu dalam mengagungkan bahasa Inggeris berbanding bahasa Melayu sehingga alpa akan kepentingan melindungi bahasa mereka selain agama, demi masa depan bangsa dan negara dalam jangka panjang.

Justeru tidak menghairankan apabila bahasa Melayu terus diperkecil dan diperlekehkan sesetengah kelompok marhaen, profesional Melayu, pengurusan kanan syarikat berkaitan kerajaan dan kalangan pemimpin politik, semacam hina dina apabila menggunakan bahasa terbabit.

Penentangan berterusan daripada Barisan Bertindak Ibu Bapa untuk Pendidikan (Page) dalam menyokong Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) meskipun selepas diputuskan oleh kerajaan satu lagi bukti sahih pengkhianatan terhadap bahasa dan bangsa Melayu!

Kelompok ini tidak bimbang dengan penyalahgunaan istilah mudah dalam ruang lingkup kehidupan harian seperti ramping yang sepatutnya digunakan untuk pinggang, kini diguna pakai penulis iklan dalam konteks yang tidak masuk akal iaitu merampingkan perut!

Tiada maknanya usaha kerajaan melalui Kementerian Pengajian Tinggi memperbanyakkan Kursi Pengajian Melayu di universiti luar negara dan Majlis Antarabangsa Bahasa Melayu di bawah DBP dipertahankan, jika maruah bahasa terbabit di negara ini tidak dilindungi dengan sebaik-baiknya.

Atau mungkin pihak berkenaan hanya sedar sekiranya bahasa Melayu hanya tinggal pada nama seperti dalam peta sejarah Melaka di bawah pemerintahan Kesultanan Melayu Melaka yang sanggup ‘memberi’ bukit kepada Cina dan tanjung kepada Keling, tetapi tiada apa kepada Melayu di sana!

Apakah hakikat Melaka pernah muncul sebagai pelabuhan dagang terbesar rantau Nusantara sehingga menjadi iri kepada Portugis lalu mengatur serangan dan hadirnya pahlawan seperti Hang Tuah, tidak cukup membuktikan betapa Melayu pernah berjiwa besar suatu ketika dulu.

Tidakkah nama Tanah Melayu lenyap menjadi Malaysia angkara penjajah Inggeris dalam melindungi orang lain menimbulkan keinsafan!

Sumber: Berita Harian, 3 Disember 2009

Posted in: Akhbar, Bahasa