Sekolah Kebangsaan Jawapan Kepada Sekolah Satu Aliran

Posted on Disember 1, 2009

0


Isu Sekolah Satu Aliran (SSA) menjadi perbincangan hangat masyarakat Malaysia ketika gagasan Satu Malaysia diilhamkan oleh Datuk Seri Najib Tun Razak. Isu ini telah dibangkitkan oleh Datuk Mukhriz Mahathir. Kemudiannya, Prof. Emeritus Tan Sri Dr. Khoo Kay Kim turut menyarankan idea yang sama pada 28 Oktober yang lalu.

Sebenarnya, isu ini telah dibangkitkan sekian lama sejak zaman pemerintahan British lagi. Ketika itu, British mengilhamkan penubuhan Penang Free School (PFS) sebagai medium perantara untuk menyatupadukan kepelbagaian kaum yang terdapat di Tanah Melayu. Diksi ‘Free’ (Percuma) yang terdapat pada PFS bukanlah merujuk kepada pelajaran percuma sebagaimana yang dilakukan oleh Malacca Free School (kini Sekolah Tinggi Melaka). Sebaliknya, merujuk kepada kebebasan untuk semua bangsa untuk masuk belajar di situ.

Pada tahun 1951, British melalui Laporan Barnes telah mencadangkan bahawa satu sistem pendidikan nasional perlu diwujudkan dengan tujuan untuk membina sebuah negara bangsa. Caranya ialah sekolah yang menggunakan pengantar bahasa Inggeris dan Melayu. Walau bagaimanapun, cadangan ini dibantah oleh komuniti Cina. Laporan Fenn-Wu yang dikeluarkan tidak lebih daripada usaha untuk meraih simpati British untuk mengekalkan sekolah vernakular Cina.

Demi menjaga sensitiviti kaum di Tanah Melayu, British telah mencadangkan pelaksanaan sistem dwibahasa di Sekolah Melayu (bahasa Melayu dan Inggeris) dan tribahasa di Sekolah Cina (bahasa Cina, Melayu dan Inggeris) dan India (bahasa Tamil, Melayu dan Inggeris) dengan menggunakan kurikulum yang sama di semua sekolah, dengan harapan satu sistem sekolah kebangsaan dapat terbentuk.

Selepas 5 tahun, Penyata Razak dikeluarkan bagi mengkaji semula sistem pendidikan di Malaysia. Antara cadangan yang dibuat ialah penubuhan satu jenis sekolah sahaja yang terbuka kepada semua kaum, iaitu Sekolah Kebangsaan (SK). Bahasa Melayu pula dijadikan sebagai pengantar utama.

Namun begitu, situasi yang berlaku hari ini adalah sebaliknya. Statistik nasional menunjukkan bahawa 93 peratus pelajar bumiputera dan 7 peratus pelajar bukan bumiputera di SK. 93 peratus pelajar bukan bumiputera dan 7 peratus pelajar bumiputera di SJKC manakala 99.8 peratus pelajar bukan bumiputera dan 0.2 peratus pelajar bumiputera di SJKT. Selain itu, penubuhan Sekolah Wawasan gagal menarik minat ibu bapa kaum Cina dan India untuk turut serta. Ada juga ibu bapa Melayu dan bumiputera yang mula menghantar ke SJKC atau SJKT atas alasan kualiti penyampaian pendidikan dan penyediaan prasarana.

Bukankah situasi ini bakal mengikis perpaduan dalam kalangan generasi muda pada masa depan? Adakah rasa perkauman masih menebal dalam sanubari kita?

Jika kewujudan sekolah kebangsaan masih lagi diragui dan sukar diterima oleh kebanyakan orang Cina dan India, apalah gunanya slogan Satu Malaysia. Wujudlah pelbagai nama sekolah demi membina perpaduan, namun hasilnya adalah tetap sama, mengulangi nasib Sekolah Wawasan.


Muhammad Safwan bin Mohd. Noor Azmi
Exco Pendidikan dan Penyelidikan,
Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia.

Posted in: Kaca Mata Safwan