Pantau bahasa 1: Stesen LRT

Posted on November 11, 2009

0


Perkataan iklan berasal dari perkataan Arab, yang bermaksud khabar yang disiarkan. Dalam bahasa Inggeris, perkataan advertising dipinjam daripada perkataan Latin, iaitu advetere – memalingkan fikiran kepada sesuatu perkara.

Iklan merupakan satu daripada wadah untuk memberitahu kepada orang ramai. Biasanya disampaikan melalui surat khabar, televisyen, radio, laman sesawang, papan tanda, sepanduk, panji-panji dan lain-lain lagi yang seumpama dengannya.

Fungsinya adalah untuk mengiklankan produk atau perkhidmatan. Iklan dapat menjadi tanda pengenalan yang membezakan sesuatu produk atau perkhidmatan dengan yang lain. Selain itu, iklan dapat meningkatkan komunikasi dalam menjelaskan mesej kepada audiens melalui perkataan, lukisan, simbol atau cap perniagaan.

Iklan juga berupaya memberi pendidikan kepada pengguna dengan membentuk kefahaman dan memberi pesanan jika diulang beberapa kali. Dalam ekonomi pula, iklan dilihat mampu menggalakkan jualan dan mengurangkan kos pengedaran.

Ayat yang digunakan dalam sesuatu iklan mampu menyentuh perasaan dan emosi sasaran jika kena dengan caranya. Dalam hal ini, keupayaan menggunakan bahasa dengan baik melambangkan imej produk atau perkhidmatan dan keperibadian seseorang atau organisasi itu.

Walau bagaimanapun, didapati kesalahan tatabahasa seringkali berlaku pada iklan. Ayatnya kadang-kala tidak bermakna. Ada juga ayat iklan yang tidak sesuai dengan konteks adat, budaya dan agama di Malaysia yang bersifat erotik, lucah, provokasi dan kontroversi secara keterlaluan.

Siapakah yang bersalah dalam hal ini? Adakah kegagalan Dewan Bahasa dan Pustaka? Adakah ketidakprihatinan pihak berkuasa tempatan? Atau rakyatnya yang tidak pernah memahami penggunaan bahasa Melayu dengan baik dan betul?

Lihatlah sendiri.

Lokasi:
Stesen LRT Universiti
Kesalahan:
Apa
Keterangan:
Apa digunakan untuk bertanyakan nama sesuatu atau pengganti sesuatu yang kurang terang.
Pembetulan:
Sepatutnya ditulis sebagai apa-apa. Apa-apa bermaksud barang apa, segala apa, segala sesuatu atau sesuatu.