Sudah di hujung tahun rupanya

Posted on November 3, 2009

1


Kesibukan kerja, program, aktiviti, seminar, konvensyen dan lain-lain lagi yang seumpama dengannya membuatkan masa berlalu dengan pantas sekali bagiku. Sedar atau tidak, rupanya sudah di penghujung tahun 2009.

Kini, aku di semester 4 di IPG Kampus Bahasa Melayu. Tinggal 2 tahun sahaja lagi aku bakal menamatkan pengajian ijazah di sini. Walau bagaimanapun, timbul rasa khuatir: Adakah aku mampu memikul amanah masyarakat untuk mendidik anak bangsa dengan sebaik mungkin? Memang di kelas teori, praktikal dan aplikasi dibuat sebagai pendedahan kepada bakal guru. Di sekolah nanti bukan semestinya panas hingga ke petang, mungkin juga hujan di tengah hari. Apatah lagi masalah sosial, politik dan agama tidak habis-habis diperkatakan di media massa sejak akhir-akhir ini. Suatu tanggungjawab yang sangat berat untuk ditangani oleh guru-guru untuk merubah situasi pada hari ini agar lebih baik demi masa depan.

Di kala kawan-kawan sibuk menelaah buku dan berbincang hal-hal peperiksaan, aku sahaja sibuk menelaah hantu dan sejarah perjuangan guru di Malaysia. Macam sudah pandai sahaja dalam mata-mata pelajaran semester ini.

Kertas kerja untuk Seminar Intelek Muda ASASI belum habis ditelaah, Khamis ini pembentangan Diskusi Ilmu pula. Memang gila. Memberi tekanan tambahan ketika menghadapi peperiksaan. Sudahlah 2 semester  yang lalu pointer jatuh menjunam, yang lepas naiklah sedikit. Entah apa pula keputusan semester ini. Bukan ada persiapan rapi pun untuk menjawab peperiksaan, cuma berbekalkan pemahaman sewaktu belajar dalam kelas dan nota-nota yang ada.

Masalah, cabaran dan tanggungjawab sentiasa berkesinambungan. Rasa tidak sabar, marah, tekanan dan ketidakpuasan hati ada kala menguasai diri. Keluarga di rumah pun kadang-kadang terlupa untuk memberitahu khabar berita. Hingga bonda pula terpaksa bertanyakan khabar akhir-akhir ini. Maafkan anakanda, bukan sengaja.

Agaknya, bilalah dapat pulang ke rumah untuk melepaskan rindu terbuku sekian lama tidak pulang demi mencari ilmu dan menjadi orang berguna? Cuti sekolah hujung bulan ini? Belum tentu lagi…kerana ada aktiviti-aktiviti yang seterusnya. Inilah pengorbanan yang terpaksa diterima demi jihad ilmu. Mungkin inilah dirasakan oleh AF sehingga hari ini. Seseorang amat aku kagumi dengan sikap ketabahan dan tanggungjawabnya dalam mempelajari dan menyampaikan ilmu.

Akhir kata, moga-moga dapat petunjuk dan hidayah daripada-Nya. Dipermudahkan segala urusan dan ketika menjawab peperiksaan.  Harap terus bertabah dan beristiqamah ketika menghadapi kesulitan. Sekian.

1001, Kolej Dato’ Razali Ismail,
IPGKBMKL.

Posted in: Peribadi