Perginya Yoshito Usui – Siri Pertama

Posted on September 21, 2009

0


Watak utama yang diminati ramai: Sin-chan

Nama Yoshito Usui pastinya kurang dikenali ramai. Namun begitu, jika bercakap tentang Crayon Sin-chan pastinya dikenali semua baik yang muda sehinggalah dewasa khususnya peminat-peminat kartun.

Beliau merupakan pencipta kartun dan animasi ini, yang mengisahkan gelagat seorang budak berusia 5 tahun, keluarga dan rakan-rakannya di bandar Kosukabe, Saitama, Jepun. Populariti kartun ini meningkat dengan menghimpunkan jutaan peminat sehingga berjaya menyebarluaskan pengaruhnya hingga ke beberapa buah negara seperti Malaysia, India, Thailand, Amerika Syarikat, Kanada, Portugal, Jerman, Perancis, Itali, Brazil, Mexico, Argentina, Israel, Indonesia, Sepanyol, Taiwan dan Hong Kong.

 Keluaran siri pertama Crayon Sin-chan

Walau bagaimanapun, Yoshito Usui ditemui mati akibat jatuh ke gaung ketika mendaki di Gunung Arafune seorang diri pada 19 September 2009. Mayat beliau ditemui oleh seorang pendaki ketika mendaki gunung tersebut. Beliau dikatakan jatuh dari puncak kira-kira 250 hingga 300 meter dan mengalami kecederaan serius. Menurut polis, pakaian kepunyaan mayat adalah sama seperti Yoshito Usui.

Berdasarkan pengecaman ahli keluarga dan rekod pergigian, mayat disahkan sebagai Yoshito Usui. Sebelum itu, Iza News melaporkan kehilangan beliau sejak 11 September. Polis Wilayah Saitama melakukan operasi pencarian setelah keluarganya melaporkan kepada polis. Akhbar Yomiuri melaporkan bahawa Usui meninggalkan rumah pada pagi 11 September. Telefon bimbitnya berbunyi namun tiada sebarang jawapan.

Watak-watak yang menghiburkan suasana

Kakitangan editorial di majalah Manga Town kepunyaan Futabasha mengumumkan bahawa penerbitan Crayon Sin-chan pada masa akan datang tetap akan diteruskan. Kata Futabasha lagi, “Walaupun kami melalui kejutan besar, kehidupan mesti diteruskan juga. Tiada apa-apa yang dapat kami katakan kepada keluarga beliau yang sedang melalui detik-detik yang sukar, cuma kami mendoakan kebahagiaan beliau di dunia yang lain.”