Apa makna Malaysia?

Posted on September 18, 2009

0


Sempena 16 September yang lalu, kita menyambut Hari Malaysia kali ke-46 sebagai tanda penyertaan Malaya, Borneo Utara (Sabah), Sarawak, dan Singapura membentuk gagasan Malaysia.Walau bagaimanapun, pemisahan Singapura daripada Malaysia berlaku pada 7 Ogos 1965.

Apa itu Malaysia? Mengapa Malaysia dipilih sebagai nama negara kita? Bukankah sebelum itu Persekutuan Tanah Melayu namanya?

Saya yakin dan percaya bahawa persoalan-persoalan picisan sedemikian rupa seringkali menjelma di pemikiran kita khususnya generasi muda. Seingat saya, persoalan ini sudah mula terbit sejak tingkatan 5, ketika cuba memahami isu-isu negara berdasarkan buku teks sejarah. Faktor sumber rujukan yang terhad dan guru yang kurang ilmunya menyebabkan naluri inkuiri saya tidak dapat dipenuhi.

Akhirnya, sekian lama saya menyelongkar mencari makna Malaysia, terjumpa juga satu artikel yang menceritakan perihalnya secara ilmiah, hasil tulisan Prof. Shaharir Mohamad Zain, yang bertajuk “Siapakah Melayu?”.

Walaupun hujah yang dikemukakan itu bersifat sudut pandang beliau, namun begitu saya beranggapan penulisan tersebut sebagai ‘boleh diterima pakai’. Saya kira penulisan ini sebagai pembuka jalan kepada para pengkaji sejarah untuk membuat kajian tentang asal-usul frasa ‘Malaysia’ pada masa-masa akan datang agar pemahaman rakyat tidak tersasar lantaran tiadanya penjelasan yang baik daripada pihak berwajib sehingga hari ini.

Pada tahun 2006, Lee Kuan Yew, bekas Perdana Menteri Singapura menegaskan dalam sebuah program televisyen di saluran Discovery yang berjudul “Singapore: A Nation By Accident” bahawa “Malaysia” merupakan ringkasan daripada Malaya, Sabah, Sarawak dan Singapura, iaitu hasil ‘ciptaan bijak’ daripada Tunku Abdul Rahman. Seolah-olah beliau cuba menyatakan bahawa “Malaysia” bersifat ‘main-main’, ‘propaganda’, ‘bersenda-senda’ dan sinis.

Walhal, “Malaysia” sudah diperkatakan sejak 112 tahun yang lalu. Pertama kali perkataan “Malaysia” disyorkan oleh Lord Brassey, Pengarah The North Borneo Chartered Company, pada tahun 1887, sebagai sebuah negara yang menyatukan Sabah, Sarawak, Brunei, Malaya dan Singapura, yang merupakan jajahan takluk Inggeris di Asia Tenggara. Syor ini dibangkitkan di Kabinet UK pada tahun 1888 dan 1932.

Cadangan “Malaysia” Brassey itu ialah gabungan Malays (merujuk bahasa Inggeris bagi Melayu) + ia (merujuk bahasa Yunani bagi tanah atau rantau). Begitulah juga keadaannya nama negara Bolivia, Georgia, Slovakia, Czekoslovakia, Nigeria, Australia dan lain-lain lagi yang seumpama dengannya. Oleh yang demikian, dapatlah kita fahaminya secara mudah bahawa Malaysia bermakna Tanah Orang Melayu. Jika difikirkan, suatu nama yang wajar apabila mengenangkan kawasan terbabit sebahagian kecil daripada kawasan Gugusan Kepulauan Melayu.

Maka, besar kemungkinan, Tunku Abdul Rahman hanya meneruskan idea ini sahaja bilamana beliau menubuhkan Malaysia pada tahun 1963. Sebelum itu, Malcolm MacDonald, Gabenor-Jeneral British, ditugaskan untuk menyelaraskan dasar-dasar di 5 buah tanah jajahan Inggeris ini selepas Perang Dunia Kedua menuju ke arah penubuhan “Malaysia”.

Sebuah makalah, “A Sacred Mountains: Exploration of Mount Kinabalu” dalam The British North Borneo Herald, July 1, 1929: 125 terbitan Singapore Free Press ada menyatakan istilah “Malaysia” untuk merujuk kepada rantau geografi Gugusan Kepulauan Melayu ini kaya dengan spesis flora dan fauna. Tambahan juga, makalah tersebut mencatatkan Kota Kinabalu sebagai gunung tertinggi di Malaysia.

Selain itu, tajuk berita dalam surat khabar The Strait Times yang bertarikh 13 September 1945, berbunyi “Japanese in Malaysia Surrender in Singapore”. Perenggan pertama berita menyatakan penyerahan Jepun di “Malaya and Dutch East Indies” yang ditandatangani di Singapura.

Walaupun rupa, keadaan dan bentuk geografi Malaysia tidak dinyatakan secara jelas dan spesifik, sekurang-kurangnya Malaysia dalam lingkungan Malaya, Singapura dan Indonesia.