Cara terbaharu curi di Jalan TAR

Posted on September 12, 2009

0


Sempena minggu terakhir di bulan Ramadhan, pastinya ramai orang sedang berkira-kira untuk membeli-belah di Jalan Tunku Abdul Rahman. Kawasan perniagaan ini cukup meriah sekali dengan gelagat manusia dan barangan jualan di sepanjang jalan. Dari baju Melayu, songkok, baju kurung, kuih raya, karpet, kasut sehinggalah perkakasan untuk hiasan rumah. Maka, ramailah yang datang berpusu-pusu pada hari-hari terakhir mendapatkan harga yang lebih murah bagi setiap belian untuk menyambut Syawal yang bakal menjelma.

Walau bagaimanapun, bukan semua yang berada di situ datang dengan niat dan tujuan yang sama. Ada juga yang sedang merencana untuk mendapatkan hasil lumayan daripada kerja yang salah. Apa lagi kalau bukan mencurilah namanya.

Disebabkan kawasan yang ramai orang dengan suasana penuh sendat lagi padat, maka pergerakan menjadi terhad dan lambat. Inilah yang dinanti-nantikan bagi si pencuri untuk memulakan operasi tanpa disedari, baik orang di sekeliling mahupun yang dicuri. Sekalipun kelihatan ramai polis di situ, belum tentu lagi menjamin keselamatan anda.

Laporan daripada seorang teman yang bertugas untuk memantau keadaan di situ, 3 kes kecurian telah berjaya ditangkap ketika sedang mencuri. Ketiga-tiga pencuri itu semuanya perempuan. Nampak gayanya, trend mencuri yang kebiasaannya dilakukan oleh lelaki telah menular kepada kaum hawa pula.

Namun begitu, operasinya pada kali ini cukup berbeza dan lebih efisien. Dengan menggunakan sebilah pisau, si pencuri sanggup mengambil risiko dengan menghampiri sasaran dan menoreh di bahagian tepi beg tangan wanita. Kemudiannya, mengambil dompet dan barang berharga tanpa disedari langsung oleh sasaran. Sebaik sahaja yang dicuri mahu membeli atau membayar kepada juruwang, barulah mereka perasan akan kehilangan wang dan dompet di dalam beg tangan.

Saya mengandaikan prosesnya begini:

Garisan merah merupakan potongan yang dibuat oleh si pencuri
Oleh yang demikian, ambil tindakan yang sewajarnya untuk mengelak daripada menjadi mangsa yang seterusnya. Jangan sampai seronok untuk berbelanja, bawa duit banyak-banyak untuk membeli sesuatu kepada keluarga dan sanak saudara akhirnya cuma menitiskan mata  sahaja.

Posted in: Kaca Mata Safwan