Faedah Yo-yo Kepada Otak

Posted on September 9, 2009

0


Oleh Ummi Nadiah Rosli

KUALA LUMPUR, Sept 9 (Bernama) — Anda boleh hayunkan ia ke bawah, ke tepi dan malahan ke atas – dengan begitu banyak teknik menghayun dan menggerakkannya yang dapat menonjolkan kemahiran seseorang.

Itulah yo-yo, satu permainan yang dipopularkan sekitar 1920-an, tidak lagi dilihat sebagai satu permainan kanak-kanak yang mudah tetapi mendapat perhatian jari jemari kanak-kanak dan dewasa di Malaysia sejak beberapa tahun lepas.

Sama ada ia diperbuat daripada plastik, kayu atau logam, yo-yo kini meninggalkan era nostalgia apabila dianggap sebagai satu permainan sahaja kepada pengiktirafan seluruh dunia sebagai satu bentuk sukan yang sebenar.

Mungkin ada di antara kita masih mengingati permainan yo-yo sewaktu kecil dahulu tetapi ramai yang tidak menyedari bahawa yo-yo bukan sekadar menghayunkannya ke hujung tali gandar roda dan kembali semula ke telapak tangan, tetapi pergerakan yo-yo sebenarnya baik untuk otak.

Bagaimana ini berlaku?

TINGKAT MINDA

Ahli Psikologi Klinikal, Datuk Dr Mat Saat Baki menjelaskan bahawa permainan yo-yo bukan sekadar menghayun dan menangkap semula gandar roda yang disambung dengan tali.

“Bermain yo-yo akan menggunakan fungsi kiri dan kanan otak”, katanya.

Pada umumnya, maklumat diproses dalam pelbagai cara oleh kiri dan kanan hemisfera otak, yang mana seseorang cenderung untuk memproses maklumat menggunakan bahagian dominan.

“Terdapat empat proses utama otak semasa bermain yo-yo iaitu tumpuan, koordinasi mata-tangan, kreativiti dan ketangkasan manual,” katanya.

Sama seperti permainan catur, tumpuan adalah satu proses yang banyak digunakan ketika bermain yo-yo. Apabila seseorang memberi tumpuan kepada yo-yo, bahagian kiri otak yang juga dikaitkan dengan pemikiran rasional menjadi dominan.

Ketika tumpuan diberikan ke atas yo-yo, seseorang pemain boleh bertindak mengikut teknik dengan jayanya hasil daripada tindakan otak di sebelah kiri yang juga memproses mengikut lelurus, urutan dan secara logik.

Pada masa yang sama, bahagian kanan otak yang lebih dikaitkan dengan keterbukaan kepada pengalaman dan gerak hati dalam melakukan sesuatu adalah bertanggungjawab kepada kreativiti.

Dr Baki menyatakan, “bermain yo-yo memerlukan pemain mempelajari kemahiran dan teknik yang baru. Pemain yo-yo diketahui kerap mengubah kepada teknik yang baru. Ini mencerminkan bagaimana otak di bahagian kanan digunakan”.

Lagipun, apabila ia dilakukan secara mahir dan terlatih, permainan yo-yo menjadi satu lagi bentuk aktiviti ketangkasan manual atau jasmani, yang termasuk permainan lain seperti ‘frisbees’ dan ‘cup stacking’.

“Kenyataan bahawa permainan yo-yo adalah sejenis sukan perlawanan juga menanam kesedaran kesukanan dan konsisten di kalangan pemain. Permainan yo-yo adalah cara terbaik untuk berseronok terutama kanak-kanak dan pelaburannya pun sedikit. Tetapi adalah penting untuk dinyatakan bahawa perlunya ada kawasan yang diperuntukkan di samping langkah keselamatan apabila bermain”.

Beliau berkata bermain yo-yo juga boleh memperbaiki prestasi akademi seseorang, apabila proses belajar dan berfikir itu dipertingkatkan semasa kedua-dua bahagian otak digunakan secara seimbang.

KESUKAAN KANAK-KANAK DAN DEWASA

Seseorang boleh memperkatakan bahawa kelebihan bermain yo-yo terletak kepada bagaimana mudah sekali dan seronok ia dimainkan, walaupun oleh mereka yang cemerkap.

Naib Presiden Kelab Yo-YO Malaysia, Raymond Thian, 25, menyatakan bahawa kepopularan yo-yo semakin meningkat, dan kelab yang berusia lima tahun itu kini mempunyai lebih 200 ahli berdaftar di seluruh negara, dengan 700 anggota internet yang aktif.

Ketika ditemui pada Kejohanan Yo-Yo Malaysia 2009 baru-baru ini anjuran M-Yo, Raymond berkata, “anggota termuda kami berusia empat tahun dan yang tertua ialah 50 tahun. Kami melihat minat yang ditunjukkan oleh kebanyakan mereka di sekolah rendah dan menengah. Bermain yo-yo ialah satu bentuk kemahiran yang boleh dipelajari dan dikuasai oleh sesiapa pun.”

Dengan kit permulaan yo-yo profesional yang berharga dari RM20, beliau menekankan bahawa permainan yo-yo adalah sukan yang mampu dan sihat bagi semua.

Bagi mereka yang ingin berbelanja besar bagi alat yo-yo ini, mereka boleh memilih untuk set yo-yo

profesional dan perlawanan, dan beberapa jenis yo-yo yang paling mahal pernah dihasilkan diperbuat daripada magnesium, silikon nitrit atau bahan eksotik yang boleh mencapai harga sehingga RM1,000.

Raymond, yang bekerja sebagai pereka grafik juga tidak melepaskan faedah yang diperoleh daripada bermain yo-yo.

“Untuk melakukan teknik daripada yang asas sehingga seperti “walk the dog’, ‘rock the baby’ dan ‘sky rocket’ memerlukan koordinasi untuk mengawal kelajuan dan daya yo-yo, dan perubahan pergerakan yang malahan menggabungkan unsur akrobatik.

“Kita memerlukan lebih banyak usaha untuk menggalakkan kanak-kanak dan remaja aktif dalam sukan itu, agar ia dihidupkan dan menjadi sukan aliran utama.”

SUKAN YANG DIYAKINI

Dilengkapi dengan sarung tangan berwarna putih, kasut merah yang berkilat dan yo-yo biru yang berkilau di tangan, Muhammad Shakeel Mohd Rose, 23, nampak tak tumpah sebagai bintang yo-yo, dan ia sememangnya pun.

Juara kategori Perseorangan A, ‘Off-String 4A’ dan ‘Counter-Weight 5A’ pada Kejohanan Yo-Yo Malaysia tahun ini, Shakeel juga menduduki tempat ketiga terbaik di peringkat Asia pada 2006 dan 2008.

Beliau akan mewakili Malaysia sekali lagi pada Kejohanan Yo-Yo Asia Pasifik yang akan berlangsung tahun ini di Singapura, yang mana pemenang berpeluang menyertai kejohanan Yo-Yo Dunia di Orlando, Florida, Amerika Syarikat pada tahun depan.

Beliau adalah pakar dalam teknik ‘off-string’ (tali tidak diikat secara langsung kepada gandar yo-yo, dilepaskan ke udara dan ditangkap semula dengan tali tersebut) dan ‘freehand tricks’ (yo-yo digunakan dengan satu ‘counterweight’ di satu lagi hujung tali dan bukannya dilekatkan kepada jari).

Shakeel, yang berlatih selama empat hingga lima jam sehari untuk beberapa bulan sebelum menguasai rutin kompleks, sering menambat hati para juri dengan teknik ‘electronic fan’ yang mana tali yo-yo tidak diikat di jari, sebaliknya digerakkan dengan dadu.

“Saya mula bermain yo-yo lapan tahun lepas dan ia benar-benar telah meningkatkan kemahiran teknik, kreativiti dan keseimbangan mental saya. Saya dapati mudah untuk memberi tumpuan terhadap kerja kerana saya bawanya ke pejabat. Ia adalah cara yang berkesan untuk berhadapan dengan tekanan”, katanya.

Dengan sentiasa tersenyum lebar setelah berjaya menghayun dan menangkap semula yo-yo, Timothy Kenneth Ming Hui Chong, 8, meletakkan permainan yo-yo sebagai sukan pilihannya bersama-sama bola sepak dan badminton.

“Saya gemar bermain yo-yo kerana ia memerlukan kemahiran. Saya telah bermain sejak empat bulan lepas dan ia melatih agar tangan saya bergerak pantas dan saya dapat mempelajari banyak teknik untuk ditunjukkan kepada rakan.”

Dengan teknik yang begitu banyak, pemain yo-yo amatur dan profesional di negara ini tidak akan melepaskan yo-yo kerana mereka berharap lebih ramai akan melihat permainan yo-yo sebagai sejenis sukan yang dinamik – untuk otak dan tenaga.

Sumber: http://www.bernama.com/bernama/v5/bm/newsfeatures.php?id=439072 

Posted in: Akhbar