Buta sejarah kerana bodoh sejarah?

Posted on September 5, 2009

0


Saya berkesempatan untuk mengikuti siri wacana ilmu berkenaan kontrak sosial yang dianjurkan oleh Kumpulan Prihatin di Hotel Shah Village, Petaling Jaya pada tahun lepas. Program sebegini sangat menarik dan penuh bermakna. Peserta yang mengikutinya terdiri daripada pelbagai lapangan baik profesor, ahli akademik, pejuang bahasa, wartawan, wakil NGO mahupun orang perseorangan dengan tujuan untuk menambah ilmu pengetahuan dan bertukar-tukar pandangan.

Sebaik usai pembentangan daripada panel yang dijemput, peserta diberikan ruang untuk memberikan komentar, pandangan atau idea. Terdapat sebilangan generasi lama, yakni yang lahir lingkungan sebelum dan semasa kemerdekaan negara seringkali menyalahkan generasi muda dengan melabel sebagai generasi buta sejarah.

Panas juga telinga saya yang mendengar provokasi sebegitu. Walau bagaimanapun, perkara ini disangkal oleh seorang pesara guru tahun 50-an. Katanya, “Masakan generasi muda hari ini buta sejarah sebab generasi lama pun bodoh sejarah!”

Saya sangat bersetuju dengan pandangan yang dikemukakan oleh beliau. Menyalahkan orang lain semata-mata tanpa menyatakan penyelesaian cuma mengeruhkan suasana sahaja. Generasi muda hari ini belajar dan memperolehi kefahaman sesuatu daripada generasi terdahulu. Bak kata pepatah, bagaimana acuan begitulah kuihnya.

Masih teringat lagi ketika saya belajar di sekolah, saya pernah bertanyakan guru tentang objektif satu perjanjian antarabangsa kerana penerangannya tiada di dalam buku teks dan buku rujukan. Sebaliknya jawapan yang diberikan cukup mudah, soalan yang awak tanya tiada kaitan dengan peperiksaan. Begitu juga keadaannya di dalam kuliah, saya pernah diminta untuk mengajar beberapa isu sejarah negara kepada kawan sekelas kerana pensyarahnya kurang membaca dan memahami sejarah negara.

Maafkan saya, barangkali saya menceritakan aib orang yang pernah mengajar saya tetapi cara yang ditunjukkan itu tidak menggambarkan langsung bahawa beliau merupakan seorang yang bekerjaya profesional. Jikalau keadaan sebeginilah menular secara berleluasa, tidak mustahil masa depan negara akan dibebani dengan kumpulan buta sejarah. Kita tidak mahu implikasi daripada pengguguran mata pelajaran Sejarah pada tahun 80-an menyebabkan lahirnya generasi yang buta sejarah dan tiada jati diri sehingga sanggup membakar bendera negara sendiri berlaku lagi.