Merdeka!

Posted on Ogos 31, 2009

0


دڠن نام الله يڠ مها ڤموره لاڬي مڠاسيهاني، سڬالا ڤوجي باڬي الله يڠ مها بركواس دان صلوات دان سلام ك اتس سكالين رسول-ڽ.

بهاواسڽ كران تله تيباله ماسڽ باڬي اومت ڤرسكوتوان تانه ملايو اين منچاڤأي تارف سواتو بڠسا يڠ مرديك لاڬي بردولت سام ستيمڤل كدودوكنڽ دڠن سڬالا بڠسا سلوروه دنيا.

دان بهاواسڽ كران دڠن ڤرجنجين يڠ دسبوت نامڽ ڤرجنجين تانه ملايو تاهون 1957 يڠ دڤربوات انتارا دولي يڠ مها مليا بڬيندا قوين دڠن دولي-دولي يڠ مها مليا راج-راج ملايو، مك، تله دڤرستوجوي بهاوا نڬري-نڬري ملايو، ايايت جوهر، ڤهڠ، نڬري سمبيلن، سلاڠور، قدح، ڤرليس، كلنتن، ترڠڬانو، دان ڤراق سرتا نڬري يڠ دهولوڽ ديناماكن نڬري سلت، ايايت ملاك دان ڤولاو ڤينڠ، مولاي 31 هاري بولن اوڬوس تاهون 1957، هندقله منجادي سبواه ڤرسكوتوان بهارو باڬي نڬري-نڬري يڠ برنام ڤرسكوتوان تانه ملايو.

دان بهاواسڽ كران تله برستوجو ڤولا انتارا كدوا-دوا ڤيهق دالم ڤرجنجين ترسبوت، ايايت ملاك دان ڤولاو ڤينڠ هندقله درڤد تاريخ ترسبوت ايت تمت درڤد منجادي سباهاڬين درڤد ججاهن تعلوق بڬيندا قوين، دان دولي يڠ مها مليا بڬيندا قوين تيدق لاڬي برحق منجالنكن اڤا٢ كدولتن بڬيندا ك اتس كدوا-دوا بواه نڬري يڠ ترسبوت ايت.

دان بهاواسڽ كران تله برستوجو ڤولا انتارا كدوا-دوا ڤيهق يڠ ترسبوت، ايايت ڤرجنجين ڤرسكوتوان تانه ملايو تاهون 1948، دان سڬالا ڤرانجين يڠ لاين يڠ اد سكارڠ انتارا دولي يڠ مها مليا بڬيندا قوين دڠن دولي-دولي يڠ مها مليا راج-راج اتاوڤون ساله سأورڠ درڤد بڬيندا ايت سبلوم تاريخ يڠ ترسبوت هندقله دبطلكن مولاي درڤد تاريخ ايت، دان سموا كوات كواس دان حق دولي يڠ مها مليا بڬيندا قوين اتاوڤون ڤرليمين نڬري اونيتد كيڠدوم دالم نڬري-نڬري سلت اتاوڤون ڤرسكوتوان تانه ملايو سلوروهنڽ اداله تمت دڠن سنديريڽ.

دان بهاواسڽ كران دولي يڠ مها مليا بڬيندا قوين، دولي-دولي يڠ مها مليا راج-راج ملايو، ڤرليمين نڬري اونيتد كيڠدوم دان مجليس-مجليس اوندڠن ڤرسكوتوان دان نڬري-نڬري ملايو تله ملولوسكنڽ، ڤرجنجين ڤرسكوتوان تانه ملايو تاهون 1957 ايت برجالن كوات كواساڽ.

دان بهاواسڽ كران سواتو ڤرلمباڬان باڬي كراجأن ڤرسكوتوان تانه ملايو تله دتنتوكن منجادي سواتو كانون يڠ معتمد باڬيڽ.

دان بهاواسڽ كران ڤرلمباڬان ڤرسكوتوان يڠ ترسبوت ايت، مك، اد دسدياكن شرط اونتوق منجاڬ كسلامتن حق-حق دان كاوتامأن دولي-دولي يڠ مها مليا راج-راج سرتا حق-حق اساسي دان كبيبسن سكالين رعيت دان اونتوق مماجوكن ڤرسكوتوان تانه ملايو دڠن امان دان داماي سرتا تراتور سباڬاي سبواه كراجأن يڠ ممڤوڽاءي راج يڠ برڤرلمباڬان يڠ برداسركن ديموكراسي چارا ڤرليمين.

دان بهاواسڽ كران ڤرلمباڬان ڤرسكوتوان يڠ داداكن اوليه مجليس اوندڠن ڤرسكوتوان يڠ ترسبوت ايت تله دلولوسكن اوليه سواتو اوندڠ-اوندڠ يڠ داداكه اوليه مجليس اوندڠن ڤرسكوتوان سرتا دڠن اوندڠ-اوندڠ يڠ داداكن اوليه نڬري-نڬري ملايو دان دڠن كتتڤن-كتتڤن دالم مجليس اوندڠن نڬري ملاك دان ڤولاو ڤينڠ، دڠن دمكين ڤرلمباڬان ايت تله برجالن كوات كواساڽ ڤد 31 هاري بولن اوڬوس تاهون 1957.

مك، دڠن نام الله يڠ مها ڤموره لاڬي مها مڠاسيهاني، ساي تونكو عبدالرحمن ڤوترا ابن المرحوم سلطان عبدالحميد حاليم شه، ڤردان منتري باڬي ڤرسكوتوان تانه ملايو، دڠن ڤرستوجوان دان ڤركنن دولي-دولي يڠ مها مليا راج-راج نڬري-نڬري ملايو دڠن اين ممشهوركن دان مڠيشتهاركن باڬي ڤيهق اومت ڤرسكوتوان تانه ملايو بهاوا مولاي تيڬ ڤولوه ساتو هاري بولن اوڬوس تاهون سريبو سمبيلن راتوس ليما ڤولوه توجوه، مك ڤرسكوتوان تانه ملايو يڠ مڠاندوڠي نڬري جوهر، ڤهڠ، نڬري سمبيلن، سلاڠور، قدح، ڤرليس، كلنتن، ترڠڬانو، ڤراق، ملاك دان ڤولاو ڤينڠ دڠن ليمڤه رحمة الله سبحانه وا تاءالا اكن ككال منجادي سبواه نڬارا يڠ مرديك دان بردولت سرتا برداسركن كبيبسن دان كعاديلن دان سنتياس منجاڬ دان مڠوتاماكن كسجهترأن دان كسنتوسان رعيتڽ دان مڠكلكن كامانن انتارا سڬالا بڠسا.

Pengisytiharan Kemerdekaan ini dibacakan oleh Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj sebelum melaungkan “Merdeka” sebanyak 7 kali. Antara intipati yang harus diberi perhatian serius oleh seluruh rakyat Malaysia ialah:
Dan bahawasanya kerana suatu perlembagaan bagi kerajaan Persekutuan Tanah Melayu telah ditentukan menjadi suatu kanun yang muktamad baginya.

Dan bahawasanya kerana Perlembagaan Persekutuan yang tersebut itu, maka, ada disediakan syarat untuk menjaga keselamatan hak-hak dan keutamaan Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja serta hak-hak asasi dan kebebasan sekalian rakyat dan untuk memajukan Persekutuan Tanah Melayu dengan aman dan damai serta teratur sebagai sebuah kerajaan yang mempunyai Raja yang Berperlembagaan yang berdasarkan demokrasi cara Parlimen.

Dan bahawasanya kerana Perlembagaan Persekutuan yang diadakan oleh Majlis Undangan Persekutuan yang tersebut itu telah diluluskan oleh suatu undang-undang yang diadakah oleh Majlis Undangan Persekutuan serta dengan undang-undang yang diadakan oleh negeri-negeri Melayu dan dengan ketetapan-ketetapan dalam Majlis Undangan Negeri Melaka dan Pulau Pinang, dengan demikian Perlembagaan itu telah berjalan kuat kuasanya pada 31 hari bulan Ogos tahun 1957.

Maka, dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani, saya Tunku Abdul Rahman Putra ibni Almarhum Sultan Abdul Hamid Halim Shah, Perdana Menteri bagi Persekutuan Tanah Melayu, dengan persetujuan dan perkenan Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja negeri-Negeri Melayu dengan ini memasyhurkan dan mengisytiharkan bagi pihak umat Persekutuan Tanah Melayu bahawa mulai Tiga Puluh Satu hari bulan Ogos Tahun Seribu Sembilan Ratus Lima Puluh Tujuh, maka Persekutuan Tanah Melayu yang mengandungi Negeri Johor, Pahang, Negeri Sembilan, Selangor, Kedah, Perlis, Kelantan, Terengganu, Perak, Melaka dan Pulau Pinang dengan limpah rahmat Allah subhanahu wa ta’ala akan kekal menjadi sebuah negara yang merdeka dan berdaulat serta berdasarkan kebebasan dan keadilan dan sentiasa menjaga dan mengutamakan kesejahteraan dan kesentosaan rakyatnya dan mengekalkan keamanan antara segala bangsa.

Seringkali kita mengetahui tentang Perlembagaan Persekutuan Malaysia tetapi kurang mengerti perkara yang tersirat yang cuba disampaikan kepada warganegaranya. Bilamana perkara ini berlaku, seringkali pihak-pihak tertentu cuba mengambil kesempatan, bertindak melampaui batasan dan cuba memanipulasikan sesuatu ketetapan sebagaimana yang terkandung dalam Perlembagaan. Lebih malang lagi, yang melakukannya terdiri daripada golongan berpendidikan tinggi, berkedudukan dan bukan calang-calang orangnya.

Mempolemikkan Perkara 3 (Islam sebagai agama Persekutuan), Perkara 5 (Kebebasan diri), Perkara 11 (Kebebasan agama), Perkara 152 (Bahasa kebangsaan), dan Perkara 153 (Hak-hak istimewa orang Melayu) memberikan satu gambaran yang kurang sihat dan boleh menjadi ancaman kepada negara. Perkara-perkara yang terkandung dalam Perlembagaan merupakan kesinambungan daripada Kontrak Sosial yang telah dimeterai dengan persetujuan bersama daripada kepemimpinan terdahulu. Seharusnya kita perlu menerima dengan berlapang dada dan cuba menghayatinya dengan sebaik yang mungkin. Jikalau tidak bersetuju, masakan kita akan memperolehi nikmatnya pada hari ini?

Semua pihak perlulah memahami dengan baik tentang Kontrak Sosial yang telah dipersetujui oleh  kepemimpinan ketiga-tiga kaum utama, iaitu Melayu, Cina dan India di Tanah Melayu pada ketika itu. Berlakunya konsep tolak ansur, penerimaan, pengorbanan dan persetujuan daripada kaum Melayu kepada kaum pendatang Cina dan India untuk membina sebuah negara bangsa. Orang Melayu telah berkorban dengan memberikan hak kewarganegaraan kepada orang Cina dan India manakala orang Cina dan India bersetuju untuk memberikan hak-hak istimewa kepada orang Melayu dan bumiputera (Sabah dan Sarawak).

Dalam hal ini, belum ada mana-mana negara di dunia ini sanggup memberikan kerakyatannya kepada orang luar dengan hati terbuka. Apatah lagi, orang Melayu turut memberikan keistimewaan kepada bukan Melayu untuk terus mengamalkan agama, budaya dan bahasa masing-masing, sistem pendidikan tersendiri selain pendidikan kebangsaan, hak untuk berpolitik dan menubuhkan parti politik, peluang ekonomi dan lain-lain lagi yang seumpama dengannya. Impaknya sangat besar terhadap pengorbanan dan  tolak ansur orang Melayu untuk berkongsi hak yang sama dengan orang lain.

Oleh yang demikian, janganlah bukan Melayu cuba meminta yang bukan-bukan atau cuba menafikan hak yang sudah termaktub kepada orang Melayu dan bumiputera. Sebagai contohnya, kuota untuk kemasukan perkhidmatan awam, biasiswa dan pendidikan awam kepada orang Melayu dan bumiputera, bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan, Islam sebagai agama rasmi Persekutuan, tulisan jawi dan sebagainya. Saya kira, golongan yang cuba menafikan perkara-perkara dalam Perlembagaan ini umpama meludah ke langit, akhirnya jatuh ke atas muka sendiri.

Selain daripada itu, isu-isu sensitiviti yang bersifat perkauman jangan cuba-cuba disentuh oleh mana-mana pihak. Isu-isu seperti membawa kepala lembu semasa bantahan pembinaan kuil di Shah Alam, tuntutan kuota dalam perkhidmatan awam, tulisan jawi pada papan tanda jalan, HINDRAF, kes Kampung Medan dan Tragedi 13 Mei 1969 akan membakar dan menyemarakkan lagi semangat setiap kaum yang terlibat umpama api makan sekam. Seharusnya ketika kita menyambut kemerdekaan yang ke-52, kita perlu bijak dan matang dalam menangani isu perkauman. Janganlah hanya melihat perbedaan semata-mata tetapi cubalah untuk menerima seadanya dan mencari titik-titik persamaan sesama kita.

Ahli politik pula diseru supaya tidak mempolemikkan sesuatu isu untuk kepentingan tertentu. Tindak-tanduk yang ditonjolkan di Parlimen dengan bahasa kesat bercanggah sama sekali dengan prinsip kesopanan dan kesusilaan dalam Rukun Negara. Timbul kekesalan di hati rakyat yang telah memberikan harapan dan kepercayaan mereka kepada ahli yang dipilih untuk membawa suara rakyat di Parlimen tetapi rupa-rupanya lebih suka bercakap kosong dan bertekak tanpa sebarang hujah dan fakta. Saya merasakan debat IPT lebih baik daripada debat di Parlimen. Maafkan saya jika keterlaluan tetapi inilah realiti yang berlaku.

Lebih menjengkelkan lagi, kuasa eksekutif cuba campur tangan dalam bidang kuasa legistatif seperti kes sebat Kartika dan penentuan status agama anak. Selain itu, dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) yang diputuskan sejak tahun 2003 bercanggah sama sekali dengan Perkara 152. Hal ini memberikan gambaran negatif masyarakat terhadap kepemimpinan negara. Bagaimana perkara ini masih berlaku? Walhal kita ada undang-undang dan saluran tertentu untuk menyelesaikannya. Kita mengharapkan supaya semua ahli politik senantiasa peka dengan Perlembagaan dan undang-undang, bukan tindakan semborono dan membuta tuli. Mereka perlu bertegas sekiranya dasar yang dibuat bercanggah dengan Perlembagaan dan undang-undang.

Akhir kata, George Santayana ada menyatakan bahawa orang yang lupa akan sejarah pasti akan mengulanginya. Oleh itu, marilah sama-sama kita memahami, menghayati dan menginsafi sejarah negara sebaik yang mungkin. Jikalau tidak, bagaimana kita mahu mencapai cita-cita yang terkandung dalam perenggan terakhir Pengisytiharan Kemerdekaan?