Al Fatihah untuk Allahyarham Senator Prof Datuk Dr Ismail Md Salleh

Posted on Ogos 28, 2009

0


Takziah diucapkan kepada ahli keluarga Senator Prof Datuk Dr Ismail Md Salleh. Pastinya negara kehilangan seorang tokoh yang cukup hebat dalam menyumbang khidmat baktinya kepada negara sekalipun tuna penglihatan. Semangat yang ditonjolkan oleh beliau dalam menuntut ilmu seharusnya menjadi contoh kepada generasi muda. Kejayaan yang dikecapi harus dijadikan suri teladan khususnya golongan kurang upaya.

Kesempatan ini, saya muatkan kisah hidup beliau sebagai tatapan buat semua.

JEJAK-JEJAK JAYA PROF DATUK DR ISMAIL MD SALLEH
Oleh:  Norhashimah Hashim
Sumber: Siapa Bersama Mereka (Majlis Kebangsaan Bagi Orang Buta Malaysia)

BUKAN senang untuk menjadi seperti dia — dia yang sentiasa peka terhadap naik turun nilai mata wang dan keadaan pasaran saham; dia yang tidak pernah kenal erti jemu membuat kajian ini dan penyelidikan itu; dia yang sering terlibat dalam penggubalan dasar ini dan polisi itu.  Dalam kesibukannya berlumba dengan masa untuk menyiapkan laporan ini dan menyediakan kertas kerja itu, dia tetap tidak mengabaikan tanggungjawabnya sebagai pensyarah yang mendidik bakal-bakal korporat dan teknokrat negara. Dia tidak alpa dari tanggungjawabnya sebagai seorang suami dan seorang ayah.

Ismail Salleh telah dilahirkan dalam keadaan cacat penglihatan pada 2 September 1947 di Pasir Mas, Kelantan. Meskipun lahir tanpa satu indera, anak ini dilayan sama rata oleh ibu bapanya sepertimana lapan adik beradiknya yang lain. Seperti kanak-kanak lain, dia juga dapat mengecap nikmat lari berkejaran ke sana sini dan bermain dengan rakan-rakannya.

Sejak kecil lagi, anak ini sudah menunjukkan kecenderungannya untuk belajar. Setelah abangnya mula bersekolah, dia akan menyambut kepulangan abangnya saban hari dan bertanya apa yang dipelajari di sekolah. Ibu bapanya juga menitikberatkan pendidikan anak-anak meskipun keadaan ekonomi mereka tidak begitu memberangsangkan ketika itu. Justeru, mereka ingin melihat Ismail melangkah ke sekolah seperti anak-anak mereka yang lain.

Dengan tidak semena-mena, satu pameran kraf tangan telah diadakan di Sekolah Kebangsaan Salor, Pasir Mas. Daripada pameran itulah ibu bapa Ismail mendapat tahu mengenai Sekolah Princess Elizabeth untuk kanak-kanak cacat penglihatan di Johor Bahru. Lalu, mereka mula membuat persiapan untuk menghantar anak mereka ke sana. Hasrat murni mereka mulanya ditentang oleh orang-orang kampung. Namun, mereka
tetap nekad untuk menghantar anak mereka ke sekolah khas itu. Mereka rela berpisah dengan anak mereka demi masa depan anak itu sendiri.

Keadaan di Sekolah Princess Ellizabeth ketika itu teramat daif. Tidak ada bahan bacaan Braille. Masa mereka dalam bilik darjah banyak dihabiskan dengan mendengar guru-guru mereka membaca buku-buku cerita. Ini diselang-seli dengan menghafal sifir.

Di luar waktu persekolahan, Ismail dan rakan-rakannya dilatih untuk berdikari. Mereka diajar kemahiran pengurusan diri seperti membasuh dan melipat pakaian, mengemas almari dan tempat tidur dan mengemas meja makan. Pada hari minggu, mereka diajar kemahiran asas di dapur seperti memotong dan membersihkan sayur-sayuran, mengopek udang dan kerang dan sebagainya. Pada hujung minggu juga murid-murid sekolah ini diajar mobiliti. Mereka dilatih untuk memahirkan diri dengan penggunaan tongkat putih di kawasan berhampiran sekolah mereka.

Selain aspek akademik dan pengurusan diri, sekolah ini turut memberi penekanan kepada pengajian Al-Quran dan fardu ain.  Kelas-kelas agama ini diadakan pada waktu petang.

Sewaktu berada di darjah tiga, barulah bahan bacaan Braille mula bertambah.  Buku-buku itu dibekalkan oleh Persatuan Bagi Orang-orang Buta Malaysia.  Mulai darjah tiga juga, Ismail mula terserlah dalam bidang akademik.  Dia sentiasa mendapat tempat pertama dalam kelas setiap kali peperiksaan penggal dijalankan.  Pelajaran yang paling diminatinya ialah matematik dan sejarah. 

Pada tahun 1962, Ismail menduduki peperiksaan Malaysian Secondary School Entrance Examination dan memperoleh gred A.  Dia meneruskan pengajiannya ke peringkat menengah di Sultan Ismail College, Kota baru pada tahun berikutnya.  Sekolah ini merupakan sekolah berprestij yang ternama di Kelantan dan di Malaysia ketika itu.  Pelajar yang terpilih untuk memasuki sekolah ini bukan calang-calang.  Mereka harus
terampil dalam bidang akademik dan kokurikulum. 

Ini merupakan titik peralihan dalam hidup Ismail.  Kalau sebelum ini, dia belajar dan tinggal seasrama dengan rakan-rakan senasibnya, kini dia sekelas dan seasrama dengan rakan-rakan yang sempurna pancaindera. Kalau di sekolah rendah dia melakukan kerja-kerja membasuh dan mengemas di bawah seliaan guru-guru dan kakak-kakak pengasuh, kini, dia melakukan semua itu tanpa seliaan sesiapa. 

Oleh kerana Ismail merupakan pelajar cacat penglihatan pertama di sekolah tersebut, masalah utama yang terpaksa didepaninya ialah masalah tidak ada bahan bacaan Braille. Oleh yang demikian, dengan bantuan rakan-rakan, dia terpaksa menyalin buku-buku teksnya sendiri di sebelah petang.  Dia juga terpaksa menaip kerja rumahnya dengan menggunakan mesin taip biasa untuk disemak oleh guru-guru yang mengajar di dalam
kelas.

Dalam pada itupun, prestasi Ismail terus meningkat.  Sewaktu di tingkatan satu, dia telah memenangi tempat pertama dalam Peraduan Menulis Esei Peringkat Kebangsaan kategori sekolah menengah sempena Minggu Orang-orang Cacat.  Satu lagi hal yang membanggakan ialah dia berjaya mengatasi rakan-rakannya yang normal dalam setiap peperiksaan semasa di tingkatan empat dan lima.  Ini seterusnya membolehkan Ismail
merangkul Pingat “The Best Ismaililian in Academic” pada tahun 1967.  

Mulanya, Ismail bercita-cita untuk menjadi seorang peguam.  Ini bertolak daripada minatnya yang mendalam dalam pelajaran sejarah.  Benih cita-cita itu semakin bercambah apabila gurunya Encik Ong Theam Lye kerap membacakan bahan-bahan perundangan untuknya.

Setelah meraih keputusan cemerlang dalam Malaysian Certificate of Examination, Ismail dan seorang temannya telah merintis jalan untuk ke tingkatan enam rendah di St. John Institution, Kuala Lumpur.  Ini menjadi mungkin setelah salah seorang gurunya iaitu Encik Raymond Hall menulis surat rayuan kepada Kementerian Pelajaran.  Oleh kerana sekolah barunya tidak mempunyai asrama, Ismail tinggal di asrama Sekolah Tinggi Setapak dan berulang-alik ke sekolah dengan menaiki bas.  Bahan bacaan bukan lagi masalah yang serius di sekolah ini kerana ia boleh didapati dari luar negara.

Ketika di tingkatan enam inilah dia diperkenalkan dengan pelajaran ekonomi.  Dia terus meminati pelajaran itu.  Penguasaan matematiknya yang mantap merupakan satu faktor yang menambahkan daya penarik terhadap pelajaran tersebut. 

Pada tahun 1969, Ismail telah menduduki peperiksaan Higher School Certificate. Keputusan yang diperoleh beberapa bulan kemudiannya telah melayakkan Ismail untuk mendapat tawaran biasiswa MARA bagi melanjutkan pengajian dalam bidang sains politik dan ekonomi di State University of New York.  Dalam sesi temuduga, Encik Wahab Alwi salah seorang panel penemuduga telah meyakinkan ahli-ahli panel yang lain mengenai keupayaan anak muda ini.  Encik Wahab berpandangan positif terhadap Ismail kerana dia sendiri pernah diajar oleh seorang profesor cacat penglihatan semasa menuntut di Australia.  Berikutan dengan itu, MARA terus menghubungi Kedutaan Amerika bagi menguruskan kemasukan Ismail ke universiti di negara tersebut.

Maka, pada tahun 1970, berangkatlah pemuda yang bersemangat waja ini ke Amerika. Salah seorang penuntut Malaysia yang ikut berangkat bersamanya ialah Siti Zaharah Sulaiman yang kemudiannya menjadi rakan baik dan pembaca sukarelanuya.

Ismail tinggal di Hall of Residence sehinggalah dia menemui keluarga angkat yang luhur pekerti.  Seorang pegawai pemulihan telah mengajar Ismail mobiliti di sekitar kampus.  

Proses pembelajaran seorang mahasiswa cacat penglihatan di Amerika agak mudah.  Terdapat ramai sukarelawan yang menyediakan bahan-bahan bacaan dalam bentuk rakaman dan bentuk braille.  Lingkungan pergaulan Ismail juga semakin luas.  Dia pernah ikut serta dengan kawan-kawannya dalam kembara ke Kanada dan Niagara pada hari cuti. 
     
Pada tahun 1973, Ismail melanjutkan pengajiannya ke peringkat sarjana di University of Illinois dan memilih pengkhususan dalam bidang pembiayaan awam di bawah bimbingan Prof. Dr John Due, salah seorang pensyarah terkemuka ketika itu.  Di Illinois, Ismail menyewa sebuah apartmen.  Dia perlu berjalan kaki selama lima belas minit untuk pergi balik ke kampus.  

Di universiti ini, Ismail telah berkenalan dengan rakan-rakan dari Universiti Kebangsaan Malaysia.  Mereka telah menganjurkan dia memohon jawatan pensyarah di universiti berkenaan.  Meski memiliki kelayakan yang diperlukan, laluannya untuk menjadi pensyarah tidak mudah.  Dekan Fakulti Ekonomi iaitu Datuk Dr Halim Ismail mengambil masa kira-kira setahun untuk meyakinkan pihak pengurusan universiti tersebut.

Ismail meneruskan lagi kembara ilmunya ke peringkat doktor falsafah di universiti yang sama selama tiga tahun.  Dia memilih bidang pencukaian sebagai pengkhususannya. Dalam usaha menyiapkan tesisnya, dia telah dibantu oleh rakan-rakan sekelasnya sewaktu di tingkatan enam.  Mereka termasuk Tan Sri Raymond Navaratnam yang bertugas di Perbendaharaan Negara. 

Ismail telah pulang ke tanah air pada tahun 1977 setelah menamatkan pengajiannya. Dia telah mendapat anugerah Guiness Book of Record kerana merupakan orang cacat penglihatan pertama di Malaysia yang mendapat ijazah Doktor Falsafah.

Dia memulakan tugasnya sebagai pensyarah  Jabatan Ekonomi Analisa Universiti Kebangsaan Malaysia.  Universiti berkenaan juga telah menggaji abangnya untuk membantu menyediakan rajah bagi melicinkan proses pengajarannya di dewan kuliah. 

Kejayaan dan kepulangan Ismail ke Malaysia telah mendapat liputan meluas di dalam media cetak dan media elektronik.  Kecemerlangannya telah mencelikkan hati orang ramai.  Sekaligus, berita-berita itu juga telah memberi perangsang kepada pelajar cacat penglihatan untuk melipatgandakan usaha mereka.  

Dengan memiliki kelulusan sahaja tidak cukup untuk membuktikan kepada rakan-rakan sejawat bahawa pensyarah cacat penglihatan setanding dengan mereka dalam segenap hal.  Situasi sedemikian tidak sekali-kali mematahkan semangat Ismail.  Dia menjalani kehidupan rutin seorang pensyarah dengan mengajar di samping aktif membuat kajian dan penyelidikan.  Susah payahnya membuahkan hasil yang memberangsangkan.

Pada tahun 1982, dia telah dilantik sebagai Ketua Jabatan Ekonomi Analisa selepas memangku jawatan tersebut selama setahun.  Pada tahun yang sama, dia telah mendapat profesor madya.  

Sememangnya Ismail bersyukur di atas nikmat kejayaan yang telah dikecapinya.  Namun, langkahnya tidak terhenti di situ sahaja.  Dia terus memburu peningkatan dalam hidup.  Dia bermati-matian memperlengkapkan diri untuk mendapat profesor pula yang sepatutnya sudah menjadi miliknya dua tahun kemudian jika dinilai kuantiti dan kualiti hasil kajiannya.    

Pada tahun 1985, Ismail menghabiskan cuti sabatikalnya di Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa (ISIS).  Setelah tempoh sabatikalnya tamat, dia ditawarkan untuk berkhidmat di sana.  Tun Hussein Onn yang ketika itu merupakan pengerusi institut berkenaan, telah menulis surat meminta perlepasan kontrak Ismail daripada Universiti Kebangsaan Malaysia.  Permohonan tersebut tidak diluluskan.  Bagaimanapun, dia dibenarkan menjadi pensyarah sambilan di ISIS.  Pada tahun 1990, dia telah meletak jawatan di
Universiti Kebangsaan dengan mengorbankan peluang untuk mendapat pencen dan dengan  menolak pelawaan untuk memohon jawatan profesor.  Dia kemudiannya berkhidmat sepenuh masa dengan ISIS. 
 
Di ISIS, Ismail terlibat secara langsung dalam menyediakan dasar-dasar kerajaan termasuk pembentukan Kawasan Konsep Pertumbuhan Segitiga (EAEC) dan Wawasan 2020.  Dia ikut terlibat dalam perancangan pelan strategik beberapa buah negeri.  Seterusnya, dia telah dilantik oleh Perdana Menteri sebagai Timbalan Ketua Pengarah ISIS.  Dia turut mengetuai Secretariet Malaysian Business Business Council yang
dipengerusikan oleh Perdana Menteri.

Pada bulan Julai 1994, Ismail cuba mengalih sedikit haluan hidupnya dengan menceburi bidang perniagaan pendidikan.  Dia telah mengasaskan Twintech Institute of Technology kerana didorong oleh kekurangan tenaga kerja teknikal dan professional Melayu.  Institusi pendidikan ini telah bermula dengan 87 orang mahasiswa dan enam orang pensyarah.  Kini, institusi ini mempunyai 3500 orang penuntut dan 200 tenaga pengajar.  Pada bulan September 2003, institusi ini telah dinaikkan taraf menjadi sebuah kolej universiti.  Selaras dengan itu, kini dia merupakan Ketua Pegawai Eksekutif dan Naib Canselor International University College of Technology Twintech.  

Sepanjang kerjayanya sebagai pensyarah dan penyelidik, Ismail telah membuat banyak kajian yang antara lain merangkumi bidang-bidang seperti makroekonomi, penilaian semula projek, ekonomi industri dan pembahagian pendapatan dan hubungan etnik.  Berikutan dengan itu, dia telah menghasilkan lebih daripada 80 kertas kerja.  Selain itu, dia juga telah menghasilkan lebih daripada 20 buah buku sama ada secara perseorangan atau bersama pengkaji-pengkaji lain.  Antara buku-bukunya ialah The Privatisation of Public Enterprise : A Case Study of Malaysia, Privatization and Public Enterprise, A Review of The Price Subsidy Scheme For Padi dan Makroekonomi Untuk STPM.

Ismail turut menyumbang rencana berkaitan isu-isu ekonomi semasa dalam majalah dan akhbar.  Dia juga sering dijemput untuk memberi pandangan tentang belanjawan negara dan dasar-dasar ekonomi dalam rancangan-rancangan berupa diskusi dan forum yang disiarkan oleh stesen-stesen televisyen. 

Kegigihan dan kesungguhan pakar ekonomi ini telah diiktiraf di dalam negara dan di peringkat antarabangsa.  Ismail diberi kepercayaan untuk menganggotai Majlis Perundingan Ekonomi Nasional (MAPEN), Majlis Tindakan Ekonomi Nasional (MTEN) dan  Panel Penasihat Ekonomi Kelantan.  Dia juga adalah Presiden Persatuan Kebangsaan IPTS Bumiputera, Ahli Lembaga Pengarah KWSP dan Ahli Majlis Pendidikan Tinggi Kebangsaan.  Di samping itu, Ismail juga adalah Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Tenaga Nasional (YTN), Yayasan Kajian Strategi Melayu (YKSM), Yayasan Kebajikan Negara (YKN), Kompleks Penyayang Bakti, Jabatan Kebajikan Masyarakat Malaysia dan  Yayasan Amanah Pembinaan Insan (YAPI). Dia turut mendapat ijazah Doktor Persuratan daripada Irish International University pada tahun 2001. 

Pengetahuan, kepakaran dan pengalaman yang ada pada ahli ekonomi ini telah menyebabkan pihak-pihak tertentu tidak ragu-ragu untuk menerima khidmat perundingnya.  Ini termasuk Kerajaan Malaysia, Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Kerajaan Negeri Melaka, UNIDO, UNCTAD, PETRONAS, NOMURA, ESCAP, Bank Pembangunan Asia dan Bank Dunia.

Kejayaan yang telah diraih oleh pakar ekonomi ini telah melayakkannya mendapat beberapa pingat dan anugerah.  Antara pingat yang telah dikurniakan kepadanya ialah Pingat Johan Setia Mahkota dan Pingat Panglima Jasa Negara daripada Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong.  Selain itu, dia turut dikurniakan Pingat Kepujian Tertinggi daripada Tuan Yang Terutama Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang. Ismail juga pernah terpilih sebagai Tokoh Kebangsaan Orang Kurang Upaya.

Meskipun intelek ekonomi ini telah gah namanya ke mana-mana, dia tidak pernah melupakan rakan-rakan senasibnya.  Dia adalah Presiden Persatuan Bagi Orang-orang Buta Malaysia dan Pengerusi Hospital Mata Tun Hussein Onn.  Dia juga tidak keberatan menerima jemputan Majlis Kebangsaan Orang-orang Buta Malaysia untuk memberi ceramah atau membentang kertas kerja dalam seminar atau forum yang dianjurkan. Dalam majlis-majlis seperti ini, dia akan memperturunkan tips-tips penting kepada pelajar cacat penglihatan dan rakan-rakan senasibnya untuk berjaya dalam hidup.

Di samping itu, dari semasa ke semasa, dia akan berunding dan menghantar kertas cadangan kepada kerajaan bagi menyarankan pemberian insentif tertentu kepada mereka yang kurang upaya untuk meningkatkan taraf hidup mereka.  Insentif itu tidak terbatas kepada bantuan kewangan semata-mata.  Sebaliknya, ia turut merangkumi bantuan dalam bentuk peralatan yang dapat mempermudah proses pembelajaran penuntut cacat penglihatan di sekolah dan institusi pendidikan tinggi.  Kemudahan dalam bentuk peralatan juga dapat mempertingkat kualiti kerja petugas cacat penglihatan di pejabat.  

Dalam kesibukan bergelut dengan tugas-tugas seharian dan kerja-kerja sukarela, Ismail memastikan tanggungjawabnya sebagai ketua keluarga dijalankan sesempurna mungkin.  Rumahtangga yang didirikan pada tahun 1982 tambah bermakna dengan kelahiran tiga orang putera dan tiga orang puteri yang kini berusia antara lapan hingga 21 tahun.  Meski hampir saban hari dia bertolak ke pejabat bersama matahari dan pulang semula ke rumah bersama bulan, kasih sayangnya terhadap anak-anak tetap melimpah ruah.  Dia kerap menelefon mereka dari pejabat atau ketika sedang dalam perjalanan menuju ke mana-mana. 

Demikianlah rentetan kisah hidup seorang insan yang begitu tabah tatkala berdepan dengan cabaran dan rintangan sewaktu meniti denai-denai kehidupan bersama mereka yang sempurna pancaindera. Dalam pada itu, dia lebih senang kejayaannya dikaitkan dengan sumbangan profesionalnya; bukan dikaitkan dengan kecacatannya. Apapun, Ismail telah membuktikan bahawa orang kurang upaya boleh berjaya selama mana mereka diberi peluang dan kepercayaan untuk menunjukkan potensi dan kebolehan mereka.

Posted in: Sejarah, Tokoh