Pernyataan Agenda Melayu Kumpulan Prihatin

Posted on Julai 25, 2009

0


Kami, orang perseorangan dan persatuan-persatuan di bawah Kumpulan Prihatin menaruh kepercayaan terhadap pimpinan Datuk Seri sebagai Perdana Menteri Malaysia bagi mempertahankan dan meneruskan agenda Melayu. Kami adalah sebahagian daripada orang-orang yang sentiasa memikirkan isu survival orang Melayu. Dan kami menaruh kepercayaan yang Datuk Seri akan memahami dan memberi perhatian kepada pandangan dan usul kami. Demi itu, izinkan kami mengemukakan tujuh usul utama.

1. Perpaduan Orang Melayu
Perpaduan bangsa Melayu Islam semakin berpecah. Oleh sebab kelompok-kelompok Melayu tidak bersatu, maka tiadalah hala tuju yang sama dan berfokus dalam membina bangsa Melayu bagi menghadapi perkembangan dan cabaran semasa dan akan datang, baik dalam bidang ekonomi, pendidikan, sosial, kebudayaan dan sebagainya. Keadaan ini merugikan bangsa Melayu. Sekiranya tidak diatasi segera, maka bangsa Melayu akan terus tertinggal berbanding dengan kaum-kaum lain. Sementara bangsa Melayu berpecah, kaum-kaum lain ternyata meningkatkan usaha perpaduan sesama mereka sehingga mereka dapat menumpukan perhatian kepada upaya memperkuat kaum mereka dalam segenap bidang.

USUL: Kami mengusulkan supaya segala langkah positif diambil bagi menyatukan orang-orang Melayu, sekalipun daripada fahaman yang berlainan.

2. Kontrak Sosial Masyarakat Malaysia dan Perpaduan Nasional
Apabila Malaya lahir sebagai sebuah negara merdeka, orang Melayu melepaskan sebahagian daripada hak mereka dan kaum pendatang berjanji akan menerima syarat-syarat bagi menjadi rakyat Malaya dan kini Malaysia. Perjanjian ini semakin dilupakan. Dan nasib orang Melayu semakin terdesak. Misalnya, MRSM dibina untuk orang Melayu, dan sekarang menteri Melayu memberi 10% tempat orang Melayu kepada pelajar Cina, dll.

USUL: Kami mengusulkan supaya hak orang Melayu tidak diberikan kepada orang bukan Melayu demi Kontrak Sosial yang telah dijalin.

3. Bahasa Melayu Sebagai Bahasa Pengantar Pendidikan.
Memandangkan bahasa Melayu sudah berjaya menghasilkan graduan dalam pelbagai bidang selama ini, dengan tidak memperlihatkan sebarang masalah. Dan menyedari hakikat bahawa pengajaran sains dan matematik dalam bahasa Inggeris semakin mendedahkan kepincangan sekalipun pihak Kementerian Pendidikan mengata-ngatakan segala-galanya berjalan baik, maka perkara ini perlu diberi perhatian segera. Dan, kami menyedari pelajar Melayu di sekolah-sekolah luar bandar semakin menghadapi masalah. Perkara ini perlu diberi perhatian segera, sebelum satu generasi pelajar Melayu menjadi mangsa.

USUL: Kami mengusulkan supaya fungsi bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar dikekalkan bagi semua mata pelajaran dan peringkat pendidikan.

4. Bahasa Melayu Sebagai Bahasa Pentadbiran
Sejak merdeka, bahasa Melayu menjadi bahasa pentadbiran sepenuhnya. Kini sudah mula ramai yang biadab terhadap dasar negara. Tindakan mengembalikan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar sains dan matematik melonggarkan kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa pentadbiran. Bahasa Inggeris mula digunakan dalam komunikasi, mesyuarat bahkan dalam TV1.

USUL: Kami mengusulkan supaya kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa pentadbiran tidak dikompromi.

5. Dasar Pembanguan Ekonomi Nasional
Dasar Pembangunan Negara sebagai lanjutan Dasar Ekonomi Baru masih belum meyakinkan akan dapat meletakkan bangsa Melayu seiring dengan kaum-kaum lain sekiranya pelaksanaannya tidak dijuruskan kepada penyeimbangan ekonomi Melayu dan Bumiputera dengan bukan Melayu. Masih terdapat jurang besar antara kedudukan ekonomi Melayu dan bukan Melayu. Adalah juga diperhatikan bahawa bilangan graduan Melayu yang menganggur semakin bertambah apabila pekerjaan dalam sektor kerajaan sudah tepu. Kekurangan graduan bukan Melayu menganggur adalah disebabkan oleh adanya bilangan industri kecil dan sederhana kepunyaan bukan Melayu yang banyak dan dapat menampung graduan menganggur tersebut.

USUL: Kami mengusulkan supaya usaha pembangunan ekonomi orang Melayu diberi perhatian serius bagi membina ramai orang Melayu sebagai usahawan, dan tidak kepada menghasilkan segolongan kecil jutawan. Dalam pembanguna ekonomi, tekanan perlu diberi kepada melahirkan usahawan industri kecil dan sederhana.

6. Melantik Orang Melayu Melayu Yang Pakar Dalam Bidang Tertentu Menjadi Menteri Berkenaan.
Apabila kakitangan kerajaan gred A ke atas tidak dibenarkan aktif dalam politik, maka ahli parti yang memerintah sentiasa tandus pakar bidang. Oleh yang demikian, kami menerima rasional Datuk Seri melantik ahli pakar bidang perbankan menjadi Menteri Kewangan 2. Kami juga berpendapat, strategi ini digunakan sepenuhnya bagi melantik pakar ahli menerajui Kementerian tertentu demi kekuatan pemerintahan kerajaan Datuk Seri. Oleh itu:

USUL: Kami mengusulkan supaya seorang profesor sains Melayu dilantik menjadi Menteri Sains dan Teknologi. Ahli pakar dalam bidang lain seperti pertanian, komunikasi massa, budaya dan pendidikan juga dapat dilantik melalui kaedah yang sama.

7. Mengadakan Syura Apabila Membentuk Dasar yang Berkaitan dengan Kepentingan Orang Melayu.
Sudah menjadi amalan dalam pentadbiran kerajaan tidak mendapat pendapat dan sumbangan pakar masing-masing bidang. Bahkan, kebebasan individu menyampaikan pendapat dan pendirian yang berlainan disekat melalui beberapa surat pekeliling; yang paling jelas ialah ‘akur janji’.

USUL: Kami mengusulkan supaya pihak kerajaan mengadakan perundingan dengan kumpulan ahli dalam bidang masing-masing supaya maklumat dan pandangan mereka yang berwibawa dapat dikumpulkan bagi membantu kerajaan Dato’ Seri membuat keputusan. Sebarang arahan yang menyekat kebebasan individu perlu dibatalkan.

Yang benar,

  1. Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM)
  2. Persatuan Linguistik Malaysia (PLM)
  3. Persatuan Penterjemah Malaysia (PPM)
  4. Akademi Sains Islam Malaysia (ASASI)
  5. Persatuan Penulis Nasional (PENA)
  6. Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM)

Sumber: http://profabdullah1.wordpress.com/2009/07/25/pernyataan-agenda-melayu-kumpulan-prehatin/

Posted in: Uncategorized