“Bahasa Melayu” atau “Bahasa Malaysia”?

Posted on Jun 14, 2009

0


Polemik istilah “bahasa Melayu” atau “bahasa Malaysia” masih tiada kesudahan sehingga ke hari ini. Saya yakin dan percaya bahawa ramai dalam kalangan kita yang masih lagi dirundung perasaan keliru, was-was dan pening kepala terhadap isu ini. Yang mana satu agaknya sesuai untuk digunakan?

Sebenarnya, isu picisan ini telah lama dirungkaikan sejak kita mencapai kemerdekaan lagi. Cuma pihak yang ‘buta sejarah’ dan berkepentingan sahaja yang suka membolak-balikkan perkara ini.

Mudah sahaja untuk memahaminya. Semoga saudara dapat menekuninya dengan sebaik mungkin.

Perkara 152 dalam Perlembagaan merumuskan bahawa bahasa Melayu merupakan bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan. Perkara ini telah diwartakan oleh Yang di-Pertuan Agong pada 1 September 1967.[1]

Dalam konteks perundangan, penggunaan “bahasa Melayu” adalah lebih tepat. Sebaliknya, tidak ada pula dinyatakan dalam Perkara 152 tentang “bahasa Malaysia” atau bahasa Malaysia itulah merujuk kepada bahasa Melayu dan sebaliknya.

Oleh yang demikian, semua pihak harus akur bahawa bahasa Melayu merupakan bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan di Malaysia. Maka, tidak bolehlah sesuka hati menggunakan istilah “bahasa Malaysia”, menyamakan makna secara semantik bahasa Malaysia ialah bahasa Melayu atau sebaliknya dalam apa-apa jua acara, penulisan, dokumentasi, aktiviti dan sebagainya. Jelas?

Bahasa rasmi yang dimaksudkan di atas ialah setiap urusan surat-menyurat, bermesyuarat, berucap, pengantar pendidikan, persidangan di Parlimen dan lain-lain lagi yang seumpama dengannya mestilah menggunakan bahasa Melayu sebagai pengantaranya. Manakala bahasa kebangsaan pula ialah bahasa yang diguna pakai dengan tujuan untuk perpaduan; yakni berbual dengan kaum-kaum lain yang ada di Malaysia, berurus niaga dan sebagainya. Itulah yang cuba digambarkan dalam Akta Bahasa Kebangsaan. [2]

Walau bagaimanapun, kabinet telah memutuskan untuk menukar “bahasa Melayu” kepada “bahasa Malaysia” pada 4 Jun 2007. Kabinet mengarahkan supaya semua kementerian, universiti dan pusat pengajian tinggi supaya memaklumkan jabatan serta agensi berkaitan untuk menggunakan istilah “Bahasa Malaysia” dalam surat-menyurat, notis dan dokumen. Rasionalnya ialah untuk menanam semangat perpaduan dalam kalangan rakyat yang berbilang kaum.[3]

Persoalannya di sini, adakah kabinet boleh memutuskan perkara dalam Perlembagaan dalam mesyuarat sahaja? Bukankah perlu mendapat sekurang-kurangnya 2/3 majoriti di Parlimen dan mengikut prosedur yang betul untuk memindanya? (Sekiranya saudara kurang mencerap, silalah rujuk bahan bacaan seperti Sejarah Tingkatan 5).

Seterusnya, penggunaan “bahasa Malaysia” diyakini dapat menanam semangat perpaduan rakyat Malaysia yang berbilang kaum, agama dan budaya.

Bagaimana pula keadaan negara seperti England, Amerika, New Zealand, Australia dan Kanada? Adakah bahasa rasmi mereka, seperti yang kita ketahui ialah bahasa Inggeris, juga diubah kepada bahasa England, bahasa Amerika atau sebaliknya? Adakah bahasa Sepanyol dan bahasa Portugis juga diberi nama baharu di benua Amerika Selatan?

Jawapannya ialah TIDAK. Namun, masih mampu menyatukan pelbagai bangsa, warna kulit, tanpa berbau perkauman. Tiada masalah untuk rakyatnya mengakui bahasa kebangsaan di negara masing-masing.

Timbul pula persoalan baharu, adakah menggunakan “bahasa Melayu” ini dikatakan sebagai bersifat perkauman hingga mengganggu gugat kaum Cina, India, Orang Asli, Kadazan, Iban dan lain-lain lagi yang seumpama dengannya selain Melayu? Bahasa Melayu bersifat rasis atau cauvinis?

Sama-sama kita fikirkannya. Di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung.

Rujukan:
1. Perkara 152 dalam Perlembagaan
2. Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67
3. Keputusan Tukar B.Melayu Kepada B.Malaysia Elak Polemik – Najib. BERNAMA, 4 Jun 2007