Memperkasakan Wikipedia Bahasa Melayu

Posted on Jun 7, 2009

0


Wikipedia telah dimulakan oleh Jimmy Wales dan Larry Sanger pada 15 Januari 2001. Laman ini merupakan satu daripada projek Wikipedia Foundation, Inc selain Wikiquote, Wiktionary, Wikisource, Wikibooks dan Wikinews. Ia merupakan sebuah laman ensiklopedia bebas, yang menghimpunkan pelbagai rencana dalam pelbagai lapangan, yang disumbangkan dari seluruh dunia[1].

Laman jenis wiki ini membenarkan sesiapa sahaja untuk menyunting, memperbaiki, dan menambah informasi dalam sesebuah rencana. Teks dan gambar yang dimuat dalam Wikipedia dilindungi oleh Lesen Dokumentari Bebas GNU (GNU Free Documentation License – GFDL).

Pada 12 Ogos 2003, Wikipedia versi bahasa Melayu pula diperkenalkan. Sehingga hari ini, terdapat lebih kurang 39 821 buah rencana telah disumbangkan dalam Wikipedia versi bahasa Melayu.

Walau bagaimanapun, jika dibandingkan rencana bahasa Melayu dalam Wikipedia dengan rencana bahasa-bahasa lain, kita masih lagi jauh ketinggalan. Wikipedia bahasa Inggeris telah memiliki 2 905 272 buah rencana, bahasa Indonesia (104 790), bahasa Vietnam (86 104) dan bahasa Thailand (47 094)[2].

Persoalannya, mengapa rencana Wikipedia bahasa mereka lebih banyak daripada kita? Adakah kita tidak punya upaya untuk menulis? Tidak punya kemudahan? Atau kita tidak punya budaya ilmu yang baik seperti mereka?

Sekiranya kita membuat perbandingan pendapatan per kapita rakyat Malaysia dengan Indonesia, Vietnam dan Thailand, kita yang berada di tangga teratas sekali, iaitu di tangga ke-56 (RM13 315), diikuti Thailand, 81 (RM7 900), Indonesia, 120 (RM3 725), dan Vietnam, 129 (RM2 587)[3]. Hal ini sudah memberi gambaran kepada kita bahawa dengan kuasa beli yang tinggi sepatutnya kita mampu menghasilkan lebih banyak bahan bacaan daripada mereka. Namun, apa yang berlaku adalah sebaliknya. Seolah-olah pembangunan negara tidak bergerak seiring dengan pembangunan sosial.

Situasi ini sudah cukup menggambarkan betapa seriusnya masalah yang dihadapi kita, iaitu kelembapan budaya keilmuan dan keintelektualan. Majoriti rakyat Malaysia pada hari ini lebih teruja dengan budaya hedonisme. Jikalau tidak, masakan program realiti televisyen seperti Akademi Fantasia, Malaysian Idol, LG Starz, Mentor dan lain-lain lagi yang seumpama dengannya masih bertahan sehingga hari ini? Jika kita menghadirkan diri ke program-program yang bersifat keilmuan dan keintelektualan, ruang dewan atau surau yang disediakan oleh pihak penganjur pun belum tentu dipenuhi. Namun, kalau penyanyi luar negara datang membuat konsert di stadium yang kapasitinya sudah tentunya besar, kebiasaannya jualan tiket habis dan penuh sesak dengan golongan remaja.

Jadinya, bagaimana kita mahu membina generasi Ulul Al-bab atau modal insan yang dikatakan sebagai pemangkin kegemilangan negara? Sedangkan, guru saya ada menyatakan, ‘Orang yang menguasai ilmu akan menguasai dunia’.

Dalam hal ini, tidak semestinya kita perlu menjadi seorang penulis terkenal untuk menghasilkan sebuah karya, sudah cukup memadai sebulan sebuah karya. Contohnya, jika Ah Tong berminat dengan aktiviti memancing, dia boleh menulis sebuah rencana berkenaan teknik-teknik memancing dengan betul berdasarkan lokasi memancing. Saya kira, jikalaulah setiap orang menyahut saranan saya ini, kita sudah boleh memiliki lebih sejuta artikel dalam masa sebulan sahaja. Seterusnya, dihantar ke mana-mana akhbar atau majalah untuk disiarkan. Paling tidak, dimuatkan sahaja di Wikipedia atau blog masing-masing. Pastinya usaha seperti ini dapat memberikan manfaat kepada orang lain berdasarkan perkongsian ilmu dan pengalaman sendiri.

Selain itu juga, inisiatif seperti ini mampu memperkasakan bahasa Melayu dalam masyarakat Malaysia. Kepelbagaian rencana yang dimuat dalam Wikipedia bahasa Melayu dapat memberikan ‘sesuatu’ kepada semua dalam memahami sesuatu isu. Dengan kadar pengguna internet Malaysia kini melebihi 15 juta [4], saya yakin dan percaya bahawa jurang maklumat antara masyarakat di bandar dan luar bandar dapat dikurangkan. Barangkali, galakan penghasilan rencana di Wikipedia bahasa Melayu daripada pihak kerajaan, Dewan Bahasa dan Pustaka dan Institut Terjemahan Negara diberi dalam bentuk insentif mampu memeriahkan lagi penghasilan rencana terbaik dan berkualiti.

Rujukan:

1. http://ms.wikipedia.org/
2. http://en.wikipedia.org/, http://id.wikipedia.org/, http://vi.wikipedia.org/, http://th.wikipedia.org/
3. Pengkalan Data Prospek Ekonomi Dunia April 2008. IMF.
4. http://www.internetworldstats.com/stats3.htm#asia