‘Beliau’ dan ‘toyol’

Posted on Mei 20, 2009

0


Ketika sedang khusyuk menjawab kertas EDU3104 semalam, ada satu soalan menarik perhatian saya. Saya tidak sempat untuk menyalin keseluruhan soalannya, cukup sebahagian sahaja. Kenyataannya berbunyi begini:

Murid A menghadapi masalah sosioemosi. Beliau tidak suka bergaul dengan rakan-rakan, takut, kecewa dan bosan semasa berada di dalam bilik darjah.

Bagaimanalah perkara ini boleh berlaku? Sedangkan kata ganti nama sudah dipelajari sejak sekolah rendah lagi.

Masakan pula penggubal soalan terlepas pandang? Sebab saya dapati terlalu banyak kesalahan ejaan yang cukup serius. Barangkali berlaku situasi ‘tangkap muat’ sahaja mana-mana soalan yang sesuai. Menyusahkan pelajar sahaja untuk memahaminya ketika menjawab.

Untuk makluman semua, beliau merupakan kata ganti nama ketiga, merujuk kepada orang tua atau orang yang dihormati.

Contoh ayat:

1. Tan Sri Muhammad Ali Hashim merupakan ahli perniagaan yang berjaya di Malaysia. Beliau menerajui beberapa organisasi besar seperti Sindora, KFC Holding, KPJ Healthcare dan JCorp.

2. Mentuaku seorang pendiam, beliau tidak suka anak-anaknya terlampau banyak bercakap.

Sepatutnya, gunakanlah frasa ‘dia’, lebih sesuai dan tepat berdasarkan konteks ayat.

————————————————————————————————
Dalam masa yang sama, ada yang menggunakan ‘toyol’ semasa menjawab peperiksaan.
Sudahlah melakukan kesalahan dengan meniru, tetapi tidak pandai untuk menggunakan kebijaksanaan ketika meniru.

Entah bagaimana, ‘toyol’ yang dibawa masuk tiba-tiba terbang jatuh ke lantai ketika pengawas peperiksaan sedang mengutip skrip jawapan. Cemas dan kelam-kabut dibuatnya.

Paling bodoh sekali, menggunakan kertas berwarna kuning pula. Dia bernasib baik sebab pengawas tersebut buat-buat seperti tidak tahu sahaja. Jikalau tidak, nahas orang itu!Nasihat saya, janganlah meniru ketika peperiksaan. Peperiksaan ini dibuat untuk menguji tahap kefahaman kita. Kalau dapat markah tinggi tetapi tidak berkat, apa guna? Nanti makan diri semula. Percayalah cakap saya!