Buku baharu dibeli

Posted on Mac 13, 2009

0


Khamis, 12 Mac 2009
Habis sahaja waktu sekolah, saya terus pulang ke IB dan bergerak semula ke IPGM Ilmu Khas untuk menguruskan satu hal penting. Dalam perjalanan pulang ke IB, rasa mahu singgah sebentar ke DBP untuk melihat-lihat buku-buku baharu di pasaran. Memang ada. Ke Luar Jendela (Hasan Ahmad) – RM35. Namun, di dalam kocek seluar cuma ada 2 keping RM5 dan beberapa keping RM1.

Disebabkan berasa malas untuk keluar semula ke BSN berhampiran, saya cuma memutuskan untuk membeli Dewan Masyarakat Mac 2009 sahaja. Esok masih sempat membelinya selepas solat Jumaat, fikir saya.

Jumaat, 13 Mac 2009   
Datang ke DBP dengan duit yang banyak. Mana tahu ada terjumpa buku menarik untuk dibaca, boleh terus dibeli bersama. Sebaik sampai di tempat semalam, buku yang ingin dibeli sudah tiada. Argh…masakan sudah habis dijual? Baru sehari sahaja sudah banyak terjual?

Mencuba nasib di bahagian yang lain pula, terjumpa ada satu lagi, yang terakhir. Lantas, terus diambil supaya tidak dibeli orang. Berjaya juga dapatkannya.

Mencari Jalan Pulang Daripada Sosialisme Kepada Islam (Kassim Ahmad) – RM35 – juga turut dibeli. Barangkali banyak persoalan akidah terutamanya pemahaman terhadap Islam dapat dilihat dari sudut pandang berbeza daripada penulis. Saya difahamkan bahawa beliau pernah memperjuangkan ideologi sosialisme dalam politik negara satu ketika dahulu. Namun, beliau kini sudah kembali kepada Islam.

Melihat konteks pada hari ini, saya merasakan perlunya untuk memahami catatan diari penulis, mana tahu satu hari nanti saya terpaksa berdepan dengan situasi sebegini. Apa tidaknya, banyak ideologi yang telah menyerang dan menyesatkan pemikiran generasi muda khususnya hingga terlupa pegangan jati diri dan agama.

Saya kira kedua-dua buku ini cukup menarik kerana kedua-dua orang penulis ini mempunyai latar belakangnya yang berbeza dan menceritakan sejarah perkembangan sosial, politik, agama dan ekonomi di Malaysia. Lagipun saya bukan hidup di zaman mereka, sekurang-kurangnya dengan membaca penulisan mereka ini mampu memberikan kefahaman yang jelas sejarah yang pernah dilalui oleh mereka berdua.

Posted in: Uncategorized